Thursday, August 6, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 17 ZULHIJJAH 1441 / 7 OGOS 2020


KESAN PERUBAHAN IKLIM : PEDULIKAH KITA?

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:
الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ۖ مَّا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِن تَفَاوُتٍ ۖ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِن فُطُورٍ ﴿٣﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Khatib ingin berpesan kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan bersungguh-sungguh mentaati segala perintah Allah, dan menjauhi setiap perbuatan dosa, baik kecil mahupun besar, terang-terangan mahupun tersembunyi. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Kesan Perubahan Iklim: Pedulikah Kita?"

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Iklim merupakan anugerah Allah yang amat bernilai kepada kehidupan. Ia merujuk kepada keadaan cuaca di sesuatu tempat atau wilayah yang berlaku pada waktu yang lama. Negara kita contohnya, memiliki iklim panas dan lembap sepanjang tahun. Jika berlaku perubahan iklim, ia boleh mengubah corak cuaca, paras air laut, permukaan tanah dan sebagainya.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Walaupun isu perubahan iklim adalah isu global, tidak bermakna kita boleh mendiamkan diri dan berpeluk tubuh sahaja. Masyarakat perlu sedar, Allah menciptakan alam ini bukan sia-sia. Bumi ini perlu ditadbir dan diurus dengan baik kerana ia tempat tinggal kita. Masyarakat juga perlu sedar, apabila bencana berlaku kesan daripada perubahan iklim, kita adalah kumpulan pertama yang akan menanggung akibatnya. Allah s.w.t berfirman:

الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ طِبَاقًا ۖ مَّا تَرَىٰ فِي خَلْقِ الرَّحْمَٰنِ مِن تَفَاوُتٍ ۖ فَارْجِعِ الْبَصَرَ هَلْ تَرَىٰ مِن فُطُورٍ ﴿٣﴾

Maksudnya: "Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandanganmu, dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?" (Surah Al-Mulk ayat 3)

Para jamaah yang dirahmati Allah,

Perubahan iklim boleh berlaku disebabkan banyak perkara. Antaranya akibat peningkatan gas rumah hijau yang terhasil daripada asap kenderaan, pelupusan sisa pepejal dan pelepasan gas yang tidak dirawat daripada kilang-kilang. Selain itu, amalan kitar semula yang diabaikan, pembakaran terbuka, pembalakan haram dan penebangan hutan yang tidak terkawal juga menyumbang kepada berlakunya perubahan iklim.

Jika hal ini terus dibiarkan, maka tunggulah saat berlakunya bencana alam yang terhasil akibat perubahan iklim. Antaranya seperti tanah runtuh, jerebu, ribut taufan, kemarau dan krisis bekalan air, kebakaran hutan, peningkatan paras air laut dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Semua pihak perlu memiliki kesedaran tentang tanggungjawab mengurus dan mengurangkan kesan bencana alam. Justeru itu, misi negara untuk mengurangkan pelepasan karbon menerusi rancangan Malaysia ke-11, perlu disambut baik oleh semua pihak.

Masyarakat perlu mengambil berat tentang kelestarian alam sekitar, mengamalkan gaya hidup hijau, dan peka dengan perubahan iklim serta kesannya kepada umat manusia. Lebih daripada itu, pihak berkuasa perlu menggerakkan usaha menangani kesan perubahan iklim dengan tersusun dan berkesan. Amanahlah dalam mentadbir, walaupun kita terpaksa kehilangan laba dunia yang sedikit.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Manusia telah diberi tanggungjawab untuk mengurus dan mentadbir bumi ini dengan sebaiknya. Hal ini selari dengan konsep khalifah yang difirmankan Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 30:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ ... ﴿٣٠﴾

Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"... 

Namun perkara yang berlaku hari ini adalah sebaliknya. Lihatlah kebakaran hutan Amazon yang dimulakan oleh petani yang mahu membersihkan kawasan pertanian. Masih ingatkah kita pada pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang tahun lalu?

Pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia, termasuk di Malaysia adalah disebabkan kerosakan dan kecuaian manusia itu sendiri. Sesungguhnya benarlah firman Allah s.w.t di dalam Surah Ar-Rum ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: "Telah timbul banyak kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Hadirin yang dikasihi Allah,

Kejadian bencana yang menimpa negara kita dan tempat-tempat lain di dunia perlu dijadikan iktibar. Marilah kita sama-sama berganding bahu dan bersatu padu memakmurkan bumi Allah ini dengan sebaik-baiknya. Sebelum mengakhiri khutbah pertama hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang telah disampaikan.

Pertama, semua pihak perlu memastikan bumi ini dimakmurkan dengan sebaik-baiknya.

Kedua, amalan menjaga persekitaran akan mewujudkan keseimbangan ekosistem yang bermanfaat untuk seluruh hidupan.

Ketiga, sikap tidak ambil peduli terhadap kesan perubahan iklim, akan membinasakan alam sekitar dan kita semua akan menanggung akibatnya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَمَرَنَا بِالْإِحْسَان. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar turut berpesan agar kita semua bersabar mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan tenang, sudah berwuduk, membawa sejadah sendiri, dan memakai penutup muka. Setelah selesai solat, para jamaah diminta untuk beredar dalam keadaan teratur dan jangan berhimpit-himpit ketika keluar. Marilah kita berwaspada, agar masjid-masjid dan surau-surau tidak menjadi kluster baru dalam penularan wabak Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.



اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah, Engkau peliharalah negara Malaysia daripada wabak Covid-19, Engkau jauhilah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment