Friday, June 7, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 3 SYAWAL 1440 / 7 JUN 2019


MUHASABAH IMAN SELEPAS RAMADAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾ (Surah Al-'Ankabut : Ayat 2)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan kaum muslimin sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga amalan kita selepas Ramadan yang baru berlalu ini, akan mengukuhkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.

Sebelum meneruskan khutbah, saya berpesan kepada sidang jamaah agar menumpukan sepenuh perhatian, dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertaqwa. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk, "Muhasabah Iman Selepas Ramadan".

Kaum muslimin yang dikasihi Allah,

Kehidupan yang kita lalui ini penuh dengan ujian. Tidak ada seorang pun hamba Allah s.w.t yang terlepas daripada ujian. Kita semua akan merasainya. Firman Allah s.w.t yang dibacakan di awal khutbah tadi bermaksud:

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?" (Surah Al-'Ankabut ayat 2)

Apabila kita memasuki bulan Syawal, sewajarnya kita bermuhasabah dan merenung kembali amalan-amalan kita sesudah Ramadan. Adakah kita telah menjalani ibadah puasa yang menepati syarak atau kita hanya menahan lapar dan dahaga sahaja?

Dalam hal bermuhasabah sesudah Ramadan, para ulamak menyenaraikan untuk kita meneliti perkara-perkara berikut:

Pertama: Di bulan Ramadan, ramai yang berpusu-pusu beribadah memenuhkan masjid dan surau, menghidupkan malam dengan kegiatan ibadah dan sebagainya. Tetapi, adakah keadaan ini boleh berterusan di bulan-bulan yang lain? Adakah masjid dan surau kita hanya dipenuhkan di bulan Ramadan atau hari Jumaat sahaja? Dalam hal ini, sewajarnya amalan-amalan baik yang kita lakukan di bulan Ramadan diteruskan juga di bulan-bulan yang mendatang. Penuhkanlah masjid-masjid dan surau-surau kita dengan solat berjamaah, hidupkanlah malam kita dengan qiamullail, kerana ini boleh memberi kekuatan kepada umat Islam.

Kedua: Semasa di bulan Ramadan, adakah kita termasuk dalam golongan orang yang berpuasa hanya daripada makan dan minum sahaja, tetapi kita masih melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah seperti mengumpat, menipu dan berbagai lagi perbuatan yang berlawanan dengan syarak? Sedangkan puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dan juga perkara-perkara yang haram.

Ketiga: Adakah kita termasuk dalam golongan yang keterlaluan mengejar kelebihan puasa daripada sudut keduniaan, walhal puasa yang sebenar, tujuannya adalah untuk mendapatkan ketaqwaan dan kemuliaan di hari akhirat. Memang tidak dinafikan ibadah puasa itu memberi kelebihan kesihatan dan sebagainya, tetapi maksud utama kita melakukan ibadah puasa itu adalah semata-mata sebagai ibadah kita kepada Allah s.w.t.

Keempat: Adakah kita menggunakan alasan tidak makan dan minum, maka kita membenarkan diri kita untuk berakhlak dengan akhlak yang buruk? Ini sebenarnya menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w sebagaimana sabdanya:

أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ وَصَلَاةُ الرَّجُلِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ

Maksudnya: "Tahukah kamu apakah pintu-pintu kebaikan itu, iaitu puasa sebagai pendinding, sedekah menghapuskan dosa-dosa kesalahan dan seseorang yang mengerjakan solat di dua pertiga malam". (Hadits riwayat Imam Ahmad)

Kelima: Adakah kita termasuk dalam golongan orang yang menggunakan alasan puasa untuk bermalas-malasan dan tidak mahu bersungguh-sungguh dalam pekerjaan? Sedangkan banyak sebenarnya peristiwa-peristiwa yang mahsyur di dalam Islam berlaku dalam bulan Ramadan seperti peperangan Badar dan sebagainya. Sikap malas bekerja di atas nama puasa merupakan sikap buruk yang mesti ditolak dan dijauhkan.

Keenam: Adakah kita termasuk dalam kalangan mereka yag keterlaluan makan dan minum di malam bulan Ramadan? Tidak dinafikan, ibadah puasa yang dikerjakan menyebabkan selera makan kita meningkat. Ini ditambah pula dengan pelbagai jenis juadah dan makanan hanya muncul di bulan Ramadan. Dalam hal ini, seharusnya kita berpada-pada dalam makan dan minum serta menjauhi pembaziran. Janganlah kita menjadi orang yang berpuasa tetapi hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Mengakhiri khutbah pertama hari ini, marilah kita tanamkan azam dan tingkatkan usaha untuk menjadi hamba yang bertaqwa selepas Ramadan. Hidupkanlah amalan qiamullail, solatlah berjamaah di masjid dan surau, bacalah Al-Quran setiap masa dan jagalah adab serta tata susila kita sebagai muslim. Hayatilah firman Allah s.w.t dalam Surah Yunus ayat 26:

۞ لِّلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَىٰ وَزِيَادَةٌ ۖ وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلَا ذِلَّةٌ ۚ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ ﴿٢٦﴾

Maksudnya: "Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar juga menyeru agar kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sempena bulan Syawal yang mulia ini, mimbar ingin berpesan agar kita meneruskan amalan-amalan soleh yang telah kita usahakan sebelum ini di dalam bulan Ramadan. Solat berjamaah di masjid, membaca Al-Quran serta tadabbur ayat-ayat Allah, berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal, bersedekah, memberi makan serta pelbagai amalan kebaikan yang lain. Jadikanlah Ramadan sebagai pemangkin, Syawal sebagai penerus amalan secara istiqamah.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر، وَفِي الْيَمَنْ، وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan iabadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment