Thursday, July 11, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 9 ZULQAEDAH 1440 / 12 JULAI 2019


KETAGIHAN GAJET: SELAMATKAN ANAK-ANAK KITA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا ﴿٧٤﴾ (Surah Al-Furqan : Ayat 74)

Maksudnya: "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa". (Surah Al-Furqan ayat 74)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Saya ingin berpesan kepada diri saya dan sidang jamaah sekalian, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.a.w, yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Sebelum meneruskan khutbah, saya juga berpesan kepada sidang jamaah, agar menumpukan perhatian, dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita mendapat kebaikan yang banyak, di dunia dan di akhirat. Tajuk khutbah yang akan membuka mata kita pada hari ini ialah, "Ketagihan Gajet: Selamatkan Anak-Anak Kita".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Di zaman yang semakin maju dan canggih ini, ibu bapa berhadapan dengan cabaran besar untuk mendidik anak-anak. Antara halangan utama untuk mendidik anak ialah kehadiran gajet. Ramai ibu bapa membelikan gajet seperti tablet, telefon pintar, i-pad dan sebagainya kepada anak mereka. Ada juga yang menjadikan gajet sebagai teman bermain anak agar ibu bapa dapat melakukan kerja-kerja mereka tanpa gangguan. Namun sedarkah kita, tindakan ini mengundang banyak keburukan kepada perkembangan anak jika digunakan tanpa kawalan?

Pada 2 Julai yang lalu, seorang budak lelaki berusia 12 tahun ditahan polis di Batu Gajah, selepas dipercayai merogol kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun yang diasuh oleh ibunya. Menurut siasatan polis, punca suspek melakukan perbuatan itu adalah disebabkan melihat video di dalam telefon bimbit. Kejadian seperti ini membuat kita bertanya, apa perlunya kita memberikan gajet kepada anak-anak yang masih mentah ini?

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Penggunaan gajet memang ada manfaatnya. Namun jika digunakan tanpa kawalan, ia memberi kesan negatif kepada anak-anak. Hasil kajian yang dikeluarkan oleh Akademi Pediatrik Amerika, kanak-kanak di bawah umur 2 tahun tidak wajar didedahkan dengan teknologi ini.

Kanak-kanak berumur 3 hingga 5 tahun pula, hanya dibenarkan bermain gajet satu jam sehari. Penggunaan gajet tanpa kawalan yang melebihi kadar masa yang disarankan, akan mengundang pelbagai keburukan yang serius. Di antaranya ialah:

Pertama: Menjejaskan kesihatan dan tumbesaran jasmani. Kanak-kanak yang terlalu asyik bermain gajet lazimnya tidak ambil peduli perkara-perkara yang berlaku di sekelilingnya. Mereka juga kurang aktif melakukan aktiviti luar. Ini menyebabkan tumbesaran mereka terbantut kerana tubuh tidak mendapat keperluan secara teratur. Kualiti tidur akan terjejas akibat mata yang terlalu lama melihat skrin gajet. Ini bertentangan dengan falsafah pendidikan Islam yang menganjurkan umatnya tampil gagah dan kuat.

Dalam sebuah hadits riwayat Imam Muslim, Saiyidina Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:


الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ

Maksudnya: "Mukmin yang kuat, lebih baik dan lebih dikasihi Allah berbanding mukmin yang lemah".

Kedua: Membantutkan perkembangan mental dan kemahiran fizikal. Apabila sikecil hanya menggunakan satu atau dua jari untuk menyentuh skrin tablet, ia sebenarnya membantutkan perkembangan kemahiran seluruh jari mereka. Akibatnya ada kanak-kanak yang tidak mahir memegang pensil apabila masuk ke tadika. Jika dilihat pada realiti masa kini, ada kanak-kanak berumur 2 hingga 3 tahun yang belum dapat menuturkan walau sepatah perkataan, akibat berlebihan bermain gajet. Malah sebahagian remaja yang aktif bermain gajet sering bermasalah dari sudut sikap, hilang minat dan tumpuan kepada pelajaran.

