Friday, July 5, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 2 ZULQAEDAH 1440 / 5 JULAI 2019


ADAB DAN ILMU: TERAS KEKUATAN UMMAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِي إِلَيْهِمْ ۖ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿٧﴾ (Surah Al-Anbiya' : Ayat 7)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya ingin berpesan kepada diri saya dan sidang jamaah sekalian, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.a.w, yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Sebelum meneruskan khutbah, saya juga berpesan kepada sidang jamaah, agar menumpukan perhatian, dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita mendapat kebaikan yang banyak, di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk, "Adab Dan Ilmu: Teras Kekuatan Ummah".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Tujuan pendidikan adalah melahirkan manusia yang beradab dan berilmu. Rasulullah s.a.w pernah menegaskan, bahawa baginda diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Ini menyedarkan kita, bahawa tugas mendidik adalah misi nabawi, dan Rasulullah s.a.w adalah tokoh pendidik yang wajib dicontohi. Merujuk firman Allah s.w.t yang dibacakan di awal khutbah tadi:

وَمَا أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِي إِلَيْهِمْ ۖ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿٧﴾

Maksudnya: "Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada Ahluz Zikri yakni orang yang tahu, jika kamu tidak mengetahui". (Surah Al-Anbiya' ayat 7)

Manusia yang beradab adalah manusia yang memiliki ilmu yang benar. Dengan ilmu serta adab, kita dapat mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Dengan ilmu serta adab juga, manusia dapat bebas daripada belenggu kejahilan, mencerahkan kekeliruan, dan menerangi jalan kehidupan.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Baru-baru ini, negara kita digemparkan dengan berita seorang pelajar sekolah dirotan, akibat memanggil gurunya dengan gelaran pondan. Jika kita perhatikan, ada 3 pihak yang terlibat dalam berita tersebut. Pertama guru, kedua ibu bapa dan ketiga, pelajar. Tanpa mahu menyalahkan mana-mana pihak, mimbar menyeru para jamaah agar kita sama-sama mengambil peduli terhadap isu ini, kerana soal pendidikan bukanlah soal yang boleh dipandang remeh.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Pada zaman tabi'in dahulu, terdapat seorang ulamak hadits di kota Kufah yang sangat terkenal. Beliau bernama, Sulaiman bin Mahran Al-A'mash. Walaupun sangat alim, namun perwatakan Al-A'mash cukup kasar. Beliau tidak segan-segan memarahi muridnya dengan kasar apabila berlaku sesuatu yang tidak disukainya. Ada 2 orang murid yang selalu mendatangi majlis Al-A'mash. Mereka hadir bersama-sama untuk menimba ilmu daripada guru yang terkenal ini.

Suatu hari, Al-A'mash memarahi salah seorang daripada murid itu. Beliau mengucapkan kata-kata kasar kepadanya. Melihat kejadian itu, murid yang seorang lagi berkata: "Andai tuan guru memarahiku sama seperti ini, nescaya aku akan tinggalkan majlis ilmunya dan tidak akan datang lagi". Al-A'mash berkata: "Kalau dia meninggalkan majlis ilmu ini, maka dia sama jahil sepertimu. Dia meninggalkan ilmu yang bermanfaat, hanya kerana keburukan akhlakku sebagai guru".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Di antara tujuan pendidikan adalah membina insan soleh dan manusia baik, yang dengan ilmunya dapat memberi manfaat kepada agama, negara dan masyarakat. Matlamat pembentukan akhlak ini perlu diutamakan, seiring dengan kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik. Para pelajar perlu diingatkan, bahawa mereka belajar bukan semata-mata untuk cemerlang dalam ujian atau meraih segulung ijazah, tetapi lebih dari itu. Mereka belajar untuk menimba ilmu yang bermanfaat, ilmu yang benar, dan ilmu yang berasal daripada Tuhan yang Maha Bijaksana.

Kepada para pelajar, ketahuilah, jalan untuk memperolehi ilmu tidak selalu mudah. Akhlak dan watak para guru yang mengajar pula bermacam-macam. Ada yang lembut, ada juga yang kasar dan suka marah-marah. Sebagai pelajar, kita mesti jadikan ilmu sebagai tujuan utama. Jika kita benar-benar mahukan ilmu, maka perangai dan watak kasar guru tidak akan berupaya menghalang kita untuk terus belajar daripadanya. Jangan tinggalkan ilmu yang bermanfaat hanya kerana perangai guru yang tidak kita sukai.

Kesabaran mesti selalu menjadi bekalan pelajar. Jika guru marah atau menegur, jangan cepat merajuk atau berdendam. Apatah lagi turut marah dan membalas dengan kata-kata kasar. Tindakan begitu sama sekali bukan sikap pelajar yang menjunjung adab dan akhlak mulia. Sebaliknya, berusahalah mengambil hati guru semampu yang kita terdaya. Imam An-Nawawi rahimahullah menulis dalam kitabnya, At-Tibyan Fi Adabi Hamlatil Quran:

"Jika guru memarahi kita, mulakanlah meminta maaf kepadanya. Tunjukkan bahawa kesalahan itu memang daripada kita dan kita layak dicela. Tindakan ini lebih bermanfaat baginya di dunia dan di akhirat, juga membuat hati guru terubat".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam kita berpesan kepada pelajar-pelajar agar bersabar dengan guru, mimbar juga berharap agar para guru bersabar dan berhikmah dalam mendidik pelajar-pelajar. Mereka amanah Allah di tangan kita. Kejayaan mereka dalam pelajaran adalah cerminan kejayaan kita dalam mengajar dan mendidik mereka.

Guru yang baik tidak akan mengeluarkan kata-kata kasar walau sebesar mana pun kesalahan seorang pelajar. Sebaliknya, ia hendaklah selalu bersabar dan berhikmah dalam mendidik murid-muridnya menuju kejayaan. Seorang guru ibarat seorang seniman, yang sedang melukis kenangan di minda pelajar-pelajarnya. Maka terpulanglah kepada guru untuk mencorak kenangan yang hendak ditinggalkan, sama ada kenangan itu indah atau sebaliknya.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Pendidikan tidak hanya bermula di sekolah dan berakhir di universiti sahaja. Ia sebenarnya bermula dari institusi keluarga. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak sebelum mereka dihantar ke sekolah. Di saat ibu bapa menitik beratkan keperluan makan minum, pakaian, tempat belajar, permainan, dan pergaulan anak-anak, jangan pula kita mengabaikan didikan adab dan nilai-nilai murni sejak mereka kecil lagi, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ...

Maksudnya: "Setiap anak yang lahir itu dilahirkan atas fitrah, maka kedua orang tuanya lah yang menjadikannya yahudi atau nasrani atau majusi...". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Begitu juga dalam sebuah lagi hadits, daripada Saiyidina Abdullah bin 'Amru radhiAllahu 'anhuma, Rasulullah s.a.w bersabda:

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشَرِ سِنِينَ

Maksudnya: "Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur 7 tahun, dan pukullah jika mereka meninggalkannya ketika berumur 10 tahun". (Hadits riwayat Imam Abu Daud)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama pada hari ini, mimbar menyeru agar kita semua tidak melupakan tujuan asal dalam mendidik insan, iaitu menerapkan adab dan ilmu dalam kehidupan. Jika kita melupakan 2 teras ini, maka akan lahirlah manusia-manusia yang lupa akan peranannya sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi, lupa akan tanggungjawabnya kepada Tuhan, kepada agama, negara dan masyarakat. Hayatilah firman Allah s.w.t dalam Surah Saba' ayat 6:

وَيَرَى الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ الَّذِي أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ هُوَ الْحَقَّ وَيَهْدِي إِلَىٰ صِرَاطِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ ﴿٦﴾

Maksudnya: "Dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan, mengetahui (dengan yakin, bahawa keterangan-keterangan) yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (mengenai hari kiamat dan lain-lainnya) itulah yang benar serta yang memimpin ke jalan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar juga menyeru agar kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment