Thursday, January 6, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 12 JAMADIL AWAL 1443 / 7 JANUARI 2022

JANJI KEMENANGAN ISLAM SUDAH BERLAKU

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ المُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudara-saudara Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Seterusnya marilah kita mendengar firman Allah Ta'ala dengan memperingatkan kita:

وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم ٣٨ [سورة محمد : ٣٨]


(Maksudnya): Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berjuang) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.

Ayat ini diturunkan kepada generasi awal di zaman Nabi s.a.w dan para sahabat radiAllahu 'anhum yang menjadi pengajaran kepada umat Islam sehingga Hari Kiamat. Saiyidina 'Umar Al-Khattab r.a memperingatkan umat Islam ketika melawat Baitul Maqdis setelah dibebaskan daripada penaklukan Rom, hukum Allah terhadap kaum Yahudi yang membunuh nabi-nabi dan rasul-rasul serta para ulamak yang soleh meninggalkan kitab Taurat dilaknat oleh Allah, lalu Allah hukum mereka dengan penaklukan tentera Rom. Akhirnya tentera Islam dapat membebaskan Baitul Maqdis di zaman Khalifah 'Umar bin Al-Khattab r.a. Saiyidina 'Umar memperingatkan para sahabat dan tabi'in yang ada pada masa itu dengan ucapannya yang terkenal:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، وَمَهْمَا نَبْتَغِ الْعِزَّةَ بِغَيْرِهِ أَذَلَّنَا اللَّهُ.


(Maksudnya): Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripadanya nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah.

Hari ini kita menyaksikan umat Islam diuji oleh Allah s.w.t apabila mereka meninggalkan perjuangan Islam di awal menentang penjajah yang menakluk negeri-negeri Islam. Sesungguhnya golongan Islamlah yang memulakan perjuangan menentang penjajah, tetapi penjajah bukan Islam telah berjaya menipu umat Islam dan mengalih fahaman mereka kepada ajaran kebangsaan ataupun nasionalisme. Lalu mereka mengubah perjuangan kemerdekaan itu kepada perjuangan kebangsaan. Maka banyaklah negeri-negeri umat Islam yang merdeka atas nama kebangsaan. Kononnya dengan meninggalkan Islam, mereka menjadi maju seperti orang-orang barat. Apa yang berlaku, mereka terus dalam keadaan lemah walaupun sudah berpuluh-puluh tahun mencapai kemerdekaan. Ini termasuk orang Arab sendiri yang paling hampir dengan Al-Quran, yang diturunkan dengan bahasa mereka, juga meninggalkan Islam, menumpu kepada perjuangan kebangsaan.

Allah menguji Palestin ditakluk semula oleh orang-orang Yahudi dengan sokongan kuasa-kuasa besar penjajah untuk menjadi masalah kepada umat Islam. Yahudi menakluk bumi Palestin termasuk mereka menguasai Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa yang menjadi kiblat yang pertama umat Islam sebelum dihadapkan ke Ka'abah dengan perintah Allah s.w.t dan tempat berlakunya Israk dan Mikraj Nabi s.a.w ketika menjadi tetamu Allah s.w.t serta mengimamkan sembahyang jamaah dengan para anbiya' 'alaihimus solatu wassalam di alam roh. Ini menandakan semua nabi adalah Islam, tidak ada nabi Yahudi, tidak ada nabi Kristian dan tidak ada nabi yang menganut ajaran syirik. Islam adalah agama Allah s.w.t:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ ١٩ ]سورة آل عمران : ١٩[


(Maksudnya): Sesungguhnya Din (agama) di sisi Allah adalah Islam.

Hari ini Allah s.w.t menguji Baitul Maqdis, kiblat pertama umat Islam ditakluk dan orang Yahudi Zionis sedang merancang untuk merobohkan Masjidil Aqsa untuk didirikan di atas runtuhannya bangunan yang didakwa oleh mereka sebagai Haikal Sulaiman, kuil agama Yahudi untuk menunggu kedatangan Al-Masih Ad-Dajjal yang akan menakluk dunia memimpin kerajaan agung bangsa Yahudi.

Apabila tanahair umat Islam dijajah dan ditakluk, hukum jihad adalah wajib. Wajin bagi umat Islam berjihad di atas nama Islam. Tetapi seruan jihad tidak disambut oleh umat Islam. Telah beberapa mereka berjuang di atas nama kebangsaan. Berpuluh-puluh tahun Baitul Maqdis ditakluk, mereka gagal untuk membebaskannya semula. Allah telah menunjukkan di dalam sejarah bagaimana Baitul Maqdis ditakluk oleh Rom, dibebaskan oleh Saiyidina 'Umar dengan Islam. Kemudian ditakluk oleh tentera Salib, Solahuddin Al-Ayubi membebaskannya dengan Islam. Maka tidak ada yang boleh membebaskan Baitul Maqdis melainkan dengan Islam.

Tetapi malangnya negara-negara Arab bukan sahaja kekal dengan kebangsaan mereka, menyambut hari kebangsaan, hari menjatuhkan kerajaan Islam, masih tebal dengan semangat kebangsaan mereka dan mereka gagal bahkan makin hari makin lemah satu demi satu negara Arab dan negara Islam melakukan normalisasi (mengiktiraf) negara Israel yang haram itu. Negara yang haram diiktiraf oleh orang Islam. Satu pencabulan terhadap agama sendiri. Ini yang sedang berlaku.

Namun Allah s.w.t tidak akan memadamkan cahaya Islam. Hari ini berlaku kebangkitan Islam di Palestin - Al-Muqowamatul Islamiyyah - kumpulan Islam bangkit menentang Yahudi di Palestin. Umat Islam di seluruh dunia sedang memerhati. Terpulang kepada mereka, tepuk dada dan tanya iman masing-masing. Kebanyakan negara Islam tidak memberi perhatian, hanya segelintir sahaja yang memberi perhatian. Kebanyakan negara Islam tidak mengambil tahu dan sebahagian orang Islam juga tidak mengambil tahu. Sekarang belaku kebangkitan Islam yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ يَخْذُلُهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ. [رواه الترمذي]

(Maksudnya): Akan tetap ada di kalangan umatku kumpulan yang bangun menyatakan kebenaran, mereka tidak boleh dimudharatkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga datangnya urusan Allah.

Para sahabat bertanya:
مَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّه؟

(Maksudnya): Siapakah mereka itu, wahai Rasulullah?

Sabda Rasulullah s.a.w:

هُمْ أَصْحَابُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

(Maksudnya): Mereka ialah penduduk Baitul Muqaddis dan di keliling Baitul Muqaddis.

Kita menyaksikan janji Nabi s.a.w telah berlaku sekarang, bagaimana orang-orang Palestin, penduduk di keliling Baitul Maqdis, penduduk di Lubnan, penduduk di Ghaza dan lain-lain di sebahagian Mesir bersama rakyat Palestin walaupun mereka bukan kerajaan. Mereka melawan tentera Israel yang mempunyai senjata paling canggih dengan kayu-kayu dan batu-batu. Mereka tidak menyerah kalah walaupun silih berganti gugur syahid, yang cedera, dikurung dalam penjara, dikurung dalam tembok dan dimusnahkan rumah. Janji sudah berlaku. Apa yang disebut oleh Nabi s.a.w sudah berlaku dan Islam akan menang. Mereka yang lemah semangatnya akan rugi di dunia dan rugi di akhirat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ٢٠٠ ]سورة آل عمران : ٢٠٠[


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, (di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment