Thursday, June 27, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 24 SYAWAL 1440 / 28 JUN 2019


DOSA FITNAH DI HUJUNG JARI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ ﴿١٢﴾ (Surah Al-Hujurat : Ayat 12)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya ingin berpesan kepada diri saya dan sidang jamaah sekalian, marilah kita sama-sama tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.a.w, yakni dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. 

Sebelum meneruskan khutbah, saya juga berpesan kepada sidang jamaah, agar menumpukan perhatian, dan jangan bercakap-cakap sewaktu khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk, "Dosa Fitnah Di Hujung Jari".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Menurut kamus dewan edisi ke empat, fitnah bermaksud tuduhan (khabar, kisah dan lain-lain) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan seseorang. Ia juga boleh difahami sebagai tuduhan yang diada-adakan sama ada berbentuk gambar, berita, perbualan, video dan sebagainya yang boleh menjatuhkan maruah dan harga diri seseorang, kumpulan atau masyarakat.

Hari ini, kita berada di zaman teknologi yang canggih. Ruang untuk berlakunya penyebaran fitnah terbuka luas. Tidak kira sama ada telefon bimbit, komputer, mahupun alat-alat komunikasi yang lain, kita haruslah berwaspada dan sedar, bahawa kita sentiasa terdedah kepada bahaya fitnah.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Penyebaran fitnah pada hari ini berlaku dengan amat cepat tanpa kita sedari. Lebih malang lagi, berita yang tersebar itu diterima bulat-bulat tanpa diselidiki terlebih dahulu. Sikap ini amat ditegah di dalam Islam. Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini atas sebab kejahilan kamu (mengenainya), sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan".

Berdasarkan ayat ini, kita wajib memastikan berita yang diterima adalah benar lagi tepat. Sekiranya berita yang diterima itu belum dipastikan kesahihannya dan diragui pula kebenarannya, hendaklah diabaikan dahulu tanpa terus menghukum atau menyebarkannya. Ini kerana, penyebaran berita sebegini akan mengakibatkan kecelaruan kepada masyarakat dan menimbulkan kekecohan. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur ayat 19:

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ ۚ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿١٩﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersebar dalam kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Perbuatan menabur fitnah ini berlaku kerana maklumat yang diterima tidak diselidiki dengan sebaiknya. Penabur fitnah lupa akan siksaan yang bakal menanti sekiranya mereka tidak bertaubat. Ingatlah! Siksaan berat daripada Allah menanti mereka yang gemar menyebarkan fitnah. Sabda Rasulullah s.a.w, daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a:

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Maksudnya: "Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta, jika dia menyebarkan (bercerita) tentang semua hal yang didengarinya". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Kita hari ini berada di akhir zaman, yang mana penyebaran fitnah amat pantas berlaku dalam masyarakat. Mimbar suka untuk mengulangi dan mengingatkan para jamaah sekalian, bahawa kesan akibat fitnah amatlah besar dan secara tidak langsung, akan meruntuhkan negara yang kita sayangi. Oleh yang demikian, mimbar ingin menjelaskan kesan-kesan buruk akibat perbuatan fitnah:

1. Kesan fitnah antara invidu iaitu: Menjatuhkan maruah individu, menyebabkan pertelagahan, hatta berbunuhan.

2. Kesan fitnah antara keluarga: Menyebabkan keluarga sukar untuk memahami antara satu sama lain, hubungan antara keluarga dipengaruhi rasa tidak tenteram, tidak mesra, sering bertelagah, bercerai antara suami isteri, anak-anak terabai dan lain-lain.

3. Kesan fitnah antara masyarakat: Masyarakat tidak muafakat, enggan bekerjasama dalam aktiviti kejiranan, sukarelawan, saling memburukkan, kemajuan masyarakat menjadi lembab, wujudnya jurang sosial yang luas, persekitaran yang tidak tenteram, dan lain-lain.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Rasulullah s.a.w sering mengingatkan umatnya supaya menjaga akhlak kerana peribadi muslim yang baik melambangkan keagungan Islam. Sebagai muslim yang beriman, kita perlu membersihkan hati serta fikiran dalam menilai sesuatu perkara. Kesannya sangatlah besar jika kita membiarkan perbuatan fitnah terus menguasai hati dan pemikiran kita.

Mengakhiri khutbah pertama hari ini, mimbar menyeru para jamaah supaya jangan mudah percaya dengan khabar yang belum dipastikan kebenarannya. Marilah sama-sama kita berdoa agar negara kita bebas daripada fitnah, dan akhirnya menjadi negara yang baik dan mendapat keampunan Allah s.w.t.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar juga menyeru agar kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sempena bulan Syawal yang mulia ini, mimbar ingin berpesan agar kita meneruskan amalan-amalan soleh yang telah kita usahakan sebelum ini di dalam bulan Ramadan. Solat berjamaah di masjid, membaca Al-Quran serta tadabbur ayat-ayat Allah, berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal, bersedekah, memberi makan serta pelbagai amalan kebaikan yang lain. Jadikanlah Ramadan sebagai pemangkin, Syawal sebagai penerus amalan secara istiqamah.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر، وَفِي الْيَمَنْ، وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan iabadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment