Friday, August 9, 2019

KHUTBAH KHAS AIDIL ADHA TUAN GURU PRESIDEN PAS - 10 ZULHIJJAH 1440 / 11 OGOS 2019


Khutbah 'Aidil Adha 1440

[Khutbah Yang Pertama]

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا حَمْدًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ. وَالْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِي مَزِيدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلَالِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ.

أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَىٰ وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِينَا مُحَمَّدٍ، إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

Wahai hamba-hamba Allah! 

Bertaqwalah kamu kepada Allah (mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya). Dan carilah bekalan, maka sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah mereka yang bertaqwa kepada Allah.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Hari ini kita menyambut Hari Raya Adha (hari raya korban) atau hari raya haji, bersempena dengan ibadat haji dan ibadat korban. Haji adalah satu daripada rukun Islam dan ibadat korban pula adalah ibadat menyembelih binatang peliharaan dan menyumbangkan kebajikan kepada masyarakat. Dua ibadat ini sangat besar kelebihannya. Dua ibadat ini juga menunjukkan taqwa kepada Allah dan memperingati nabi besar Ibrahim a.s yang dimuliakan martabatnya di dunia dan akhirat di sisi Allah, diberi gelaran bapa kepada para anbiyak 'alaihimus solatu wassalam.

Adapun ibadat haji itu menghimpunkan berjuta-juta umat Islam yang mewakili beratus ribu juta umat Islam yang berada di seluruh pelusuk dunia. Menyatakan kesatuan mereka di hadapan Allah dengan ibadat, dengan cara yang sama, tidak mengira pangkat, harta, bangsa dan warna kulit. Kemuliaan di sisi Allah adalah sifat taqwa yang ada di dalam diri masing-masing, kerana Allah Ta'ala berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾ [سورة الحجرات : ١٣]

(Maksudnya): "Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu berasal daripada seorang lelaki dan seorang perempuan (Adam dan Hawa), berbangsa-bangsa dan bersuku kaum, tujuannya supaya kamu berta'aruf (berkenalan secara bermasyarakat). Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui berkenaan diri kamu dan paling tahu berkenaan urusan kamu".

Rasulullah s.a.w pula bersabda dalam khutbahnya ketika menunaikan haji wida' (selamat tinggal):

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلَّا بِالتَّقْوَى. [رواه أحمد وغيره]

(Maksudnya): "Wahai manusia! Ingatlah, sesungguhnya Tuhan kamu itu satu sahaja, bapa kamu juga satu (Adam). Ingatlah, bahawa tiada kelebihan bagi yang berbangsa arab dibandingkan bukan arab, tiada kelebihan juga bagi bukan arab dibandingkan berbangsa arab, yang berkulit warna merah (putih) dan yang berkulit hitam terhadap yang berkulit merah (putih) dan berkulit hitam terhadap yang berkulit merah (putih) melainkan sifat taqwa di dalam dirinya".

Adapun yang berkorban pula Allah Ta'ala berfirman:

لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ ﴿٣٧﴾ [سورة الحج : ٣٧]

(Maksudnya): "Allah itu tidak akan mengambil daging-daging dan darah-darah (binatang korban itu kerana Allah tidak berhajat kepadanya sedikit pun) tetapi Dia memberi kelebihan yang dicapai oleh sifat taqwa yang ada di kalangan kamu. Begitulah Allah mengurniakan kelebihan kepada kamu, sehingga kamu dapat menguasainya untuk diri kamu, supaya kamu membesarkan Allah (memuliakannya menyatakan kesyukuran) kerana hidayah petunjuk-Nya kepada kamu dan berilah berita gembira kepada mereka yang membuat kebajikan".

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Ibadat haji dan korban itu dimulakan oleh Nabi Ibrahim a.s (bapa para anbiyak 'alaihimus solatu wassalam), menjadi tauladan seorang Islam yang bertaqwa kepada Allah, apabila melaksanakan semua perintah Allah dengan ikhlas, bersabar dan sedia berkorban apa sahaja dengan nikmat yang diberi Allah kepadanya kerana menunaikan semua perintah Allah kepadanya, walaupun mengorbankan diri dan keluarganya, harta dan segala kesenangan dunia, kerana beriman bahawa semuanya adalah milik bagi Allah.

Kalau mahu menjadi seorang Islam yang sebenarnya, ikutlah contoh Nabi Ibrahim a.s. Firman Allah Ta'ala:

وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفْسَهُ ۚ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ ﴿١٣٠﴾ إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ ﴿١٣١﴾ [البقرة : ١٣١ - ١٣٠]

(Maksudnya): "Dan sesiapa yang tidak ingin (atau tidak senang) dengan ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, nescaya dia membodohkan dirinya sendiri. Demi sesungguhnya Kami pilih Ibrahim di dunia menjadi nabi dan rasul dan di akhirat nanti dia termasuk di kalangan orang-orang yang soleh (yang mulia martabatnya). Ingatlah, apabila Kami berkata kepadanya: Wahai Ibrahim, jadilah seorang Islam. Ibrahim menjawab: Saya menjadi Islam dengan ikhlas kerana Allah Tuhan sekalian alam".

Sebenarnya kita sedang menyaksikan kebodohan manusia yang meninggalkan petunjuk Islam, apabila mereka tenggelam di dalam maksiat hawa nafsu yang menjadikan mereka itu lebih bodoh daripada binatang yang tidak berakal, sehingga bukan sahaja tidak boleh membezakan di antara baik dan buruk, bahkan sehingga tidak mengenal lelaki dan perempuan. Lebih sedihnya sehingga merosakkan diri sendiri dengan benda-benda yang mencabut dan menghilangkan akalnya yang mulia diberi Allah itu dengan dadah dan arak, sehinggalah membunuh dirinya dan orang lain, menjadikannya lebih ganas daripada binatang yang buas dan liar, menunjukkan perkara yang telah diberi amaran oleh Allah Ta'ala:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ ﴿١٧٩﴾ [سورة الأعراف : ١٧٩]

(Maksudnya): "Dan sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi neraka jahannam itu ramai di kalangan manusia dan jin, yang terdiri daripada kalangan yang ada akal fikiran yang tidak berfikir, ada mata yang tidak melihat mengambil pengajaran dan ada telinga yang tidak mendengar mengambil iktibar. Mereka itu sebenarnya lebih bodoh daripada binatang, bahkan lebih sesat. Mereka itu orang-orang yang lalai (leka)".

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Semua perkara yang disuruh oleh Allah dan yang dihalalkan kepada manusia adalah baik dan memberi manfaat atau faedah kepada diri manusia sendiri dan Allah itu Maha Kaya tidak berhajat kepada apa-apa faedah daripada iman dan amal hamba-Nya dan Allah Maha Kasih dan Penyayang kepada hamba-Nya, di mana semua pahala kebaikan dan kelebihan diberi kepada hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Semua perkara yang diharamkan mendatangkan mudarat kepada diri manusia sendiri. Inilah dia petunjuk Islam. Tiba-tiba ditolaknya Islam dan dilawannya. Tidakkah ini sifat yang paling bodoh?

Sabda Rasulullah s.a.w:

مَثَلِي وَمَثَلُكُمْ كَمَثَلِ رَجُلٍ أَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَ الْجَنَادِبُ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهَا، وَهُوَ يَذُبُّهُنَّ عَنْهَا، وَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ عَنْ النَّارِ، وَأَنْتُمْ تَفَلَّتُونَ مِنْ يَدِي. [رواه مسلم]

(Maksudnya): "Bandingan hubungan aku dan kamu laksana aku seorang yang menyalakan api, tiba-tiba datang binatang serangga kelkatu dan lain-lain berterbangan, berebut-rebut terjun ke dalam api yang membakar diri sendiri, lalu aku menarik tali pinggang dan tali seluar kamu bagi menghalangnya, tetapi kamu merentap tanganku kerana mahu terjun ke dalam api yang merbahaya itu".

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Begitulah bodohnya manusia yang menolak Islam dan melawan Islam ini. Walaupun begitu, kita tetap wajib menyelamatkan mereka semua. Maka siapakah lagi yang boleh menyelamatkan manusia selepas wafatnya Rasulullah s.a.w dan tidak ada rasul selepasnya kerana baginda ialah nabi dan rasul akhir zaman.

Maka Allah telah memberi petunjuk di dalam kitab-Nya Al-Quran yang tetap dipelihara dan menjadi petunjuk di sepanjang masa dan zaman. Firman Allah Ta'ala:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٠٣﴾ وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾ وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ ۚ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ ﴿١٠٥﴾ [سورة آل عمران : ١٠٥ - ١٠٣]

(Maksudnya): "Dan berpeganglah kamu semua dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah (meninggalkan tali Allah). Dan ingatlah kepada nikmat Allah yang diberi kepada kamu (iaitu nikmat Islam), ketika kamu sebelum Islam berada dalam keadaan bermusuhan (sehingga berperang sesama sendiri), lalu Allah menjinakkan hati-hati kamu sehingga dengan nikmat Islam itu kamu bersaudara (dengan ikatan Iman dan Islam). Dan ingatlah, kamu dahulunya berada di tepi gaung neraka (kerana kafir), lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya (dengan petunjuk Islam). Begitulah Allah menyatakan kepada kamu akan ayat-ayat-Nya supaya kamu mendapat petunjuk. Dan hendaklah ada di kalangan kamu satu kumpulan yang berdakwah kepada kebajikan (mengajak kepada Islam yang sempurna), menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan (dunia dan akhirat). Dan janganlah kamu menjadi seperti umat di zaman dahulu yang berpecah belah dan berkelahi setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan (kitab Allah dan para rasul-Nya), mereka itu disediakan azab yang sangat besar (di dunia dan neraka di akhirat)".

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Firman Allah itu telah menunjukkan perkara-perkara yang sangat penting kepada orang-orang yang beriman.

Pertama: Bersatu bersama Islam;
Kedua: Mengadakan kumpulan atau jamaah Islam;
Ketiga: Jangan berpecah-belah.

Dalam perkara yang pertama: Hari ini umat Islam yang datang daripada seluruh pelusuk dunia menunaikan ibadat haji di Makkatul Mukarramah, mereka yang berkemampuan menunaikan rukun Islam yang kelima dengan segala syarat dan rukunnya. Mereka melaungkan syiar tauhid (mengEsakan Allah sahaja Tuhannya) tiada tuhan yang lain daripada-Nya, beribadat dengan satu kiblat dan bersatu menjadi saudara dalam Islam, walaupun mereka daripada berbagai bangsa, warna kulit, taraf kehidupan, pangkat dan harta.

Islam menyatukan penganutnya dengan persaudaraan Islam yang lebih besar daripada hubungan keluarga, bangsa dan tanahair, kerana hubungan dengan ikatan tali Allah (yakni agamanya Islam) yang membawa ke jalan selamat daripada dunia sehingga akhirat. Jangan putuskan tali Allah yang menyatukan kita semua di seluruh dunia.

Yang kedua: Rasulullah s.a.w telah menegaskan dengan sabdanya:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ. [متفق عليه]

(Maksudnya): "Akan tetap ada di kalangan umatku satu kumpulan yang bangun berjuang menyatakan kebenaran (agama Islam), mereka tidak boleh dihapuskan oleh orang-orang yang mengecewakan (menentang) mereka sehingga tibanya urusan Allah memenangkan mereka".

Kumpulan yang berdakwah kepada Islam semuanya dan berusaha mendapat kuasa menegakkan Islam itu sehingga berkuasa menunaikan kewajipan amar maaruf dan nahi mungkar (memerintah dengan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran).

Yang ketiga: Jangan sekali-kali berpecah sehingga bermusuh sesama Islam yang akhirnya menerima bencana umat di zaman dahulu, celaka di dunia dan neraka di hari akhirat.

Walaupun musuh-musuh Islam telah merungkai perpaduan Islam sehingga ada di kalangan mereka yang berpaling semula kepada jahiliyyah yang menyebabkan tanahair umat Islam dipecahkan mengikut sempadan negara dan bangsa yang dicipta oleh penjajah sehinggalah berkelahi dan ada yang berperang sesama sendiri. Tetapi ibadat haji ke Makkah dan ka'abah menjadi kiblat bersama, Al-Quran pula terus dipelihara bacaannya, menandakan tali Islam tidak boleh diputuskan. Maka kembalilah semula bergantung dengan tali Allah yang teguh ini.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٧١﴾ وَعَدَ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ۚ وَرِضْوَانٌ مِّنَ اللَّهِ أَكْبَرُ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ ﴿٧٢﴾ [سورة التوبة : ٧٢ - ٧١]

(Maksudnya): "Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan itu bertolong menolong sesama mereka, menjalankan kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mentaati Allah dan rasul-Nya, mereka itulah yang akan mendapat rahmat Allah, dan Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Allah berjanji kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan itu segala syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan diberi juga tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga-syurga 'Adnin. Dan keredaan Allah itu lebih besar (daripada yang lain), itulah kemenangan yang paling besar".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.



[Khutbah Yang Kedua]


اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

أَشْهَدُ اَنْ لاَ إِلَــهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَشَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:

فَيَاعِبَادَ اللهِ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.

Muslimin dan muslimat sekalian,


Marilah pada hari raya ini kita merasakan betapa besarnya nikmat iman dan Islam yang dikurniakan kepada kita oleh Allah Ta’ala. Dan hanya kematian ddalam iman dan Islam sahaja yang diredhai oleh Allah sebagaimana firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾ [سورة آل عمران : ١٠٢]

(Maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu di dalam keadaan beragama Islam".

Pada hari ini juga hendaklah kita ingat betapa besarnya nikmat persaudaraan Islam yang dianjurkan di dalam Islam. Tanda iman seseorang ialah dia kasih kepada saudara seagama dengannya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ. [رواه البخاري]

(Maksudnya): Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya kepada dirinya sendiri.

Sehubungan itu hendaklah lahir di dalam hati setiap orang Islam perasaan sedih terhadap bala bencana dan kesusahan yang menimpa umat Islam di serata pelusuk dunia, samada mereka yang ditimpa kemiskinan dan kebuluran dan umat Islam yang sedang dijajah, dizalimi dan dibunuh serta ditindas seperti di Palestin, Syria, Iraq, Kashmir, Xing Jhyang dan sebagainya.

Jika tidak mampu membantu mereka dengan wang ringgit dan tenaga, sekurang-kurangnya melalui doa san munajat kepada Allah supaya Allah memberi pertolongan kepada mereka dan membebaskan mereka daripada penderitaan dan kezaliman manusia.

Muslimin dan Muslimat sekalian!

Pada hari yang mulia dan penuh berkat ini marilah kita membanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w yang telah menyampaikan Islam kepada kita setelah melalui berbagai bentuk jihad dan pengorbanan. Tanda kasih kita kepada baginda dirakamkan melalui ucapan selawat dan salam sebagai mematuhi perintah Allah di dalam Al-Quran:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ [سورة الأحزاب : ٥٦]

(Maksudnya): “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya sentiasa berselawat ke atas Nabi, maka wahai yang orang-orang beriman ucapkan selawat dan salam ke atasnya dengan sesungguh-sungguhnya”.

اللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ  مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، فِي الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ ، وَالْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوْبَنَا وَذُنُوْبَ وَالِدِيْنَا وَارْحمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَارًا. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ.

اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ وَالظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ. اللهم إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي أَعْدَآئِنَا وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ ، اللهم رُدَّ كَيْدَهُمْ فِي نُحُوْرِهِمْ. اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ.

اللهم انْصُرْ إِخْوِنَنَا الْمُجَاهِدِيْنَ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ فِى فَلَسْطِيْنَ ، وَفِى غَزَّةِ ، وَفِى سُورِيَا ، وَفِى الْعِرَاقِ ، وَفِى كَشْمِيْر ، وَفِى جَنُوْبِ تَايْلَنْد ، وَفِى كُلِّ مَكَانٍ. اللهم قَوِّ عَزَائِمَهُمْ ، وَاجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ ، وَثَبِّتْ أَقْدَاهُمْ ، وَانْصُرْهُمْ عَلَى أَعْدِائِهِمْ.

اللهم أَتِ أَنْفُسَنَا تَقْوَاهَا ، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا ، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا. اللهم أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ.

اللهم أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا ، وَأَئِمَّتَنَا وَوُلاَةَ أُمُوْرِنَا ، وَاجْعَلْ وِلاَيَتِنَا فِى مَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ. رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

وَصَلَّ اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمْ. وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.


Teks asal khutbah Hari Raya Aidil Adha Presiden PAS 1440 Hijrah ini boleh dimuat turun dari sini: Edisi JawiEdisi Rumi .

No comments:

Post a Comment