Thursday, February 17, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 16 REJAB 1443 / 18 FEBRUARI 2022

 IMAN, AMAL, BENAR DAN SABAR

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْأَحَدِ، الْفَرْدِ الصَّمَدِ، الَّذِى لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُن لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَالْعَصْرِ ١ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ٢ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ٣ ]سورة العصر : ١-٣[


(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Surah ini adalah satu surah yang sangat pendek yang menjadi amalan generasi awal umat Islam mengakhirkan majlis mereka dengan membaca Surah ini.

Al-Imam As-Syafi'e pernah menyatakan:

لَوْ لَا أَنْزَلَ اللهُ عَلَى هَذِهِ الْأُمَّةِ إِلَّا هَذِهِ السُّورَةَ لَكَفَتْهُمْ


(Maksudnya): Kalau sekiranya Allah tidak menurunkan kepada umat ini melainkan Surah ini sahaja, nescaya cukup bagi mereka.

Surah ini terkandung di dalamnya perkara-perkara yang mesti dilakukan oleh diri manusia dalam kehidupan dunia ini. Allah memulakan Surah ini dengan bersumpah dengan masa. Perkara yang Allah bersumpah dengannya menunjukkan sesuatu yang penting. Masa adalah penting bagi kehidupan kita dalam dunia yang sentiasa dimakan oleh umur kita. Sekiranya kita tidak menggunakan masa dengan baik, maka rugi di dunia dan rugi di akhirat. Allah menegaskan, mereka yang tidak rugi hanya mereka yang mengisi masanya dengan beriman, mengerjakan amal yang soleh, berpesan-pesan dengan perkara yang benar dan berpesan-pesan supaya bersabar.

Iman adalah perkara yang sangat penting dalam kehidupan kita sehingga hari akhirat. Beriman kepada semua Rukun Iman - kepada Allah, Rasul dan perkara yang ghaib serta janji-janji yang benar daripada Allah melalui kita yang diturunkan menjadi asas kepada semua amalan kita. Mereka yang tidak ada iman, semua amalnya ditolak oleh Allah SWT. Maka iman hendaklah dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya dengan mengaji dan belajar bersungguh-sungguh untuk membetulkan iman kita dan mengetahui perkara yang boleh merosakkan iman, serta berusaha untuk menguat dan menambahkan iman kita.

Iman adalah teras kepada semua kehidupan kita. Jika tidak ada teras, maka runtuhlah kehidupan kita di dunia sampai ke hari akhirat.

Yang kedua, mengerjakan amal yang soleh (amal yang baik) dan meninggalkan amal yang jahat. Amal yang baik, dalam hubungan kita dengan Allah SWT, hubungan kita dengan diri kita sendiri, hubungan kita dengan keluarga, dengan jiran, dengan masyarakat dan dengan semua benda yang ada kaitan dalam kehidupan kita di dunia ini. Ia mestilah dilakukan mengikut perintah Allah SWT dengan batas-batas halal dan haram, betul dan salah. Semua perkara yang baik yang dilakukan oleh manusia dalam semua hubungan itu dijanjikan oleh Allah pahala yang sangat besar, sehingga sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda, sampai 700 kali ganda dan bahkan lebih daripada itu yang hanya diketahui oleh Allah SWT.

Dalam masa yang sama, amal yang baik juga adalah bertaubat daripada dosa. Kesedaran dan keinsafan kita apabila melakukan kesalahan, dengan kembali kepada perkara yang betul, beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Termasuk amal yang baik juga adalah meninggalkan kejahatan. Bukan sahaja tidak berdosa, bahkan diberi pahala oleh Allah SWT dengan syarat semua amal yang soleh itu mestilah dengan ikhlas kerana Allah Ta'ala. Bukan kerana menunjuk-nunjuk kepada orang, atau membesarkan diri dan sebagainya.

Seterusnya mesti berpesan dalam perkara yang benar. Yang benar hanyalah satu iaitu daripada Allah SWT sahaja.

الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ ۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ ١٤٧ ]سورة البقرة : ١٤٧ [


(Maksudnya): Kebenaran itu datangnya daripada Tuhanmu, oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.

Allah yang Maha Mengetahui, yang Maha Bijaksana, yang Maha Adil, yang Maha Penyayang terhadap hambaNya, semua perkara yang diperintah oleh Allah adalah benar. Semua perkara yang dilarang oleh Allah adalah salah. Semua perintah adalah baik dan semua yang dilarang membawa kejahatan dan keburukan kepada kita.

Oleh sebab mengikut yang benar ini sangat mencabar dalam kehidupan dunia yang bercampur aduk antara yang benar dan yang salah, halal dan haram, adil dan zalim, ia sangat mengelirukan. Kita mesti berpesan-pesan di antara satu sama lain, nasihat menasihati di antara satu sama lain, bina hubungan kasih sayang di antara satu sama lain untuk memelihara diri dan semua rakan-rakan sahabat dan keluarga kita.

Oleh sebab kebenaran mesti bertarung dengan kebatilan, kebaikan berlawan dengan kejahatan, maka berlaku perjuangan dalam kehidupan ini yang memerlukan kita sabar dengan kesabaran yang tinggi. Kesabaran boleh menahan kita daripada terjerumus ke dalam kejahatan. Ia merupakan benteng yang sangat kuat. Maka kuatklanlah diri kita dengan sabar, percaya kepada janji-janji Allah yang memberi kebaikan dunia dan akhirat sekiranya kita mengikut perkara yang benar. Hadapi kejahatan dengan sabar, hadapi perkara yang salah dengan sabar, walaupun berhadapan dengan kesusahan. Semua kesusahan dalam sabar itu diberi pahala oleh Allah SWT.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ٢٠٠ ]سورة آل عمران : ٢٠٠ [


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment