Thursday, July 16, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 25 ZULQAEDAH 1441 / 16 JULAI 2020


IBADAH KORBAN : PAHALA DICARI DOSA DIHINDARI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:
لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ ﴿٣٧﴾
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Khatib ingin berpesan kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa yakni dengan memelihara diri kita daripada melakukan dosa besar atau kecil, yang boleh memudaratkan diri dan agama. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Ibadah Korban: Pahala Dicari Dosa Dihindari".

Para tetamu Allah yang dikasihi sekalian,

Ibadah korban sudah menjadi satu ibadah tahunan bagi umat Islam di seluruh dunia. Lebih istimewa di Malaysia, pelbagai cara dan kaedah dilakukan oleh masyarakat awam dalam melaksanakan ibadah korban, sebagai tanda syukur kepada Allah di atas segala nikmat kurniaan-Nya.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,


Perintah melaksanakan ibadah korban telah Allah firmankan di dalam ayat kedua Surah Al-Kautsar:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ ﴿٢﴾

Maksudnya: "Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban".


Menurut pandangan jumhur ulamak, hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat muakkad bagi mereka yang berkemampuan. Sebaik-baiknya waktu penyembelihan bermula setelah menunaikan sembahyang sunat 'Eidil Adha, sehingga terbenam matahari pada hari tasyrik 13 Zulhijjah. Binatang yang boleh dikorbankan hanyalah haiwan ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,


Islam mensyariatkan ibadah korban sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ia juga lambang kehambaan dan tanda kerendahan hati terhadap setiap perintah Allah. Malah Rasulullah s.a.w amat menyukai ibadah korban. Sabda baginda s.a.w:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا، وَأَشْعَارِهَا، وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ، قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنْ الْأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا.

Maksudnya: "Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban, yang lebih disukai Allah daripada mengalirkan darah (yakni menyembelih korban). Sesungguhnya ia akan datang [ada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah, sebelum ia jatuh ke tanah. Maka ikhlaskanlah hati kamu ketika berkorban". (Hadits riwayat At-Termidizi hadits no. 1493)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara hikmah ibadah korban ialah dapat mendidik jiwa kita ke arah kebaikan. Ia mengajar kita untuk mengikis sifat terlalu sayangkan harta. Sebahagian harta kesenangan yang kita miliki mesti dikongsi bersama dengan golongan fakir miskin yang lebih memerlukan. Cuba kita bayangkan, bilakah kali terakhir saudara kita yang kurang bernasib baik dapat makan nasi berlaukkan daging? Maka dengan ibadah korbanlah, kita dapat memahami keperitan hidup yang mereka lalui.

Kaum muslimin yang dimuliakan Allah,

Bersempena dengan musim 'Eidil Adha tidak lama lagi, mimbar ingin mengambil kesempatan untuk berpesan beberapa perkara yang wajib diberi perhatian melibatkan ibadah korban:

Pertama: Kepada yang menjual haiwan korban, janganlah mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sesuka hati. Jangan menipu dengan menukar binatang korban tidak seperti yang dijanjikan.
Kedua: Kepada peserta korban, ikhlaskan hati dan niatkan ibadah anda semata-mata kerana Allah.
Ketiga: Kepada pihak pengurus korban, jangan mengambil keuntungan tanpa persetujuan peserta. Laksanakan amanah anda sebaik yang mungkin, serta buatlah pembahagian yang tepat mengikut syarak.
Keempat: Kepada petugas, jangan mencuri daging, tulang, ekor binatang korban. Jangan memilih-milih bahagian daging yang baik-baik sahaja, sebaliknya buatlah pembahagian yang adil kepada semua yang berhak. Petugas tidak harus mengambil upah daripada binatang korban melainkan bayaran lain sebagai saguhati.

Mudah-mudahan, semua pihak yang terlibat melaksanakan ibadah korban tahun ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah, dan bukannya dosa serta kemurkaan Allah.

Kaum muslimin yang dimuliakan Allah,

Sebelum mengakhiri khutbah pertama minggu ini, marilah kita sama-sama menghayati firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hajj ayat 37:

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ ﴿٣٧﴾

Maksudnya: "Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas kamu yang berdasarkan taqwa. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَمَرَنَا بِالْإِحْسَان. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Kepada para jamaah yang hadir hari ini, mimbar sekali lagi ingin berpesan agar bersabar mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan tenang, sudah berwuduk, membawa sejadah sendiri, dan memakai penutup muka. Setelah selesai solat, para jamaah diminta untuk beredar dalam keadaan teratur dan jangan berhimpit-himpit ketika keluar.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.



اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah, Engkau peliharalah negara Malaysia daripada wabak Covid-19, Engkau jauhilah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment