Friday, March 13, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 18 REJAB 1441 / 13 MAC 2020


ISRAK MIKRAJ DAN CAHAYA ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ الْمُرْسَلِينَ، وَإِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالتَّابِعِيْنَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١﴾ [سورة الإسراء : ١]

(Maksudnya): Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Peristiwa Israk dan Mikraj yang disambut oleh umat Islam di bulan Rejab walaupun para ulamak tidak sependapat menentukan tarikh dan bulan, masa berlakunya peristiwa tersebut, dengan tahun dan bulan yang berbeza, tetapi kita wajib beriman. Peristiwa yang menakjubkan itu benar-benar berlaku. Para sahabat yang sibuk dengan perjuangan Islam menghadapi tentangan yang hebat, memandang tidak penting mencatat bilakah berlakunya peristiwa itu. Apa yang penting ia benar-benar berlaku menjadi tanda kekuasaan Allah s.w.t, bukan sahaja kepada Rasul-Nya Muhammad s.a.w, bahkan kepada umat Islam dan seluruh manusia supaya mereka memahami kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t.

Bagaimana seorang rasul yang dilahirkan di tengah masyarakat Arab yang paling jahiliyyah dan paling jahat, bukan sahaja membunuh sesama sendiri, bahkan sanggup membunuh anak-anak perempuan kerana tidak berguna untuk berperang. Sifatnya sangat kasar dan keras serta sangat ganas. Bagaimana nabi yang diutuskan untuk seluruh manusia diwahyukan oleh Allah:

قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ ۖ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٥٨﴾ [سورة الأعراف : ١٥٨]

(Maksudnya): Katakanlah: "Wahai manusia sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semua, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimah-kalimah-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk.

Manusia di seluruh dunia semua bangsa dan kaum sehingga hari kiamat bukan keluarga dan bangsanya sahaja. Bagaimana perjuangannya boleh berjaya untuk seluruh dunia kalau di tempatnya sendiri dan keluarganya sendiri sudah ditentang dan dilawan dengan hebatnya, sehingga orang yang paling hampir dengannya iaitu Abu Talib, bapa saudaranya yang berpengaruh dan disegani di Makkah yang melindunginya telah meninggal dunia. Isterinya Khadijah radiAllahu 'anha yang telah membelanjakan kekayaannya juga meninggal dunia. Dua manusia yang penting dicabut oleh Allah s.w.t. Bagaimana hendak berdakwah ke seluruh dunia? Baginda terpaksa menghadapi keadaannya yang sebegitu rupa.

Maka Allah s.w.t menjemputnya pada malam Israk dan Mikraj menjadi dhif (tetamu) Allah s.w.t dalam perjalanan yang sangat jauh di waktu malam, hanya satu malam sahaja untuk melihat manusia semenjak Adam a.s sehingga hari kiamat, untuk melihat alam dunia dan alam akhirat, melihat alam bumi dan alam langit sehingga tujuh petala langit mengatasinya lagi sehingga Sidratul Muntaha, mengatasi bulan, matahari bintang dan cakerawala di langit yang jaraknya berjuta-juta tahun perjalanan cahaya, melihat alam nyata dan alam ghaib, melihat alam dunia dan alam akhirat. Bagaimana boleh dilakukan hanya pada satu malam sahaja? Itulah kekuasaan Allah s.w.t.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا

(Maksudnya): Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari.

Tuhan yang Maha Suci daripada segala sifat kekurangan, Tuhan yang tidak boleh dibanding dengan makhluk, Tuhan yang Maha Berkuasa boleh menjadikan Israk dan Mikraj yang besar luas dan lama itu dalam satu malam sahaja dengan kekuasaan-Nya untuk menyatakan bahawa dunia yang kamu lihat sangat besar ini terlalu halus di sisi Allah s.w.t. Semua manusia termasuk kerajaan-kerajaan besar yang menentang Islam adalah habuk yang halus, tidak mampu menghadapi kekuasaan Allah s.w.t.

Allah menunjukkan bagaimana mukjizat ilmu yang diturunkan kepadanya, iaitu ilmu Al-Quranul Karim berjaya melembutkan hati yang keras menjadikan manusia yang ganas dan zalim itu, paling adil dalam sejarah manusia. Manusia yang buta huruf, berilmu sehingga menakluk dunia yang luas selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Yang penting cahaya Islam itu tidak padam dengan wafatnya Rasulullah s.a.w. Walaupun tidak ada nabi dan rasul selepasnya, tetapi risalah Islamnya berpanjangan sehingga hari kiamat disambung oleh umatnya turun temurun selagi dunia belum kiamat.

Inilah Islam yang kita terima, Islam yang kita percaya dan yakin, Islam daripada Allah s.w.t, Islam yang tidak boleh dipadamkan cahayanya kerana cahayanya adalah kekuasaan Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.          
وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ﴿٤٠﴾ [سورة الحج : ٤٠]

(Maksudnya): Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (Islam), sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment