Friday, August 28, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 9 MUHARRAM 1442 / 28 OGOS 2020


MERDEKA : MEMBANGUN MASYARAKAT PRIHATIN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي اَنْعَمَنَا بِنِعْمَةِ الْإِسْلَام، وَأَكْرَمَنَا بِنِعْمَةِ الْحُرِّيَةِ وَالْإِسْتِقْلَالِ.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya serta berbakti kepada agama dan masyarakat. Semoga kita beroleh kejayaan di dunia, dan lebih-lebih lagi di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Merdeka : Membangun Masyarakat Prihatin".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Tahun ini, genaplah 63 tahun negara kita mencapai kemerdekaan. Marilah kita sama-sama bersyukur di atas nikmat kemerdekaan ini, dengan memperbanyakkan amal ibadah yang tulus ikhlas kepada Allah s.w.t dan memperbanyakkan taubat memohon keampunan di atas segala kealpaan dan kecuaian.

Kemerdekaan negara yang akan disambut beberapa hari lagi menuntut kita untuk sentiasa merenung dan berfikir - apakah yang akan kita laksanakan bagi mengisi dan menghayati makna sebuah kemerdekaan? Ini sebuah pertanyaan sederhana, yang wajib kita renungi bersama.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Jika makna kemerdekaan kita hanya sebatas terusirnya penjajah British dan Jepun, maka benar kita sudah pun merdeka. Namun hakikatnya, kita sentiasa dibelenggu oleh dua ancaman yang sentiasa berusaha menjajah kita;

Ancaman yang pertama adalah syaitan. Manusia yang terjajah oleh syaitan tidak dapat melepaskan dirinya daripada mengikut seruan syaitan dalam kehidupannya. Perhatikanlah kehidupan seharian kita, apakah banyak menurut seruan Tuhanm atau banyak terpengaruh menurut seruan syaitan?


Ancaman kedua yang menguasai manusia adalah hawa nafsunya sendiri. Manusia yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan, mereka buta biar pun celik. Mereka tuli biar pun mendengar. Mereka menjadi bodoh biar pun berilmu. Berapa banyak kemusnahan dunia akibat manusia mengikut hawa nafsu. Berapa ramai yang dizalimi kerana hidupnya bertuhankan nafsu?

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sesuai dengan tema sambutan kemerdekaan pada tahun ini iaitu Malaysia Prihatin, marilah sama-sama kita mengisi ruang kemerdekaan dengan memupuk semangat kekitaan dalam pelbagai lapisan masyarakat. Sesuai dengan ajaran Islam yang mementingkan semangat bersama atau keprihatinan terhadap orang lain dan persekitaran. Firman Allah di dalam Al-Quran:

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿٩﴾

Maksudnya: "Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya". (Surah Al-Hashr ayat 9)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Semangat prihatin yang ditunjukkan pelbagai pihak di ketika menghadapi ancaman virus Covid-19 sangatlah terpuji dan wajar diteruskan sebagai amalan semua lapisan masyarakat. Semua pihak telah memainkan peranan masing-masing dengan slogan; "Kita Jaga Kita". Setiap kebaikan dihargai, begitu juga setiap kesilapan ditegur mahupun dihukum. Keprihatinan bersama ini telah menunjukkan kesan yang baik dalam usaha menghentikan penyebaran Covid-19. Keprihatinan ini wajar diteruskan termasuk bagi tujuan membendung gejala-gejala negatif lain seperti rasuah, penagihan dadah, zina dan seumpamanya.

Pandanglah di sekitar kita, di mana golongan susah yang boleh kita bantu. Golongan fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, saudara baru, pelarian yang mencari perlindungan, orang kelainan upaya, dan ramai lagi yang perlu dibantu. Kita dan mereka memijak tanah yang sama bumi Malaysia, dan berteduh di bawah langit yang sama ciptaan Tuhan.

Marilah kita sama-sama menjadi masyarakat yang prihatin dan peduli, agar makna kemerdekaan yang sejati, dapat kita benar-benar rasai dan hayati bersama.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Isilah kemerdekaan dengan perkara-perkara yang diredai Allah s.w.t. Jauhi maksiat dan dosa yang mengundang kemurkaan Allah. Tidak ada gunanya majlis yang dibuka dengan bacaan doa, namun dipenuhi dengan aktiviti yang melanggar larangan-Nya. Takutlah kepada Allah, kerana kemurkaan-Nya bakal mengundang seribu satu bencana yang tidak terfikir di benak kita. Sedangkan reda Allah akan menurunkan rahmat dan keamanan berpanjangan. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-A'araf ayat 56:

وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٥٦﴾

Maksudnya: "Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya". (Surah Al-A'araf ayat 56)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَر. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah ruma-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah.

Bersempena dengan kedatangan bulan Muharram, mimbar menggalakkan para jamaah untuk sama-sama berpuasa sunat pada 10 Muharram bersamaan hari esok. Ganjaran berpuasa pada hari 'Asyura adalah dihapuskan dosa kita setahun yang lalu. Ini berdasarkan sebuah hadits Rasulullah s.a.w:

صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: "Berpuasa di hari 'asyura, sesungguhnya saya berharap Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan setahun yang lalu". (Hadits riwayat Imam Muslim no. 1162)

Mimbar turut berpesan agar kita semua bersabar mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka. Setelah selesai solat, jangan berhimpit-himpit ketika keluar. Marilah kita berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru dalam penularan wabak Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.


اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment