Friday, July 19, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 16 ZULQAEDAH 1440 / 19 JULAI 2019



PENYAKSIAN KETUHANAN ALLAH


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengambil pengajaran dan iktibar kisah dua orang paderi kristian yang keluar daripada negeri Syam untuk mencari kebenaran tentang kemunculan nabi akhir zaman yang disebut-sebut di dalam kitab-kitab yang terdahulu. Ketika dunia dalam kegelapan jahiliyyah, penuh dengan kezaliman dan kesesatan di timur dan barat, agama-agama ahli kitab telah diselewengkan, apa lagi agama yang bukan ahli kitab. Negara-negara tamadun membina kemajuan mereka di atas mayat rakyat yang dizalimi. Suasana itu menandakan sudah tiba masanya kemunculan nabi akhir zaman.

Kedua-dua paderi ini musafir mencari-cari yang akhirnya berjumpa kota suci Madinah. Dilihatnya ada tanda-tanda menunjukkan di situlah munculnya nabi akhir zaman yang ditunggu-tunggukan itu. Lalu mereka masuk ke Madinah dan akhirnya bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Mereka melihat wajahnya yang mulia walaupun sudah dilihat tanda-tanda pada jasadnya bahawa itulah nabi akhir zaman. Namun mereka bertanya solan yang sangat penting.

"Adakah nama kamu Muhammad?"

Jawab Nabi s.a.w: "Ya".

"Adakah nama kamu Ahmad?"

Jawab Nabi s.a.w: "Ya".

"Beritahu kepada kami apakah saksi yang paling besar dalam kitab Allah?"

Lalu Allah s.w.t menurunkan firman-Nya:

شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ ﴿١٨﴾ [سورة آل عمران : ١٨]

(Maksudnya): "Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana".

Demi mendengar ayat yang dibaca, kedua-dua paderi itu masuk Islam.

Itulah dakwah nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaihimus sholatu wassalam. Semua nabi-nabi dan rasul-rasul sejak Nabi Adam a.s sehingga Nabi Muhammad s.a.w, nabi akhir zaman, dasar ajarannya satu sahaja, iaitu aqidah tauhid tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah s.w.t. Ia disaksikan oleh para malaikat, makhluk yang sangat mulia di sisi Allah s.w.t. Juga disaksikan oleh orang-orang yang mempunyai ilmu, iaitu para anbiyak (nabi-nabi) yang diwahyukan oleh Allah s.w.t dan para ulamak yang menerima pusaka ajaran nabi-nabi.

Malaikat makhluk yang sangat mulia.

... لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾ [سورة التحريم : ٦]

(Maksudnya): "... Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

Malaikat ialah makhluk yang sangat suci dan mulia yang tidak mengerjakan dosa sekali-kali. Kalau itulah makhluk yang menjadi saksi tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah, siapakah saksi yang lebih daripada itu?

Nabi-nabi 'alaihimus sholatu wassalam adalah manusia yang dipilih oleh Allah s.w.t, bukan dilantik oleh kaumnya, bukan mengikut baka dan keturunan. Diberi kepada manusia yang dilantik menjadi nabi itu wajib bersifat dengan sifat-sifat yang mulia khususnya sifat yang benar, amanah mentaati perintah Allah s.w.t dan meninggalkan larangan-Nya serta berani menyampaikan yang benar dan mereka adalah orang-orang yang bijak. Nabi-nabi dan rasul-rasul itu disaksikan oleh kaum di zaman masing-masing. Walaupun ada kaum yang menentang nabi-nabi itu yang terdiri daripada orang-orang yang zalim, pembohong besar, orang yang khianat, yang runtuh akhlaknya dan orang yang tidak boleh dipercayai.

Nabi-nabi yang mulia menjadi saksi. Cukup kita percaya tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah, walaupun kita berada di zaman tidak ada lagi nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w. Namun Allah s.w.t meninggalkan orang-orang yang mewarisi ajaran-ajaran nabi yang menerima pusaka nabi.

وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ. [رواه أبو داود]

(Maksudnya): "Sesungguhnya ulamak itu ialah pewaris nabi-nabi. Dan nabi-nabi tidak meninggalkan pusaka duit emas dan duit perak, tetapi meninggalkan pusaka ilmu. Sesiapa yang menerima pusak itu, dia mendapat pusaka yang sangat besar harganya (di sisi Allah)". 

Ulamak-ulamak yang menyambung ajaran nabi bukan sahaja berilmu, tetapi beramal dan berjuang dengan ilmunya. Mereka bukan sahaja menegaskan tidak ada tuhan yang sebenar melainkan Allah, tetapi membuktikan Allah itu Maha Adil, Adil terhadap makhluknya. Semua makhluk Allah ditetapkan peraturannya masing-masing. Peraturan yang betul membulatkan perjalanan alam ini. Semua makhluk patuh kepada peraturan Allah s.w.t, maka alam menjadi betul, termasuk makhluk manusia diwajibkan menerima peraturan Allah s.w.t.

Cuma manusia makhluk yang diberi akal diuji oleh Allah s.w.t berada di atas muka bumi bercampur aduk perkara baik dan buruk, benar dan salah, betul dan sesat. Maka manusia menghadapi ujian di atas muka bumi ini. Hanya manusia yang tegak di atas keadilan Allah s.w.t dengan menegakkan kebenaran Allah s.w.t sahaja yang benar menerima pusaka nabi-nabi yang menerima ajaran daripada Allah s.w.t.

Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Lari daripada hukum Allah menyebabkan kemusnahan dan keruntuhan walaupun ada daripada kalangan manusia itu yang menjadi maharaja dan pemimpin yang memerintah dunia dengan kekayaan dan kemewahan, tetapi bila meninggalkan hukum Allah s.w.t walau bagaimana besar sekalipun kuasa dan kerajaan mereka, semuanya dimusnahkan oleh Allah s.w.t.

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ﴿٦﴾ إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ ﴿٧﴾ الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ ﴿٨﴾ وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ ﴿٩﴾ وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ ﴿١٠﴾ الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ ﴿١١﴾ فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ ﴿١٢﴾ فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ ﴿١٣﴾ إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ ﴿١٤﴾ [سورة الفجر : ٦ - ١٤]

(Maksudnya): "(Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka). Iaitu penduduk "Iram" yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya). Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)? Dan (terhadap) kaum Tsamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)? Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab; Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat)".

Semuanya dalam lipatan sejarah dimusnah dan dihancur leburkan oleh Allah s.w.t. Begitulah kuasa besar yang ada pada hari ini yang terpesong daripada petunjuk Allah s.w.t, menunggu giliran satu demi satu akan dimusnahkan oleh Allah s.w.t.

Umat Islam mesti mengerti dan memahami jangan sekali-kali bergantung kepada kuasa-kuasa besar yang sombong dan takbur serta kufur, maksiat, menyeleweng daripada ajaran Allah s.w.t dan menganut berbagai-bagai ideologi. Percayalah bahawa semua kuasa besar itu akan hancur dan musnah. Percayalah bahawa dunia akan berakhir dengan kiamat yang menandakan adanya hidup selepas mati. Itulah bekalan yang perlu dicari oleh manusia dalam kehidupan mereka selama-lamanya, bukan kehidupan sementara waktu. Hanya mereka yang bersama dengan Islam sahaja selamat di dunia dan selamat di akhirat. Sementara mereka yang tidak bersama dengan Islam, akan celaka di dunia dan neraka di hari akhirat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ ﴿٣٣﴾ [سورة التوبة : ٣٣]

(Maksudnya): "Dia lah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

1 comment: