Thursday, August 8, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 8 ZULHIJJAH 1440 / 9 OGOS 2019


HIKMAH DARIPADA SYI'AR IBADAH HAJI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ  الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا. 
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 
قَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ، أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ ﴿٩٦﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadah kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia". (Surah Ali-'Imran ayat 96)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bersempena hari Jumaat yang penuh barokah ini, mimbar ingin menyeru para jamaah untuk sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.a.w, dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Sebelum meneruskan khutbah, mimbar juga berpesan kepada sidang jamaah, agar jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita tergolong dalam kalangan mereka yang berjaya, di dunia dan di akhirat. Mimbar pada minggu ini akan membicarakan khutbah bertajuk, "Hikmah Daripada Syi'ar Ibadah Haji".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Pada masa ini, para jamaah haji dari seluruh dunia masih membanjiri kota suci Makkah. Mereka memiliki tujuan yang satu, iaitu menyempurnakan ibadah haji. Dengan perasaan bercampur baur mereka meninggalkan keluarga dan tanahair tercinta bagi memenuhi seruan Rukun Islam Kelima. Setiap individu bertuah yang terpilih menunaikan haji mengidamkan haji yang mabrur. Haji mabrur ditakrifkan oleh sebilangan ulamak sebagai haji yang makbul atau diterima oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda, dalam sebuah hadits riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّةُ

Maksudnya: "Satu umrah ke umrah berikutnya adalah penghapus dosa antara keduanya, dan haji mabrur tidak ada balasan baginya kecuali syurga".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya ibadah haji bukanlah upacara ibadah semata-mata, sebaliknya ia memiliki banyak pengajaran. Bermula dengan niat berihram, para jamaah dilarang melakukan beberapa perkara yang ditegah oleh Allah s.w.t. Ibadah tawaf iaitu gerakan mengelilingi ka'abah sebanyak 7 kali, membawa mesej bahawa hidup kita mesti mengikut aturan yang ditentukan oleh Allah s.w.t.

Ibadah sa'ie iaitu berulang alik dari bukit Safa ke Marwah, menjadi lambang perjuangan yang tidak kenal erti penat dan lelah. Ia diambil daripada peristiwa Siti Hajar mencari air untuk puteranya Ismail a.s. Peristiwa ini memberi pengajaran bahawa kita perlu berusaha, kerana Allah s.w.t menjanjikan kesenangan akan selepas kesusahan, sebagaimana dalam firman-Nya:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٥﴾ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٦﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan". (Surah As-Sharh ayat 5 hingga 6)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ibadah wukuf di 'Arafah pula memberi gambaran tentang suasana manusia mengadap Allah di padang Mahsyar. Jutaan jamaah haji membanjiri 'Arafah dalam cuaca panas. Ia memberi mesej bahawa setiap kita tidak akan terlepas daripada menunggu giliran dalam lautan manusia untuk diadili pada hari akhirat. Ia juga memotivasikan jiwa kita untuk sedar bertapa kerdilnya diri kita di hadapan Allah s.w.t, lalu mendorong kita melakukan persiapan sebelum mati.

Amalan melontar jamrah pula merupakan simbol penentangan kita kepada segala tipu daya syaitan. Ia juga ikrar kita bahawa syaitan adalah musuh yang nyata kepada manusia. Firman Allah s.w.t dalam Surah Fatir ayat 6:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ... ﴿٦﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (kamu)".

Akhir sekali tahallul, ia menjadi simbol bahawa jamaah haji telah selesai menjalani suatu latihan. Ia mendidik jiwa agar terus istiqamah dalam ketaatan walaupun sudah pulang ke tanahair. Ini kerana orang yang sempurna menunaikan haji tidak lagi mempunyai dosa, mereka seolah-olah bayi yang baru dilahirkan.

Sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim:

مَنْ حَجَّ فَلَمْ يَرْفُثْ وَلَمْ يَفْسُقْ رَجَعَ كَمَا وَلَدَتْهُ أُمُّهُ

Maksudnya: "Sesiapa yang menunaikan haji, dengan tidak berbicara kotor dan tidak mencaci, maka diampuni dosanya seperti hari ia dilahirkan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada bulan Zulhijjah yang mulia ini, marilah kita sama-sama mendoakan kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan para jamaah haji yang berada di tanah suci. Bagi yang belum melaksanakan ibadah haji hendaklah kita mempunyai azam yang kuat untuk ke sana. Simpanlah sebahagian pendapatan kita dan segeralah mendaftar dengan pihak Tabung Haji. Berdoalah semoga Allah permudahkan jalan untuk kita menunaikan haji selagi hayat masih ada. Firman Allah dalam Surah Ali-'Imran ayat 97:

فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ ﴿٩٧﴾ 

Maksudnya: "Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) Maqam Ibrahim. Barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia. Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap Allah iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) daripada semesta alam".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar juga menyeru agar kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.


No comments:

Post a Comment