Thursday, April 28, 2022

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 27 RAMADAN 1443 / 29 APRIL 2022

  AL-QURAN MUKJIZAT ILMU

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا. 

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Dan carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah mereka yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ٩ ]سورة الحجر : ٩ [


(Maksudnya): Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar Memeliharanya.

Saudara muslimin yang dirahmati Allah,

Al-Quran yang diturunkan di bulan Ramadan yang diberkati ini adalah mukjizat yang besar yang diberi kepada nabi akhir zaman, Muhammad SAW untuk menjadi petunjuk kepada seluruh manusia [هُدً لِلنَّاسِ], manusia di akhir zaman ketika manusia berbangga dengan ilmu dalam segala bidangnya, khususnya ilmu sains dan teknologi yang mencipta alat-alat yang luar biasa, timbulnya fahaman-fahaman yang direka oleh akal fikiran manusia.

Allah memberi mukjizat ilmu melalui Al-Quranul Karim kepada Nabi Muhammad SAW, berbeza dengan mukjizat yang diberi kepada rasul-rasul di zaman dahulu, dengan perkara luar biasa yang dapat dilihat dengan mata seperti taufan Nabi Nuh AS yang menenggelamkan semuanya, Nabi Ibrahim yang tahan dibakar dalam api, Nabi Musa dengan tongkat yang menakjubkan, Nabi Sulaiman menguasai bahasa burung yang terbang di udara dan memerintah jin, makhluk yang ghaib bukan sahaja manusia, Nabi Isa menyembuhkan penyakit yang tidak mampu dirawat oleh ilmu perubatan manusia dan menghidupkan orang yang mati. Adapun Al-Quran adalah mukjizat ilmu yang diberi kepada Nabi Muhammad SAW, ilmu yang luar biasa yang tidak mampu dilawan oleh seluruh alam.

Allah Ta'ala memberi jaminan Al-Quran dipelihara oleh Allah, bukan sahaja memberi petunjuk kepada manusia yang tidak boleh dilawan petunjuknya sehingga hari ini. Ternyata Al-Quran adalah kitab yang benar daripada Allah. Kitab-kitab yang lain seperti Taurat, Injil dan lain-lain sudah diubah dan dipinda serta disesatkan yang terpesong daripada asalnya. Adapun Al-Quran, Allah mengurniakan ketahanan, tidak boleh dirosakkan atau dipinda oleh manusia walau bagaimana bijak sekalipun, dengan apa cara sekalipun. Walaupun Al-Quran dibakar hangus, ia tetap dipelihara oleh Allah di dalam dada para ulamak. Ilmu-ilmunya dipelihara oleh Allah, walaupun kitab-kitabnya habis dibakar kerana ilmunya di dalam dada para ulamak.

Pernah berlaku dalam sejarah Islam, apabila kaum Tatar yang ganas menakluk negeri-negeri Islam di Asia Tengah sehingga menawan Baghdad sampai ke Syam dan Palestin. Baghdad adalah pusat kerajaan Islam yang merupakan pusat ilmu, akhirnya menjadi kolam darah oleh pembunuhan bala tentera Tatar yang ganas. Kitab-kitab yang disimpan di Baghdad dipunggah, sama ada dibakar hangus ataupun dijadikan jambatan untuk menyeberangi Sungai Furat dan Dajlah, sehingga air kedua sungai itu berubah menjadi hitam oleh dakwat tulisan kitab-kitab yang dikarang oleh ulamak-ulamak. Tatar yang ganas mengganas dengan menyimbah arak di masjid, membunuh sesiapa yang melintas, menyerang sehingga keseluruhan negara Islam.

Allah telah melakukan satu perkara yang bersejarah pada 25 Ramadan 658 hijrah, tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Saifuddin Qutuz Rahimahullah dari Mesir telah berjaya mengalahkan kaum Tatar di 'Ain Jalut di Palestin, suatu perkara yang dianggap mustahil, tetapi tidak mustahil dengan kekuasaan Allah SWT. Berlaku perkara yang menakjubkan, pemimpin-pemimpin Tatar yang ganas berubah menjadi Islam. Mereka masuk Islam, mempertahankan Islam, menegakkan kerajaan Moghul di India, membina tamadun Islam. Tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia, melainkan sejarah Islam. Kebiasaannya bangsa yang dijajah yang lemah akan terpengaruh dengan penjajah, bangsa yang dijajah akan terpengaruh dengan budaya penjajah, sama ada pakaiannya, bahasanya dan semua pengaruh penjajah dianggap mulia. Betapa hinanya bangsa itu. Tetapi ketika umat Islam berpegang teguh dengan Al-Quran, bukan sahaja cahaya Islam yang tidak boleh dipadamkan itu, petunjuk kepada umat Islam, bahkan mempertahankan kekuatan mereka berjaya memasukkan Islam ke dalam hati-hati penjajah dan Islam berjaya dipertahankan.

Kita menyaksikan di zaman mutaakhir apabila perang salib yang terus menerus dilakukan, akhirnya kerajaan Islam jatuh dan tumbang di awal abad yang lalu. Islam tidak ada pelindung negara yang berdaulat, negeri-negeri Islam dipecah-pecah, bangsa umat Islam dilaga-lagakan. Ketika Islam dalam keadaan yang lemah, mereka melancarkan serangan pemikiran untuk memadamkan cahaya Islam dengan cara mendidik anak-anak orang Islam melalui Orientalis (orang-orang Eropah yang mengaji Islam dengan tujuan untuk merosakkan Islam), mendidik anak-anak orang Islam untuk merosakkan umat Islam. Mereka gagal merosakkan Islam, bahkan sebahagian Orientalis itu masuk Islam dan menyebarkan Islam di Eropah.

Pada hari ini, anak-anak orang Islam yang dilatih dengan budaya Barat, hanya segelintir sahaja yang terpengaruh dengan Barat dan terikut-ikut dengan mereka. Sebahagian anak-anak orang Islam kembali kepada Islam dan mempertahankan Islam. Berlaku kehebatan Allah SWT menundukkan kuasa Firaun yang menghalang kelahiran Nabi Musa AS dengan menyembelih anak-anak lelaki Bani Israil dan menghidupkan anak-anak perempuan sahaja. Tiba-tiba Musa yang hendak dibunuh itu dibesarkan di dalam istana Firaun sendiri, yang akhirnya menjatuhkan Firaun dan menghancurkan kerajaannya.

Hari ini kita menyaksikan mereka yang mahu menghancurkan Islam dengan menghancurkan ilmunya telah gagal. Islam dipelihara oleh Allah SWT. Semua ajaran yang lain daripada Islam sama ada agama atau ideologi, undang-undang dan apa cara sahaja terbukti kelemahan dan kegagalannya. Maka wajiblah kita umat Islam lebih yakin dan percaya kepada Islam. Dan marilah kita membina diri di bulan Ramadan ini untuk menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah hasil daripada puasa. Hanya mereka yang bertaqwa sahaja yang menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

الٓمٓ ١ ذَٰلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ ٢ ]سورة البقرة : ١-٢ [


(Maksudnya): Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya (tentang datangnya daripada  Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment