Friday, August 23, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 22 ZULHIJJAH 1440 / 23 OGOS 2019


SAINS DAN TEKNOLOGI : TERAS KEBANGKITAN UMMAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ ﴿١٩٠﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal". (Surah Ali-'Imran ayat 190)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Saya berpesan kepada diri saya dan sidang jamaah sekalian, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.a.w, yakni dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Mimbar juga ingain berpesan kepada para jamaah sekalian, agar jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Sempena sambutan minggu Sains Negara 2019, marilah kita sama-sama menghayati khutbah hari ini yang bertajuk; "Sains dan Teknologi : Teras Kebangkitan Ummah".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Umat Islam telah disebutkan di dalam Al-Quran, sebagai umat terbaik sepanjang zaman. Firman Allah s.w.t dalam Surah Ali-'Imran ayat 110:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ ... ﴿١١٠﴾

Maksudnya: "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)".

Khoiro Ummah atau umat terbaik ialah mereka yang menyuruh kepada yang maaruf (kebajikan), dan mencegah daripada kemungkaran (jahat dan keji), serta beriman kepada Allah. Ciri utama umat yang terbaik adalah keimanan yang utuh kepada Allah s.w.t.

Keimanan tidak terhasil dengan sendiri. Ia hendaklah dijana degan ilmu pengetahuan dan amal yang berterusan. Antara jalan bagi mencapainya adalah dengan cara tadabbur, yakni merenung alam ciptaan Allah, menghayati kehebatan Allah, serta mengambil manfaat daripadanya demi kemaslahatan hidup di dunia, sesuai dengan peranan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Allah s.w.t lebih memahami keperluan makhluk ciptaan-Nya. Dia telah menyediakan ruang untuk kita berfikir, dengan melihat alam dan mengambil manfaat daripadanya. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 164:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ النَّاسَ وَمَا أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِن مَّاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَابَّةٍ وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ ﴿١٦٤﴾ 

Maksudnya: "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran".

Ibnu Katsir ketika mentafsirkan ayat ini menyebutkan:

"Dalam terbentangnya laut oleh Allah s.w.t, sehingga bahtera dapat berlayar dari tempat ke tempat yang lain, adalah untuk kepentingan kehidupan manusia, dan agar mereka dapat mengambil manfaat dari penduduk suatu daerah dan membawanya ke arah yang lain, silih berganti".

Setiap makhluk ciptaan Allah s.w.t tidak sia-sia. Ia mengandungi faedah dan manfaat yang besar buat kita, jika ia digembeling dengan sebaiknya. Ia bukan sahaja memberi manfaat untuk kehidupan dunia semata-mata, bahkan juga bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah serta memudahkan ibadah seharian manusia.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Terdapat banyak ayat Al-Quran yang menuntut manusia untuk memerhati, mengamati dan memikirkan. Ayat-ayat yang bermula dengan ungkapan (أَوَلَمْ يَرَوْا) , (أَفَلَا يَنْظُرُون) , (أَلَمْ تَرَ) , semuanya menuntut penelitian yang jauh lebih mendalam. Begitu juga ayat-ayat yang menyebut tentang perbandingan sesuatu penciptaan dengan kehidupan manusia.

Semua ayat ini menuntut manusia untuk memerhati dan mengamati, serta mengkaji dengan mendalam apa manfaat disebaliknya. Penelitian terhadap dalil naqli atau Al-Quran dan Sunnah perlu melalui proses sains dan perkiraan matematik, sehinggalah kita mendapat natijah yang lebih luas dan bermanfaat daripada kefahaman dalil tersebut.

Contohnya, dalam Surah An-Nahli, Allah s.w.t menerangkan tentang kehidupan lebah dan penghasilan madu sebagai sifak atau penawar. Hanya dengan kajian mendalam melalui ilmu sains, barulah penemuan ubat-ubatan untuk merawat, mengawal dan mencegah penyakit berjaya dihasilkan. Bahkan sehingga kini, kajian terhadap khasiat madu masih lagi giat dijalankan.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Kita sedia mengetahui, ramai ilmuan Islam terdahulu terdahulu telah mengabdikan kehidupan mereka demi kemaslahatan umat. Nama ilmuan seperti seperti Ibnu Sina yang pakar bidang perubatan, Al-Khawarizmi yang pakar bidang astronomi, Ibnu Firnas yang pakar bidang penerbangan, Al-Jabar yang pakar bidang matematik serta lain-lain lagi.

Nama-nama ini sentiasa menjadi sebutan, bukan oleh umat Islam sahaja, bahkan oleh orang-orang bukan Islam yang turut mengiktiraf sumbangan mereka kepada tamadun dunia, hingga ke hari ini.

Jika umat Islam berupaya menggembeling tenaga, untuk memahami dan memenuhi tuntutan fardu kefayah ini, barulah kita layak dinobatkan sebagai umat terbaik, seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Namun, pencapaian sedemikian semakin jarang kita dengari pada hari ini. Umat Islam lebih dilihat sebagai pengguna teknologi berbanding pengeluar. Ini berlaku setelah meledaknya arus sekularisme, yang memisahkan kehidupan dunia dan akhirat. Hakikatnya, dakwaan ini jauh panggang dari api. Setiap perlakuan manusia dalam apa jua perkara, pasti akan menerima ganjaran dari sisi Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Taubah ayat 105:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ﴿١٠٥﴾ 

Maksudnya: "Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sehubungan dengan itu, bersempena dengan sambutan minggu Sains Negara 2019, khatib menyeru supaya kita berusaha menyemai semangat cintakan ilmu dalam diri anak-anak kita. Ini termasuklah ilmu sains dan teknologi, yang sangat diperlukan oleh umat masa kini.

Mahukah kita dijajah sekali lagi, akibat tidak mengkaji ayat-ayat Allah dan mengambil manfaat daripadanya? Sedangkan jika kita benar-benar mengkaji dan mendalami Al-Quran dan Sunnah, sudah pasti kita tidak akan mengabaikan kepentingan ilmu sains dan teknologi sebagai teras kebangkitan ummah.

Sebagai kesimpulan, khatib ingin berkongsi ringkasan khutbah sebagai peringatan kita bersama:

1. Allah telah menciptakan alam ini sebagai tanda kebesaran-Nya, untuk dimanfaatkan oleh manusia.
2. Umat Islam hendaklah menguasai ilmu sains dan teknologi, bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah, seterusnya menjadi umat pengeluar dan bukan sekadar pengguna semata-mata.
3. Menguasai bidang sains dan teknologi demi ummah  adalah sebahagian daripada tuntutsn Islam. Kelak diakhirat, sudah tentu ia akan dihitung sebagai amal soleh di sisi Allah s.w.t.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, walau hidup kita sempit tanpa limpahan harta, walau kita sering melakukan dosa, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah dan kasih sayang-Nya, di hari akhirat kelak.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment