Friday, August 21, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 2 MUHARRAM 1442 / 21 OGOS 2020


HIJRAH : PENYATUAN UMMAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:
الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ۖ مَّا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِن تَفَاوُتٍ ۖ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِن فُطُورٍ ﴿٣﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, walau di mana kita berada, taatilah perintah Allah dan jauhilah larangan-Nya baik di rumah, di tempat kerja, di jalan raya, terang-terangan mahupun tersembunyi. Semoga kita beroleh kejayaan di dunia, dan lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Hijrah : Penyatuan Ummah".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Tanpa kita sedari, kita sudah memasuki bulan Muharram 1442 Hijrah. Bulan Muharram merupakan bulan pertama di dalam kalendar Islam, yang mula digunakan secara rasmi pada zaman Saiyidina 'Umar bin Al-Khattab. Muharram juga merupakan bulan bersejarah yang memiliki banyak kelebihan di dalam Islam.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Muharram merupan salah satu dari 4 bulan yang dimuliakan. Umat Islam dilarang berperang pada 4 bulan ini iaitu bulan Muharram, Rejab, Zulqaedah dan Zulhijjah. Larangan berperang ini jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram merupakan bulan persaudaraan.

Ia menjadi titik mula kepada sebuah peristiwa yang agung, iaitu penghijrahan umat Islam dari kota Makkah ke Madinah. Dakwah Islam yang dahulunya ditolak, kini disambut oleh penduduk Madinah. Kaum Aus dan Khazraj yang dahulunya berpecah-belah, kini bersatu dan bermuafakat. Umat Islam yang dahulunya lemah, kini menjadi kuat. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah ayat 218:


إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٢١٨﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Memasuki tahun baru Hijrah, usia kita juga semakin bertambah. Ada yang muda ada yang tua, ada yang sihat ada yang sakit. Ada yang datang dan ada yang pergi. Begitulah sunnatullah di dalam kehidupan.

Namun yang perlu kita perhatikan adalah, seiring dengan bertambahnya kiraan tahun, adakah bertambah juga kesatuan kita sebagai umat Islam? Adakah umat Islam hari ini benar-benar bersatu, seperti bersatunya kaum Mujahirin dan Ansar suatu ketika dahulu?

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengimbau kembali lembaran sejarah, terkandung sebuah kisah menarik tentang Saiyidina Al-Hasan cucunda Rasulullah s.a.w. Walaupun beliau telah diangkat menjadi khalifah, Saiyidina Al-Hasan rela melepaskan jawatan yang disandangnya kepada Saiyidina Mu'awiyah bin Abi Sufian. Saiyidina Al-Hasan lebih mengutamakan jalan perdamaian, bagi mengelakkan umat Islam terus berpecah dan saling menumpahkan darah. Peristiwa ini mengingatkan kita kepada sebuah hadits Nabi s.a.w:


إِنَّ ابْنِي هَذَا سَيِّدٌ وَلَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يُصْلِحَ بِهِ بَيْنَ فِئَتَيْنِ عَظِيمَتَيْنِ مِنْ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: "Sesungguhnya puteraku ini (sambil menunjuk kepada Saiyidina Al-Hasan) adalah saiyid (ketua). Mudah-mudahan melaluinya Allah akan mendamaikan (pertikaian) di antara dua golongan besar dari kaum muslimin". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari no. 3629)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Asas utama dakwah Rasulullah s.a.w dan para sahabat adalah menjadikan agama Allah sebagai teras penyatuan. Kerana niat seperti inilah mereka berjaya mendapatkan banyak hal, termasuk persaudaraan, keluarga baru, sehinggalah kemakmuran dan kesejahteraan di bumi Madinah.

Nabi s.a.w tidak membangun negara berdasarkan fanatik atau taksub kelompok. Nabi s.a.w mendahulukan kesepakatan bersama, melibatkan seluruh penduduk di Madinah yang menjamin hak beragama, keamanan, keharmonian dan persaudaraan antara anggota masyarakat. Tujuan dan matlamat daripada muafakat ini masih relevan hinggalah ke zaman kita sekarang.

Inilah hijrah yang tidak hanya bermakna "berpindah tempat", melainkan berpindah juga sikap, tingkah laku dan cara berfikir - daripada buruk menjadi baik, daripada baik menjadi lebih baik, dan daripada berpecah-belah kepada saling membantu mencari reda Allah.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebelum mengakhiri khutbah pertama, marilah kita sama-sama bersatu, membina harapan dalam satu ikatan penuh muafakat. Semoga dengan semangat hijrah, kita menjadi muslim yang saling mengasihi di antara satu sama lain, dan bermanfaat untuk agama, bangsa dan negara. Firman Allah Ta'ala:


... وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ ... ﴿٢﴾

Maksudnya: "... Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan...". (Surah Al-Maidah ayat 2)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَر. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah. Mimbar turut berpesan agar kita semua bersabar mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka. Setelah selesai solat, jangan berhimpit-himpit ketika keluar. Marilah kita berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru dalam penularan wabak Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.



اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment