Friday, July 24, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 3 ZULHIJJAH 1441 / 24 JULAI 2020


RAHSIA DAN HIKMAH IBADAH HAJI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:
فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ ﴿٩٧﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar ingin berpesan agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dengan mentaati segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi orang yang bertaqwa dan berjaya di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Rahsia dan Hikmah Ibadah Haji".

Para tetamu Allah yang dikasihi,

Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima. Ia wajib ditunaikan oleh setiap muslim lelaki dan perempuan apabila cukup syarat-syaratnya. Menurut jumhur ulamak, ibadah haji mula diwajibkan pada tahun 6 hijrah. Pada tahun itulah turunnya firman Allah Ta'ala:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ... ﴿١٩٦﴾

Maksudnya: "Dan tunai atau sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah". (Surah Al-Baqarah ayat 196)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Haji adalah ibadah yang mempunyai keistimewaannya tersendiri. Para jamaah haji dituntut untuk menghimpunkan di antara kedua-dua ibadah jasmani dan ibadah harta seperti solat, puasa dan zakat. Waktu pelaksanaan haji telah ditetapkan pada bulan Zulhijjah setiap tahun. Ia diwajibkan hanya sekali seumur hidup dan wajib dilakukan di Makkah al-Mukarramah. Dalam hadits riwayat Imam Al-Bukhari, Nabi Muhammad s.a.w bersabda tentang keutamaan ibadah haji:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ أَيُّ الْعَمَلِ أَفْضَلُ فَقَالَ إِيمَانٌ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ قِيلَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قِيلَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ حَجٌّ مَبْرُورٌ

Maksudnya: "Daripada Saiyidina Abu Hurairah, bahawa Rasulullah s.a.w ditanya; Amal apakah yang paling utama? Beliau menjawab; Iman kepada Allah dan Rasul-Nya. Lalu ditanya lagi; Kemudian apa? Beliau menjawab; Jihad di jalan Allah. Lalu ditanya lagi; Kemudian apa? Beliau menjawab; Haji yang mabrur". (Riwayat Imam Al-Bukhari, hadits no. 25)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara hikmah ibadah haji adalah kesatuan umat Islam, yakni kesatuan akidah tanpa mengira warna kulit, pangkat mahupun keturunan. Kesatuan ini juga menghimpunkan umat Islam di seluruh pelusuk dunia demi mentaati titah perintah Allah s.w.t. Dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, Allah s.w.t berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ... ﴿١٣﴾

Maksudnya: "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal mengenali". (Surah Al-Hujurat ayat 13)

Selain itu, ibadah haji juga bertujuan mendidik jiwa kita menghadapi kesukaran dan menguji kesabaran. Bukan sahaja kesabaran dalam memenuhi setiap rukun dan manasik haji, tetapi juga kesabaran dalam mengumpul dan membelanjakan harta, meninggalkan perniagaan, keluarga, tanahair, dan meluangkan masa serta tenaga untuk Allah s.w.t. Kerana itulah haji mabrur dapat menghapuskan dosa-dosa yang lalu. Nabi s.a.w bersabda:

مَنْ حَجَّ هَذَا الْبَيْتَ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: "Sesiapa yang menunaikan haji dalam keadaan dia tidak bercakap perkataan yang buruk dan keji, serta tidak melakukan perkara yang fasik, maka dia akan kembali seperti mana dia dilahirkan oleh ibunya (yakni suci bersih daripada dosa)". (Riwayat Imam Al-Bukhari, hadits no. 1819)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebelum mengakhiri khutbah pertama, mimbar ingin berpesan kepada para jamaah yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini, agar bersabar dan jangan berputus asa. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Bermunajatlah kepada Allah, agar terus diizinkan untuk menjadi tetamu-Nya di masa hadapan.

Kepada para jamaah yang belum menunaikan haji, tanamlah azam untuk segera menunaikannya. Menabunglah di usia yang muda, kerana ibadah haji bukan sahaja memerlukan bekalan dari sudut harta, tetapi juga tubuh badan yang sihat.

Sebagai kesimpulan, yakinlah kita dengan janji Allah. Ibadah haji merupakan panggilan agung daripada Allah. Sebab itulah kita melihat satu orang biasa, yang pada mata kasar tidak mungkin dia dapat mengumpul belanja untuk ke Makkah, tetapi berjaya menunaikan haji. Sebaliknya, tidak sedikit orang-orang kaya yang berkemampuan dari sudut harta, namun sampai tahun ini masih belum berangkat menunaikan haji. Marilah kita sama-sama berdoa, agar Allah s.w.t memudahkan jalan untuk kita semua menjadi tetamu-Nya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَمَرَنَا بِالْإِحْسَان. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Kepada jamaah yang menyertai ibadah korban, maka disunatkan untuk tidak memotong rambut dan kuku, sehingga selesai disembelih binatang korban. Hal ini berpandukan sebuah hadits Rasulullah s.a.w:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: "Barangsiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga selesai berkorban". (Riwayat Imam Muslim, hadits no. 1977)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Akhir-akhir ini, terdapat peningkatan jumlah kes Covid-19 seperti yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Mimbar berpesan agar kita semua bersabar mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan tenang, sudah berwuduk, membawa sejadah sendiri, dan memakai penutup muka. Setelah selesai solat, para jamaah diminta untuk beredar dalam keadaan teratur dan jangan berhimpit-himpit ketika keluar.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.


اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah, Engkau peliharalah negara Malaysia daripada wabak Covid-19, Engkau jauhilah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

1 comment:

  1. Khutbah rumi ni tuan, sangat membantu..berbanyak terima kasih atas usaha tuan bagi membantu para khatib..teruskan tuan..

    ReplyDelete