Thursday, October 21, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 15 RABIUL AWAL 1443 / 22 OKTOBER 2021

 NIKMAT PERSAUDARAAN BERDASARKAN IMAN

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَكْرَمَنَا بِنِعْمَةِ الْإِسْلَامِ وَفَضَّلَنَا كَثِيْرٍ مِنَ الْأُمَمِأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ١٠٣ [سورة آل عمران : ١٠٣]


(Maksudnya): Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebab turunnya ayat ini adalah memberi peringatan kepada umat Islam di zaman Rasulullah s.a.w yang telah berjaya dipersatukan dengan persaudaraan Islam, khususnya dalam kalangan Aus dan Khazraj; dua qabilah Arab penduduk Madinah yang berperang sejak beratus tahun kerana sebab-sebab dunia. Setelah mereka masuk Islam, mereka disatukan dengan semangat persaudraan Iman dan Islam, laksana bersaudara yang lebih akrab daripada saudara kandung.

Kesatuan umat Islam ini menyebabkan orang-orang yahudi Madinah tidak senang kerana hasad dengki mereka terhadap Islam dan penganutnya. Lalu mereka merancang dengan menugaskan penyair yang petah bercakap dengan ingkapan syair yang menarik membangkitkan semula semangat kepahlawanan Aus dan Khazraj. Ini menyebabkan pemuda-pemuda Aus dan Khazraj berbangga dengan pahlawan masing-masing, lalu mereka bertengkar sehingga hampir mencetuskan semula peperangan.

Demi mendengar berita pergaduhan itu, maka Nabi s.a.w datang bersama dengan para sahabat dalam kalangan pemimpin untuk memberi nasihat kepada mereka, "Adakah kamu hendak kembali semula ke zaman jahiliyyah (zaman belum Islam) dalam keadaan kamu masih hidup dalam kalangan kamu?"

Bagi menguatkannya, Allah s.w.t menurunkan ayat tersebut. Setelah ayat tersebut dibaca kepada mereka, iman yang ada di dalam hati mereka menyedar dan menginsafkan. Mereka menyesal, menangis, bertaubat dan bermaafan di antara satu sama lain.

Ini adalah peringatan daripada Allah s.w.t kepada umat Islam sehingga hari kiamat. Para ulamak tafsir mengatakan:

الْعِبْرةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ.


(Maksudnya): Pengajaran diambil daripada lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus.

Ia bukan khusus di zaman Nabi s.a.w bagi kalangan Aus dan Khazraj sahaja, tetapi ia menjadi pengajaran kepada umat Islam sehingga hari kiamat.

Supaya mereka menyedari betapa mulianya persaudaraan yang diasaskan di atas Iman dan Islam ini sehingga digambarkan oleh Nabi s.a.w:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى. [رواه البخاري ومسلم]


(Maksudnya): Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu angggotanya mengadu kesakitan, maka anggota tubuh yang lain turut merasa sakit dan demam.

Walaupun yang sakit itu hanya jari sahaja, tetapi ua menyebabkan mata tidak boleh tidur, tubuh demam dan seluruh anggota sakit. Itulah hubungan persaudaraan dalam kalangan orang Islam berdasarkan kepada Iman yang mesti dipelihara yang merupakan nikmat daripada Allah s.w.t.

Kita menyaksikan akhir-akhir ini hubungan persaudaraan dalam kalangan orang Islam sudah menjadi rapuh yang menandakan lemahnya iman mereka. Maka menjadi kewajipan kepada kita kembali kepada petunjuk Allah s.w.t. Iman adalah nikmat yang paling besar. Di antara tanda iman itu ialah mengeratkan hubungan persaudaraan sesama kita.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ١٠ [سورة الحجرات : ١٠[


(Maksudnya): Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment