Thursday, March 5, 2020

KHUTBAH JUMAAT – 11 REJAB 1441 / 6 MAC 2020


KELESTARIAN ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ ﴿٣٠
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Terlebih dahulu saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan erti kata yang sebenarnya, iaitu dengan kita melaksanakan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa diberkati dan dilimpahi rahmat serta kasih sayang Allah s.w.t di dunia ini dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Bersempena dengan sambutan Hari Landskap Negara 2020 peringkat negeri Perak, yang telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Mu’izuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulah pada 3 Mac 2020 di Laman Budaya Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk; “Kelestarian Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Alam sekitar merupakan anugerah Allah s.w.t yang sangat bernilai bagi menjamin kesejahteraan hidup kita di dunia. Allah s.w.t telah menciptakan alam ini dengan penuh kesempurnaan dan keseimbangan untuk memastikan kemakmuran hidup manusia dan makhluk ciptaan Allah yang lain dapat hidup dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan. Kebanyakan makhluk amat bergantung kepada sumber-sumber alam di muka bumi ini terutama sekali manusia.

Bumi yang luas ini dijadikan tempat tinggal manusia serta makhluk yang lain, gunung-ganang sebagai pasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubatan kepada kehidupan, hujan sebagai sumber rezeki, manakala pelbagai jenis haiwan dan hidupan di daratan dan lautan dijadikan untuk keperluan hidup manusia. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam Surah Ibrahim ayat 32 dan 33:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجَ بِهِ مِنَ الثَّمَرَاتِ رِزْقًا لَّكُمْ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْفُلْكَ لِتَجْرِيَ فِي الْبَحْرِ بِأَمْرِهِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ الْأَنْهَارَ ﴿٣٢﴾ وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ دَائِبَيْنِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ ﴿٣٣﴾  

Maksudnya: "Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Ia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu".

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Mutaakhir ini kita dikejutkan dengan pelbagai kejadian bencana alam seperti kebakaran hutan, banjir, tanah runtuh, jerebu, ribut, kemarau, ombak besar dan seumpamanya, yang ada sebahagiannya melibatkan kerugian harta benda dan meragut nyawa manusia dan haiwan di hutan belantara. Fenomena ini jelas memperlihatkan bahawa alam ini masih belum ditadbir urus menepati tatacara yang sepatutnya oleh manusia yang telah diamanahkan sebagai khalifah di muka bumi ini oleh Allah s.w.t sepertimana yang dikehendaki dan diperintahkan oleh-Nya. Sebagaimana yang telah dirakamkan oleh Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 30:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ... ﴿٣٠﴾

Maksudnya: "Dan (ingatlah) tatakala Tuhan engkau berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi"....

Manakala di dalam satu sabda baginda Rasulullah s.a.w juga, baginda pernah mensifatkan bahawa kita semua adalah khalifah yang diberi amanah untuk mengurus dan mentadbir bumi ini dengan sebaiknya, dan Allah s.w.t akan melihat apa yang kita lakukan. Sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ الدُّنْيَا حُلْوَةٌ خَضِرَةٌ، وَإِنَّ اللَّهَ مُسْتَخْلِفُكُمْ فِيهَا، فَيَنْظُرُ كَيْفَ تَعْمَلُونَ، فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ، فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ.

Maksudnya: "Dunia ini cantik dan hijau, dan sesungguhnya Allah s.w.t telah melantik kamu sebagai khalifah (pentadbirnya). Maka, Dia akan melihat bagaimana yang kamu akan lakukan. Berhati-hatilah dengan dunia, dan berhati-hatilah dengan (fitnah) wanita, sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israel adalah wanita". (Hadits riwayat Muslim no. 2742)

Bertepatan dengan konsep khalifah yang diberi amanah mentadbir bumi ini, maka sangat penting untuk kita memastikan sumber yang ada dimanfaatkan sebaik-baiknya, serta dijauhkan daripada sebarang bencana. Ini bagi memastikan generasi anak cucu kita yang akan datang dapat menikmati dan merasainya. Persoalannya kini, adakah kita meninggalkan sesuatu yang lebih baik atau sebaliknya untuk anak cucu kita? Firman Allah dalam ayat 165 Surah Al-An'aam:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُمْ خَلَائِفَ الْأَرْضِ وَرَفَعَ بَعْضَكُمْ فَوْقَ بَعْضٍ دَرَجَاتٍ لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتَاكُمْ ۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ الْعِقَابِ وَإِنَّهُ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿١٦٥﴾

Maksudnya: "Dan Dia lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan sebahagian kamu atas sebhagiannya yang lain beberapa darjat, kerana Ia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Sehubungan dengan itu, amatlah penting bagi kita memastikan sumber yang ada dimanfaatkan sebaiknya bagi membolehkan generasi akan datang menikmati kehidupan dalam persekitaran yang baik dan berkualiti. Namun persoalan yang timbul ialah, sejauh manakah kita punya rasa bertanggungjawab dalam memelihara alam sekitar ini?

Tabiat seperti membuang sampah merata-rata, membuang sisa buangan termasuk bahan kimia secara terus ke laut dan sungai, melepaskan asap kilang tanpa tapisan, menceroboh hutan secara berleluasa, menjalankan aktiviti pembangunan secara tidak terkawal, pembakaran secara terbuka, semua ini akan memberikan kesan kepada alam sekitar seperti peningkatan suhu bumi, pencemaran sumber air, udara, banjir besar, tanah runtuh, kepupusan flora dan fauna, dan perubahan cuaca yang akan menjejaskan kehidupan manusia.

Harus kita sedar dan insaf bahawa, pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar sebenarnya adalah berpunca dan disebabkan oleh kerakusan dan kecuaian kita sendiri. Sebagaimana yang diperingatkan oleh Allah s.w.t dalam Surah Ar-Rum ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Lihatlah betapa penting dan berharganya alam sekitar ini kepada kita manusia dan makhluk Allah yang lain. Maka seharusnya kita menyedari bahawa bumi ini hanyalah pinjaman sementara daripada Allah s.w.t kepada manusia. Tidak sewajarnya alam ini diperlakukan sedemikian rupa. Pelbagai kempen kesedaran alam sekitar akan berakhir dengan kegagalan sekiranya tahap kesedaran masyarakat masih di tahap yang mengecewakan. Oleh itu, ia mesti bermula dari diri sendiri, seterusnya keluarga, masyarakat dan negara.

Oleh yang demikian mimbar menyeru hadirin sekalian, marilah kita sama-sama menjayakan titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak agar usaha memelihara alam sekitar dapat diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat. Ini termasuk sekolah-sekolah, masjid dan surau, agensi-agensi kerajaan, persatuan penduduk dan sebagainya. Usaha ini merupakan detik permulaan dan perlu diteruskan bagi menjamin kelestarian alam sekitar di negeri Perak ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai panduan buat kita bersama:

Pertama: Allah telah mencipta alam ini dengan amat sempurna dan seimbang untuk kemakmuran manusia.

Kedua: Manusia bertanggungjawab memakmurkan bumi dan memelihara alam sekitar dengan sebaik-baiknya kerana ia adalah suatu amanah dalam konteks individu, keluarga, masyarakat dan juga negara.

Ketiga: Islam melarang sebarang bentuk perlakuan kerosakan di atas muka bumi, sama ada kerosakan jiwa, harta benda mahupun alam sekitar. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 61:

۞ وَإِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا ۚ قَالَ يَا قَوْمِ اعْبُدُوا اللَّهَ مَا لَكُم مِّنْ إِلَٰهٍ غَيْرُهُ ۖ هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا فَاسْتَغْفِرُوهُ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ ۚ إِنَّ رَبِّي قَرِيبٌ مُّجِيبٌ ﴿٦١﴾

Maksudnya: "Dan kepada kaum Thamud, kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dia lah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. Oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepada-Nya dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hamba-Nya".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan iabadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ. 

اللَّهُمَّ سَلِّمْنَا، وَسَلِّمْ دِينَنَا، وَسَلِّمْ أَوْلَادَنَا، وَسَلِّمْ إِخْوَانَنَا، وَسَلِّمْ مِنْ مُسْلِمِينْ، وَسَلِّمْ شَعْبَ مَالِيزِيَا يَا الله مِنْ كُلِّ بَلَاءٍ، وَوَبَاءٍ، وَضِيقٍ، وَهَمٍّ، وَفِتْنَةٍ، وَغَمٍّ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بِلَادِنَا هَذَا خَاصَّة، وَعَنْ بُلْدَان مُسْلِمِينَ عَامَّة، يَا أَكْرَمَ الأَكْرَمِين، يَا أَرْحَمَ الرَّحِمِينَ.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.


1 comment:

  1. poker online dengan pelayanan CS yang baik dan ramah hanya di AJOQQ :D
    ayo di kunjungi agen AJOQQ :D

    ReplyDelete