Ketiga: Memberi kesan negatif kepada emosi dan jiwa. Permainan gajet dikesan sangat mempengaruhi sikap negatif pada kanak-kanak dan remaja. Ia boleh merangsang sikap kasar, agresif dan kurang sabar ketika inginkan sesuatu. Puncanya kerana gajet dapat memberikan keseronokan  tanpa perlu bersusah payah, yang akhirnya mengundang ketagihan yang sukar dihentikan. Bila sudah ketagih, emosi mereka tidak lagi stabil dan akan mudah mengamuk serta memberontak jika kemahuan mereka tidak dipenuhi.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai ibu bapa, di sinilah tanggungjawab kita untuk menjaga anak-anak. Pastikan mereka membesar dalam persekitaran yang sihat, bersendikan cara hidup Islam. Allah s.w.t pernah mengingatkan tentang ujian dan cabaran dalam mendidik anak-anak, sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah At-Taghabun ayat 15:


إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ ۚ وَاللَّهُ عِندَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ ﴿١٥﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mari selamatkan anak-anak kita. Perbetulkan cara kita mengasihi anak-anak dengan mengawal keinginan mereka. Memberi apa sahaja permainan anak tanpa kawalan bukanlah bukti sayang, malah akan memudaratkan mereka. Jika kita tetap mahu memberi anak bermain gajet, kita perlulah memastikan panduan-panduan berikut dipatuhi:

Pertama: Pastikan tahap minda dan jiwa anak telah tersedia. Sekurang-kurangnya anak telah mencapai usia 2 tahun dan mampu bertutur . Ingatlah, perkembangan pendengaran, penglihatan dan jiwa anak-anak perlu sentiasa dipantau oleh ibu bapa. Firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 36:


وَلَا تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ ۚ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولَٰئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْئُولًا ﴿٣٦﴾

Maksudnya: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya".

Kedua: Gunakan gajet untuk tujuan pembelajaran anak-anak. Jika mahu memuat turun aplikasi permainan, pilihlah yang boleh membantu dan menggalakkan anak belajar. Sesekali berikan permainan yang bermanfaat, untuk mereka berfikir secara kreatif. Elakkan dari permainan yang berunsur ganas dan melanggar norma-norma budaya Islam.

Ketiga: Kawal dan hadkan masa penggunaan. Tetapkan peraturan, seperti berhenti menggunakan gajet ketika makan dan berbual dengan orang lain. Periksa gajet anak-anak secara berkala, untuk memastikan mereka tidak terjebak dengan gejala negatif yang merosakkan.

Keempat: Jadualkan masa mereka untuk beribadat, bermain dan belajar. Pastikan mereka mendirikan solat bila sampai waktunya. Ibu bapa perlu bersabar mendidik anak mematuhi syariat, khususnya mendirikan solat. Hal ini ditegaskan oleh Allah s.w.t dalam Surah Taha ayat 132:


وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ ﴿١٣٢﴾

Maksudnya: "Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Antara kesimpulan daripada bicara khatib hari ini ialah:

1. Penggunaan gajet oleh anak-anak perlulah dikawal dan dipantau oleh ibu bapa.
2. Buktikan kasih sayang kepada anak-anak dengan didikan yang tepat.
3. Anak-anak adalah amanah Allah dan ujian untuk kita semua. Didiklah mereka dengan akidah, syariat dan akhlak Islamiyah. Hayatilah firman Allah dalam Surah Al-Mumtahanah ayat 3:


لَن تَنفَعَكُمْ أَرْحَامُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ ۚ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَفْصِلُ بَيْنَكُمْ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ﴿٣﴾

Maksudnya: "Kaum kerabat kamu dan anak-anak kamu (yang tidak beriman) tidak sekali-kali akan mendatangkan sebarang faedah kepada kamu pada hari kiamat; Allah akan memisahkan di antara kamu semua (pada hari itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Melihat segala yang kamu kerjakan".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar juga menyeru agar kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.


No comments:

Post a Comment