Friday, February 11, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 9 REJAB 1443 / 11 FEBRUARI 2022

 KURNIA ALLAH TIADA TANDINGAN

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengambil pengajaran daripada firman Allah SWT:

وَقَالُوا إِن نَّتَّبِعِ الْهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفْ مِنْ أَرْضِنَا ۚ أَوَلَمْ نُمَكِّن لَّهُمْ حَرَمًا آمِنًا يُجْبَىٰ إِلَيْهِ ثَمَرَاتُ كُلِّ شَيْءٍ رِّزْقًا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ ٥٧ ]سورة القصص : ٥٧[


(Maksudnya): Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mengikut petunjuk (Islam) bersamamu (wahai Muhammad) nescaya kami akan diserang dan dibinasakan di Makkah ini oleh semua mereka yang berada di keliling kami (yang menolak Islam). (Allah menjawab): Tidakkah mereka sedar bahawa Kamilah yang telah meletakkan mereka di tanah haram yang aman ini, diberi kepada mereka semua jenis buah-buahan, rezeki daripada Kami (yang datang daripada luar Makkah), tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Ini menunjukkan bahawa sifat semulajadi yang ada pada diri manusia, percaya kepada Allah dan percaya akan benarnya ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, petunjuk asal kepada seluruh manusia sejak Nabi Adam AS, tetapi mereka tidak mengerti kekuasaan Allah SWT yang Maha Berkuasa. Itulah Allah yang memberi petunjuk Islam itu. Mereka melihat pandangan zahir sahaja.

Seluruh pelusuk dunia dalam keadaan jahiliyyah, kabilah-kabilah Arab dalam keadaan jahat, zalim dan liar, kuasa-kuasa besar di seluruh dunia semuanya dalam keadaan yang melampau. Mereka merasakan sekiranya Makkah mengikut petunjuk Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, akan binasalah penduduknya. Mereka tidak boleh keluar bebas ke seluruh pelusuk, nanti dirompak, disamun dan dibunuh oleh kabilah-kabilah Arab yang lain yang berada di sekeliling Makkah. Mereka tidak mampu menghadapi kuasa-kuasa besar dunia yang jahat di timur dan barat. Mereka melupai kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, bahawa semua makhluk yang dianggap berkuasa itu makhluk yang sangat halus dan sangat lemah.

Allah membuktikan kemenangan kepada rasul-rasul yang membawa Islam, apabila Nabi Nuh AS membawa ajaran Islam, berdakwah selama 950 tahun, orang-orang yang menganggap perjuangan Nabi Nuh mustahil mendapat kejayaan dan kemenangan, Nabi Nuh akan musnah bersama-sama pengikutnya. Apabila tiba masanya, Allah membinasakan kaum Nabi Nuh dengan taufan yang besar. Nuh dan pengikut-pengikutnya mendapat kemenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT walaupun memakan masa yang sangat panjang.

Begitulah juga perjuangan Nabi Ibrahim AS menghadapi Raja Namrud, yang memerintah kerajaan Babylon, kuasa besar dunia yang tidak ada tandingan di zamannya. Nabi Ibrahim sebatang kara menghadapi kerajaan kuasa besar dunia boleh menang dengan perjuangan yang dibawa olehnya, perjuangan agama Tauhid. Mereka melupai di sebaliknya kekuasaan Allah SWT. Apabila tiba masanya, Namrud dibinasakan oleh bala tentera nyamuk sahaja. Ibrahim mendapat kemenangan, melahirkan zuriat nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaimus solatuwas salam.

Begitulah juga Allah menyebut di dalam Al-Quran tentang Nabi Musa AS menghadapi Fir'aun yang mempunyai bala tentera yang ramai dan kuat di zamannya, tidak mungkin Nabi Musa mencapai kemenangan. Apabila tiba masanya, Fir'aun dan bala tenteranya ditenggelamkan oleh Allah di dalam laut.

Itulah kekuasaan Allah dan itulah kemenangan yang dijanjikan oleh Allah kepada umat Muhammad SAW. Allah membuktikan bagaimana bumi Makkah yang kering, tidak ada tumbuhan dan tanaman - وَادٍ غًيْرِ ذِي زَرْعٍ (lembah yang tiada tanaman) - tidak ada air yang banyak, tetapi dikurniakan rezeki yang melimpah ruah yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Makkah dijamin keamanannya oleh Allah SWT, tetapi pemimpin-pemimpinnya tidak percaya kepada jaminan Allah itu. Mereka melakukan syirik, menyembah patung-patung dan berhala-berhala, memuja jin dan syaitan dan melupai Tuhan yang Satu yakni Allah SWT.

Allah menunjukkan bagaimana umat Muhammad yang keluar dari Makkah berhijrah ke Madinah di padang pasir yang kering kontang, selepas wafat Nabi SAW, cahaya Islam tidak boleh dipadamkan. Semua kuasa besar dunia jatuh dan tumbang di hadapan cahaya Islam. Walaupun orang Islam mengalami kelemahan pada hari ini dengan sebab mereka meninggalkan Islam itu, mereka lupa daratan dan leka, tetapi cahaya Islam dipelihara oleh Allah SWT. Hanya mereka yang percaya kepada kekuasaan Allah akan terus bersama dengan Islam sama ada tenggelam atau timbul, menang atau kalah, di atas atau di bawah. Kurnia Allah tidak ada bandingan dan tidak ada tandingan.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

... وَلَيَنصُرَنَّ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ]سورة الحج : ٤٠[


(Maksudnya): Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment