Thursday, July 24, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 25 JULAI 2014M / 27 RAMADHAN 1435H



“MEMPERINGATI BADAR KUBRA”

Khutbah Pertama

الحَمْدُ للهِ اْلقَآئِلْ :
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٢٣﴾
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَريِكَ لَهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله .
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
عِبَادَ الله اِتَّقُوْا الله اُوْصِيْكُمْ وَاِيـَّايَ بِتَقْوَى الله فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah sekelian !

Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT teristimewanya di akhir bulan Ramadan yang padanya terdapat Malam Qadar yang lebih baik dari seribu bulan dengan kita melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Tajuk khutbah jumaat pada hari ini ialah “MEMPERINGATI PERANG BADAR”.

Wahai Pengikut Nabi Muhammad SAW,

Pada hari jumaat bersamaan 17 Ramadan tahun kedua hijrah telah berlaku peperangan Badar Kubra yang mempertemukan dua kumpulan; satu kumpulan berperang di jalan Allah manakala satu kumpulan lagi ialah kumpulan kafir berperang di jalan taghut. Sedang kita berada di bulan yang mulia ini sangat perlu kita mengimbau sejarah ini lantaran banyaknya pengajaran hebat yang mampu diteladani sekiranya kita meneliti peristiwa ini dengan mata hati dan sinar iman. Sesungguhnya pengamatan yang berkaitan dengan peperangan Badar juga merupakan satu bentuk tafaqquh fiddin sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Dan barangsiapa yang Allah SWT berkehendak kebaikan terhadapnya nescaya Allah SWT akan memberikannya kefahaman di dalam agama” (HR Bukhari).

Sidang Jumaat yang dikasihi kerana Allah SWT,

Peperangan badar bukan semata-mata peperangan yang melibatkan dua kumpulan manusia, bahkan ia merupakan sebahagian daripada agama dan akidah kerana Allah tabaraka wa taala telah merakamkan sirah perjuangan ini di dalam dua surah al-quran iaitu surah al-anfal dan surah ali imran. Sungguh menakjubkan, Allah SWT menjadikan bagi orang Islam hubungan yang cukup erat di antara sejarah dan agama. Maka lembaran-lembaran sejarah pada umat-umat terdahulu memberikan banyak pengajaran untuk kita memahami agama.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah SWT,

Di antara intipati peperangan Badar ialah:

Pertama: supaya kita menghargai akan susah-payah Rasulullah SAW di dalam menyebarkan agama Allah. Justeru mengenang sirah yang amat hebat ini merupakan suatu penghormatan yang tinggi kepada Rasulullah SAW. Itulah Nabi yang bersusah-payah sepanjang hidupnya supaya kita mendapat hidayah, berjihad supaya kita hidup bahagia meskipun baginda sendiri terpaksa menempuh jalan yang sukar di sepanjang perjuangannya. Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taubah ayat 128:

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِّنْ أَنفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُم بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢٨﴾
Maksudnya : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”

Kemudian bersamanya para sahabat yang ikhlas terhadap dakwahnya, berjihad di jalan Allah dengan mengorbankan harta dan jiwa turut menempuh kesusahan yang sama. Justeru itu adalah sesuatu yang wajar kita mengetahui akan kedudukan mereka, kita mengingati sejarah dan mengenang sirah mereka khususnya bahawa hidup mereka telah terikat sejak mereka beriman dengan ikatan yang seerat-eratnya dengan nabi yang mulia ini yang telah mengeluarkan manusia dengan limpah kurnia tuhan-Nya daripada kegelapan kepada cahaya.

Kedua: Kesanggupan mereka menghadapi segala kesusahan dan penderitaaan dalam mempertahankan agama Allah. Maka dengan berkat kesabaran mereka akhirnya mereka beroleh kejayaan dan kemenangan. Sedangkan kita pada hari ini turut menempuh keadaan yang hampir sama seolah-olah sejarah lama berulang kembali, namun natijahnya jauh berbeza. Perkara batil pula menjadi seumpama harimau yang menerkam mangsa, kebenaran menjadi asing dan tersia-sia. Mereka yang berpegang teguh dengan agama, hak atau prinsip seperti orang yang menggenggam bara api. Sekiranya kita meneladani kisah ini, kemudian kita lakukan gerak kerja sebagaimana golongan awal Islam lakukan nescaya kita akan berjaya sepertimana mereka berjaya dan kita akan menang sebagaimana mereka menang. Urusan ini telah dijelaskan oleh Al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 249:

قَالَ الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو اللَّهِ كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٢٤٩﴾
Maksudnya: Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sesungguhnya kita melihat pada hari ini pertembungan yang berlaku di antara hak dan batil, demikianlah situasi pada peperangan Badar. Pada hari ini berlaku pertembungan di antara kufur dan iman, demikianlah juga berlaku pada peperangan Badar sehingga Rasulullah SAW berdoa kepada Tuhannya yang bermaksud: “Ya Allah Ya Tuhanku sekiranya kumpulan dari kalangan orang Islam ini binasa nescaya Engkau tidak akan disembah di mukabumi lagi” (HR Ahmad).

Pada hari ini golongan yang memusuhi Islam menguasai dunia, mereka menzalimi ke atas orang-orang beriman, mereka merampas hak-hak golongan lemah . Peperangan Badar merupakan simbolik penindasan orang zalim ke atas mereka yang dizalimi sehinggakan Nabi SAW berdoa kepada Tuhannya untuk pengikutnya pada peperangan Badar : “Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya mereka tidak berkasut maka tanggunglah mereka, Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya mereka tidak berpakaian maka berikanlah mereka pakaian, Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya mereka lapar maka berikanlah mereka makanan (HR Baihaqi). Maka Allah SWT telah memperkenankan doa Rasulnya lantas kaumnya kembali dengan membawa harta rampasan perang dan pahala bersama-sama:

ذَ‌ٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ ﴿٢١﴾

Surah Al-Hadid ayat 21. Maksudnya: yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنَيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا، وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَألْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ اْلقَآئِلْ :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ﴿١٨٥﴾
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله .
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Sidang Jumaat Sekelian,

Yang menakjubkan lagi ganjil bahawa orang muslimin keluar bersama Nabi SAW pada Hari Badar sedangkan mereka tidak mempunyai niat untuk keluar berperang. Hanya yang mereka inginkan ialah kafilah perniagaan Quraish milik kuffar Mekah sebagai timbal balas harta dan hak-hak mereka yang telah diambil oleh golongan tersebut di Kota Mekah. Juga untuk memintas jalan perniagaan orang-orang Quraish ke Syam supaya mereka tunduk, tidak takabbur dan tidak melampaui batas. Sehinggakan Rasulullah SAW tidak mewajibkan sesiapa pun untuk keluar bersama baginda juga tidak memarahi mereka yang tidak ikut serta malahan tidak mempersiapkan apa-apa kelengkapan perang untuk ke sana. Bersama yang demikian, Allah SWT menghendaki perkara yang lain sehingga orang Islam bertemu dengan mereka tanpa ada sebarang senjata yang mencukupi atau persiapan yang rapi. Namun mereka tetap menghadapi takdir peperangan yang ditentukan itu dengan penuh sabar lagi meyakini bantuan Allah. Mereka tetap teguh sehingga mereka menjadi golongan yang menang lantas memberitahu kepada dunia bahawa maju terus itu lebih baik daripada berundur, kematian yang mulia itu lebih baik daripada kehidupan yang hina dan bahawasanya Allah bersama orang-orang yang ikhlas.

Di hadapan golongan sedikit yang beriman ini yang menuju ke medan perang berdasarkan qada’ dan qadar Allah. Golongan kafir pula keluar dalam keadaan megah dan sombong. Pemimpin kafir ketika itu iaitu Abu Jahal bertegas untuk keluar ke medan Badar sambil menyembelih binatang, meminum arak, mendengar nyanyian dan menyaksikan tarian sehingga terdengar pesta mereka dari kejauhan. Maka apakah akibat kesudahan mereka? Allah SWT menghinakan golongan kafir yang terpedaya dan menimpakan mereka dengan kehinaan meskipun mereka mempunyai kelengkapan perang yang banyak dan Allah SWT memberikan kemenangan kepada golongan mukminin yang khusyuk meskipun mereka itu sedikit dari segi bilangan dan kelengkapan perang. Firman Allah SWT pada Surah Ali-Imran: 123:

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٢٣﴾
Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).

Antara pengajaran penting lain di dalam perang Badar ialah baginda SAW tidak memutuskan sesuatu keputusan dengan pendapat sendiri, tidak bersendirian melakukan tindakan, tidak memaksa orang lain menerima keputusan bahkan baginda bermesyuarat dengan kaumnya, maka berkatalah seorang sahabat muhajirin : “Wahai Rasulallah, laksanakan apa yang Allah perintahkan kepadamu maka kami tetap bersamamu. Demi Allah! Kami tidak akan mengatakan kepadamu sebagaimana Bani Israel katakan kepada Musa: Pergilah kamu dan Tuhanmu dan perangilah mereka, sesungguhnya kami menunggu di sini. Tetapi kami akan berkata: Pergilah kamu dan Tuhanmu dan perangilah mereka, sesungguhnya kami akan turut berperang bersamamu”. Bukan itu sahaja bahkan baginda turut berkongsi menunggangi seekor unta bersama dua orang sahabat lain sehinggakan mereka berkata: “Tunggangilah wahai Rasulallah dan biarkan kami berjalan”. Namun baginda enggan sebaliknya bersabda: “Tidaklah aku terkaya (tidak memerlukan) pahala berbanding kamu berdua”. Maha benarlah firman Allah pada Surah Al-Ahzab: 33:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾  
Maksudnya: Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)

Wahai pengikut Nabi Muhammad SAW,

Sejak 8 Julai 2014 hingga khutbah ini ditulis, serangan tentera Yahudi ke atas saudara-saudara Islam kita di Gaza, Palestin telah mengorbankan 435 nyawa manakala kira-kira 3,000 orang tercedera. Gerakan HAMAS telah berjuang bersungguh-sungguh dengan roh peperangan Badar sebagaimana tentera Islam dahulu berperang melawan tentera kafir Quraish. Ya Allah Ya tuhan kami! Bantulah umat Islam di seluruh dunia dengan keizzahan dan kekuatanmu. Marilah juga kita panjatkan doa untuk saudara-saudara kita yang terkorban dalam tragedi MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada hari Khamis lalu.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم.
اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ،
وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ،
وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ،
وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ،
بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلطان نزرين مُعِزُّالدِّين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّين شاه اَلْمَغْفُور لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .

Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari lman sesawang www.4shared.com


No comments:

Post a Comment