Friday, July 12, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 9 ZULQAEDAH 1440 / 12 JULAI 2019


SEMUA MAKHLUK MENGIKUT PERINTAH ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَكْرَمَنَا بِنِعْمَةِ الْإِسْلَامِ وَفَضَّلَنَا كَثِيْرٍ مِنَ الْأُمَمِ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar dan memahami pernyataan Allah s.w.t yang berfirman:

أَفَغَيْرَ دِينِ اللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُ أَسْلَمَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ ﴿٨٣﴾ [سورة آل عمران : ٨٣]

(Maksudnya): "Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nya lah mereka dikembalikan".

Pernyataan ini terkandung di dalamnya amaran yang keras terhadap sesiapa sahaja yang menolak Islam, satu-satunya agama Allah s.w.t, tidak ada agama lain lagi, satu-satunya yang diiktiraf oleh Allah s.w.t, yang lain daripada Islam tidak diterima oleh Allah s.w.t.

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ ... ﴿١٩﴾ [سورة آل عمران : ١٩]

(Maksudnya): "Sesungguhnya Din (agama) di sisi Allah ialah Islam".

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾ [سورة آل عمران : ٨٥]

(Maksudnya): "Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi".

Bagi umat Islam, mereka berikrar daripada tiap-tiap rakaat sembahyang dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Alhamdulillahi Robbil 'alamin (Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam). Allah adalah Tuhan yang layak diibadat kepada-Nya dan di'abdikan kepada-Nya serta Tuhan yang menjadikan alam dan menetapkan bagi alam ini peraturan-peraturannya. Semua makhluk menyerah diri (Islam) kepada peraturan Allah s.w.t.

Allah s.w.t menyebut dalam firman-Nya:

... لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾ [سورة التحريم : ٦]

(Maksudnya): "... Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَّهَا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ ﴿٣٨﴾ [سورة يس : ٣٨]

(Maksudnya): "Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui".

... وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ ﴿١٦٤﴾ [سورة البقرة : ١٦٤]

(Maksudnya): "... Demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran".

Awan di atas kepala kita yang mengandungi air yang terlalu banyak bila turun hujan yang lebat menenggelamkan negeri dan menenggelamkan apa sahaja. Betapa banyaknya air itu yang terkandung di antara langit dan bumi yang tidak turun melainkan dengan perintah Allah s.w.t; di mana turunnya dan kadar banyak mana turunnya.

Laut yang luas terbentang di hadapan kita menolak arusnya ke timur dan barat dengan perintah Allah s.w.t. Ia bergelombang dan tenang dengan perintah Allah s.w.t. Angin yang bertiup ke arah timur, barat, utara dan selatan semuanya juga mengikut perintah Allah s.w.t. Pohon-pohon yang tumbuh di kawasan masing-masing, berbunga dan berbuah mengikut musim masing-masing dengan perintah Allah s.w.t. Binatang yang melata di atas muka bumi yang tidak berakal itu pun patuh kepada Allah s.w.t, mengikut kadar binatang itu. Tetapi mengapa manusia yang berakal ini, diberi ilmu pengetahuan, cerdik dan bijak kecuali yang bodoh, ramai yang melawan Allah s.w.t?

Semua nabi-nabi adalah Islam. Tidak ada nabi yang mengikut agama yahudi dan kristian, hindu dan buddha.

قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنزِلَ إِلَيْنَا وَمَا أُنزِلَ إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَمَا أُوتِيَ النَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ ﴿١٣٦﴾ [سورة البقرة : ١٣٦]

(Maksudnya): "Katakanlah (hai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi dari Tuhan-nya. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya".

Orang-orang Islam diwajibkan beriman kepada Taurat, Zabur dan Injil serta suhuf Ibrahim dan nabi-nabi yang lain yang diturunkan oleh Allah s.w.t. Wajib beriman kepada semua nabi-nabi itu dan kitab-kitab mereka. Walaupun hukum-hukumnya telah dibatalkan kerana berlainan masa dan zaman, tetapi wajib beriman kepada nabi-nabi itu semuanya dan kitab-kitab nabi-nabi itu semuanya.

Mengapa orang-orang yahudi dan kristian tidak mahu beriman dengan Muhammad s.a.w dan tidak mahu percaya kepada Al-Quran? Dan lebih malang lagi ada dalam kalangan orang Islam yang mengikut yahudi dan kristian, puak-puak yang sesat itu.

Apabila seorang sahabat, Abdullah bin Salam r.a, seorang alim yahudi yang terkenal di Madinah yang dijamin syurga oleh Allah s.w.t diberitahu kepadanya oleh Rasulullah s.a.w, setelah berhujjah dengan Nabi s.a.w dan melihat wajah Nabi s.a.w, ada tanda-tanda kenabian di wajahnya, Abdullah bin Salam masuk Islam. Beliau yang masih sayangkan kitab Taurat meminta izin untuk membacanya pada malam Sabtu, sekadar untuk baca sahaja, bukan beramal dengannya. Taurat juga kitab Allah yang diwahyukan kepada Nabi Musa a.s yang wajib beriman kepadanya. Apa salahnya membaca kitab Taurat itu? Kitab itu telah dinasakhkan (diluputkan), hukum hakamnya tidak diamalkan lagi kecuali yang serupa dengan apa yang ada di dalam Al-Quran, seperti hukum qisas dan hudud.

Apabila Abdullah bin Salam meminta untuk membaca kitab Taurat pada malam Sabtu, malam mulia bagi kaum yahudi, Allah s.w.t menurunkan wahyu-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ ﴿٢٠٨﴾ [سورة البقرة : ٢٠٨]

(Maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh  yang nyata bagimu".

Tidak boleh lagi beramal dengan Taurat. Bagaimana kita beramal dengan ajaran yang tidak ada kena mengena dengan Taurat?

Di negara kita hari ini terdapat suara-suara yang berani mencabar dan menentang Islam serta mengubah hukum Islam. Mereka terpengaruh dengan budaya barat yang telah meninggalkan kitab. Gereja-gereja di Eropah dinaiki rumput dan hutan kerana ditinggalkan oleh penganut-penganutnya. Mereka tidak berpegang kepada agama, bahkan mereka berani mencabar dan menentang agama-agama, khususnya agama Islam. Terdapat daripada kalangan orang melayu Islam yang terikut-ikut dengan orang barat ini membawa ajaran yang tidak ada kena mengena dengan Islam.

Contoh yang dianggap kecil tetapi memberi makna yang besar kepada orang Islam adalah seperti melarang guru-guru merotan murid dan melarang ibu bapa merotan anak atas nama Rahmatan Lil Alamin yang direka sendiri. Padahal yang paling memahami Al-Quran ialah Nabi Muhammad s.a.w. Nabi s.a.w bersabda:

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ. [رواه أبو داود]

(Maksudnya): "Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang ketika berumur tujuh tahun. Pukul mereka (jika enggan sembahyang) ketika umur mereka sepuluh tahun. Dan pisahkan tempat tidur mereka (antara lelaki dan perempuan)".

Ini adalah hadits Nabi s.a.w. Memukul dengan adab yang tidak sampai mencederakan. Termasuk juga hukuman jenayah yang disebut sebatan itu pun tidak boleh mencederakan orang yang dihukum itu, semata-mata untuk takdib (mengadabkan), bukannya ta'zib (mengazabkan). Bagi tujuan untuk menakut dan mendidik masyarakat ia dibolehkan, termasuk mendidik anak-anak.

Ketahuilah, di negara barat hari ini keluarga runtuh dan musnah. Anak-anak meninggalkan ibu bapa bila sudah besar kerana hilangnya kasih sayang dan kehebatan ibu bapa itu sendiri. Hilangnya sifat kekeluargaan apabila banyaknya orang-orang tua ditinggalkan. Mereka terpaksa menyediakan rumah orang tua untuk dijaga oleh kerajaan kerana anak tidak mahu menjaga orang tua lagi. Itu suasana negara barat yang bukan islam. Bahkan tersebar dalam berita ada orang-orang kaya di negara barat yang hartanya berjuta, tetapi diwasiatkan harta itu dengan ditulis dan diakui peguam diserah kepada anjing dan kucing yang bersama dengannya kerana anak-anaknya tidak lagi menghiraukannya. Mereka lebih menghormati binatang daripada manusia. Adakah kita mahu jadi seperti itu? Ia rosak dan musnah.

Kembalilah kepada Islam kerana Islamlah yang menyelamatkan kita dari dunia sehingga hari akhirat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. 
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ ﴿١٠٠﴾ [سورة آل عمران : ١٠٠]

(Maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.


No comments:

Post a Comment