Friday, August 2, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 1 ZULHIJJAH 1440 / 2 OGOS 2019


KELEBIHAN 10 HARI TERAWAL ZULHIJJAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ  الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا. 
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 
أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُم بِظُلْمٍ أُولَٰئِكَ لَهُمُ الْأَمْنُ وَهُم مُّهْتَدُونَ ﴿٨٢﴾

Maksudnya: "Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk". (Surah Al-An'am ayat 82)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Bersempena hari Jumaat yang penuh barokah ini, mimbar ingin menyeru para jamaah untuk sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.a.w, dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Sebelum meneruskan khutbah, mimbar juga berpesan kepada sidang jamaah, agar jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita tergolong dalam kalangan mereka yang berjaya, di dunia dan di akhirat. Mimbar pada minggu ini akan membicarakan khutbah bertajuk, "Kelebihan 10 Hari Terawal Zulhijjah".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, pada hari Jumaat yang mulia ini, kita memasuki hari pertama dalam bulan Zulhijjah bagi tahun 1440 hijrah. Zulhijjah merupakan bulan istimewa yang mempunyai banyak kelebihan, terutama 10 hari terawalnya. Marilah kita rebut kelebihan-kelebihan ini yang di antaranya ialah:

Pertama: Waktu Yang Mulia Dan Dipenuhi Barokah.
Sepanjang 10 hari pertama bulan ini, Allah melimpahkan kemuliaan dan keberkatan pada setiap hari dan malamnya. Bukti kemuliaan dan keberkatan ini dapat ditemukan menerusi firman Allah:


أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَالْفَجْرِ ﴿١﴾ وَلَيَالٍ عَشْرٍ ﴿٢﴾ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ ﴿٣﴾ وَاللَّيْلِ إِذَا يَسْرِ ﴿٤﴾

Maksudnya: "Demi waktu fajar; dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); dan bilangan yang genap serta yang ganjil; dan malam, apabila ia berlalu...". (Surah Al-Fajr ayat 1 hingga 4)

وَلَيَالٍ عَشْرٍ (dan malam yang 10), kata Imam At-Tobari dalam tafsirnya: "Adalah malam-malam 10 Zulhijjah berdasarkan kesepakatan ahli tafsir".

Kedua: Amalan Yang Paling Dicintai Allah.
Amalan yang dilakukan pada 10 hari terawal Zulhijjah merupakan amalan yang paling dicintai Allah. Dari Ibnu 'Abbas radhiAllahu 'anhuma, Rasulullah s.a.w bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ

Maksudnya: "Tidak ada satu amalan soleh yang lebih dicintai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah). Para sahabat bertanya: Jihad di jalan Allah? Nabi s.a.w menjawab: Melebihi jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berjihad dengan jiwa dan hartanya namun tidak kembali membawa sesuatu apa pun". (Hadits riwayat Imam Ahmad dan At-Tirmidzi)

Ketiga: Pahala Amalan Dilipat Gandakan.
Pahala amalan dilipat gandakan baik pada siang mahupun malamnya. Dalam sebuah hadits riwayat Imam Ahmad, dari Saiyidina 'Abdullah bin 'Umar radhiAllahu 'anhuma, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ أَنْ يُتَعَبَّدَ لَهُ فِيْهَا مِنْ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ يَعِدِلُ صِيَامُ كُلِّ يَوْمٍ مِنْهَا بِصِيَامِ سَنَةٍ وَقِيَامُ كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْهَا بِقِيَامِ لَيْلَةِ الْقَدْرِ

Maksudnya: "Tidak ada hari-hari yang lebih disukai Allah untuk digunakan beribadah sebagaimana halnya hari-hari 10 terawal Zulhijjah. Berpuasa pada siang harinya sama dengan berpuasa selama satu tahun dan solat pada malamnya sama seperti mengerjakan solat pada malam Lailatul Al-Qadr".

Keempat: Ibadah Haji Dilakukan Pada Bulan Ini.
Ibadah haji dilaksanakan pada bulan Zulhijjah. Umat Islam yang berkemampuan akan datang dari seluruh pelusuk dunia bagi menyahut seruan haji demi mengharapkan keredhaan Allah.

Kelima: Hari Arafah Berlaku Pada 9 Zulhijjah.
Pada 9 Zulhijjah umat Islam yang melakukan haji akan berwukuf di Arafah. Manakala bagi umat Islam yang tidak melaksanakan haji, disunatkan berpuasa Arafah pada hari berkenaan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ

Maksudnya: "Puasa hari Arafah aku mengharapkan Allah menghapuskan kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Daripada hadits ini, seorang muslim yang mampu untuk berpuasa pada hari Arafah yakni pada 9 Zulhijjah, hendaklah berpuasa kerana ibadah ini telah sabit dari Rasulullah s.a.w mengenai kelebihan puasa Arafah.

Keenam: Keistimewaan Membaca Tahlil, Takbir dan Tahmid.
Sabda Rasulullah s.a.w:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Maksudnya: "Tidak ada hari-hari yang dianggap lebih agung oleh Allah s.w.t dan lebih disukai untuk digunakan sebagai tempat beramal sebagaimana hari pertama hingga kesepuluh Zulhijjah. Kerana itu perbanyakkanlah bacaan tahlil, takbir dan tahmid". (Hadits riwayat Imam Ahmad)

Marilah kita amalkan lafaz tahlil La ilaha illAllah, lafaz takbir Allahuakbar dan lafaz tahmid Alhamdulillah dengan melafaznya sebanyak mungkin.

Ketujuh: 'Aidil Adha.
'Aidil Adha berlaku pada 10 Zulhijjah. Sesetengah ulamak berpendapat 'Aidil Adha adalah hari yang paling afdhal di dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Kata Ibnul Qayyim: "Sebaik-baik hari di sisi Allah ialah hari Nahar, iaitu hari raya besar seperti yang disebut di dalam Sunan Abi Daud (nombor 1765), hadits Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya hari yang paling besar di sisi Allah ialah hari Nahar, kemudian hari Qor iaitu hari para jamaah haji mabit yakni bermalam di Mina pada 11 Zulhijjah".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Kelapan: Takbir Mutlak.
Kelebihan seterusnya adalah disyariatkan takbir mutlak yakni setiap saat dan muqaiyyad yakni setelah solat fardu. Kesempatan bertakbir ini jauh lebih lama tempohnya daripada 'Aidil Fitri. Takbir ini bermula dari waktu fajar hari Arafah, hingga akhir hari Tasyriq yakni 11, 12, dan 13 Zulhijjah. Ia dilakukan setiap kali selesai mengerjakan solat, dan disunatkan bagi setiap orang untuk bertakbir ketika keluar solat sunat hari raya 'Aidil Adha.

Kesembilan: Ibadah Korban Haiwan Ternakan.
Mulai 10 Zulhijjah selepas solat sunat 'Aidil Adha dan hari-hari Tasyriq, kita disyariatkan menyembelih haiwan korban seperti unta, kerbau, lembu atau kambing. Di antara perkara yang perlu diambil perhatian berkaitan korban adalah:

1. Melakukan ibadah korban dengan penuh ikhlas mengharapkan redha Allah semata-mata. Bukan untuk mendapat daging korban mengikut nilai wang yang dikeluarkan atau mengharapkan daging korban pada bahagian-bahagian tertentu sahaja.

2. Menjelang 1 Zulhijjah, seseorang yang telah berazam atau berniat untuk melakukan ibadah korban, disunatkan tidak menghilangkan atau memotong bulunya seperti rambut, janggut, misai dan kuku sehingga dilakukan penyembelihan korban. Ini berdasarkan hadits daripada Ummi Salamah radhiAllahu 'anha, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

إِذَا دَخَلَتْ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلَا يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا

Maksudnya: "Apabila masuk 10 terawal bulan Zulhijjah dan seseorang itu telah berniat untuk menunaikan ibadah korban, maka janganlah dia membuang (memotong) bulu dan kukunya". (Hadits riwayat Imam Muslim)

3. Jika mampu, disunatkan kita menyembelih sendiri binatang korban. Jika tidak mampu, harus diwakilkan kepada orang lain. Dan jika berpeluang, saksikanlah binatang korban ketika disembelih.

4. Afdhal makan sedikit bahagian daging korban dan selebihnya disedekahkan kepada fakir miskin.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Demikianlah kelebihan 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Mengakhiri khutbah pertama hari ini, marilah kita sama-sama meningkatkan amal soleh di sepanjang hari-hari awal bulan Zulhijjah. Jangan sia-siakan kesempatan ini, kerana kita tidak tahu bilakah sakaratul maut datang menjemput. Adakah kita pulang bertemu Allah dengan membawa bekal yang cukup? Tepuk dada tanyalah iman di dalam diri.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar juga menyeru agar kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment