Thursday, January 20, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 18 JAMADIL AKHIR 1433 / 21 JANUARI 2022

ISLAM DIHIMPIT

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًاأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar peringatan daripada Allah s.w.t yang sentiasa memberi petunjuk kepada kita. Firman Allah Ta'ala:

وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّن بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ ۖ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ١٠٩ ]سورة البقرة : ١٠٩[


(Maksudnya): Ramai di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Golongan Ahli Kitab pengikut-pengikut nabi zaman dahulu khususnya penganut agama Yahudi dan Kristian telah mendapat maklumat awal tentang kelahiran nabi akhir zaman, Muhammad s.a.w yang membawa petunjuk di akhir zaman. Mereka mengetahui tanda-tandanya sejak awal. Pemimpin-pemimpin dan ulamak-ulamak mereka berjanji dengan rasul masing-masing di zaman masing-masing, sekiranya sempat dengan nabi akhir zaman itu, akan beriman kepadanya, menolongnya dan berjuang bersama dengannya menegakkan Islam, satu-satunya agama Allah s.w.t.

Walaupun demikian, apabila datangnya Nabi Muhammad s.a.w membawa Islam, dan pengikut-pengikut Islam berkembang sehingga hari ini, ramai kalangan Ahli Kitab itu tidak beriman. Bukan sahaja mereka tidak beriman, malah mereka menentang Islam habis-habisan disebabkan hasad dengki dalam perkara dunia kerana kejahatan yang ada dalam diri mereka yang dirasuk oleh syaitan, bersifat takabbur dan sombong, serta menganggap mereka maju dan mulia lebih daripada orang Islam dan kaum yang lain.

Mereka menghimpit agama Islam dan menekan oramg-orang yang mengikut Islam ini sejak awal sehingga hari ini tidak berhenti-henti, khususnya ajaran Islam dikepung dan dikurung di dalam masjid atau tempat-tempat ibadat sahaja, tidak boleh memimpin dunia yang menjadi jambatan ke syurga di akhirat. Padahal nabi kita Muhammad s.a.w membawa Islam untuk memimpin manusia dari dunia sehingga hari akhirat, mengajak manusia beribadat kepada Allah dan mentadbir dunia mengikut perintah Allah Ta'ala serta meninggalkan larangan-Nya, mengurus harta benda yang ada di atas dunia ini dengan ilmu yang diberi Allah dan hidayah Al-Quranul Karim untuk membawa kebaikan dunia dan kebaikan di hari akhirat sehingga Islam telah berjaya memimpin dunia selama 1,400 tahun. Dunia yang gelap gelita diselamatkan dengan cahaya Islam. Islam telah berjaya mengislamkan manusia, mengislamkan kerajaan, mengislamkan ilmu dunia yang memberi manfaat kepada manusia, dunia dan akhirat.

Mereka terus menerus menentang Islam, sehingga 100 tahun yang lalu, kerajaan Islam berjaya dijatuhkan, dan mereka (golongan bukan Islam) memimpin dunia. Mereka mengambil kemajuan-kemajuan dunia daripada orang-orang Islam, tetapi mereka meninggalkan petunjuk Islam. Ilmu dunia yang dibawa oleh mereka yang tidak Islam itu telah merosakkan dunia pada hari ini; merosakkan kehidupan manusia, merosakkan keluarga, merosakkan jasad, merosakkan roh dan akal. Yang halal diharamkan, yang haram dihalalkan, sehingga tersebar berbagai-bagai penyakit yang bukan sahaja sesat dalam perkara agama, bahkan sesat juga dalam perkara kehidupan. Sehingga runtuhnya keluarga; anak tidak menghormati ibu bapa, ibu bapa lupakan anak, sehingga berlaku keruntuhan akhlak di negara-negara barat yang dianggap maju itu. Kemajuan mereka membakar dan memusnahkan diri mereka sendiri. Maka orang Islam jangan terikut-ikut dengan mereka. Mereka hendaklah terus berpegang dengan Islam walaupun dalam keadaan yang lemah.

Namun kita mesti sedar, Islam telah dihimpit supaya orang Islam meninggalkan ajaran Islam dengan cara yang halus dan licik. Setelah mereka menjajah tanahair umat Islam, mereka mengubah pemikiran orang Islam dalam urusan dunia setelah dikurungnya orang Islam di dalam masjid; dalam perkara ibadat seperti sembahyang, zikir, doa, harta waqaf dan nikah kahwin sahaja, sedangkan urusan dunia telah disesatkan oleh mereka. Secara halus mereka menarik orang Islam supaya jahil berkenaan dengan agama Islam sendiri.

Mereka melakukan gerakan yang licik dan halus tanpa disedari oleh orang Islam, sehingga mengubah cara hidup orang Islam kerana orang Islam lemah dalam pengajian Al-Quran. Apabila pengaruh Islam masuk ke dalam bahasa-bahasa umat Islam, ditulis dengan huruf Arab dan Jawi untuk memudahkan orang Islam mempelajari Al-Quran dan agama dialih kepada huruf latin atau rumi supaya orang Islam jauh daripada agama sedikit demi sedikit. Bahasanya diubah, termasuk budayanya, pakaiannya dan sukannya. Islam ada ajaran yang berkait dengan pakaian, berkait dengan sukan dan berkait dengan macam-macam perkara dunia yang tidak salah, dimasukkan unsur-unsur yang meruntuhkan akhlak, mendedahkan aurat, hilangnya maruah harga diri manusia sehingga jati diri orang Islam hilang. Apabila jati diri orang Islam hilang, sedikit sahaja orang Islam Islam melakukan kesalahan, dianggap kecacatan yang sangat besar, orang Islam tidak boleh diikut kerana jahat dan tidak betul, padahal mereka lebih jahat dan tidak betul daripada segala-galanya.

Islam telah membebaskan manusia daripada perhambaan hanya kepada Allah sahaja kepada kemerdekaan. Mereka memperhambakan manusia atas penjajahan dan atas nama kemajuan, bermula dengan penjualan hamba-hamba abdi di zaman awal penjajahan sehingga memperhambakan negara di zaman ini menggunakan hasil-hasil umat Islam untuk diperah oleh mereka. Orang Islam tidak boleh bangkit dengan sebab ditindas dan ditekan. Puncanya kerana kita jauh daripada agama. Maka kembalilah kepada agama yang menguat dan memuliakan kita, serta kembali semula kita mempelajari agama kita. Islamkan diri kita, islamkan negara kita dan islamkan ilmu dunia supaya dunia menjadi jambatan ke syurga di hari akhirat, bukan jambatan ke neraka.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ ١٠٠ ]سورة آل عمران : ١٠٠[


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment