Monday, June 3, 2019

KHUTBAH AIDILFITRI - 1 SYAWAL 1440 / 5 JUN 2019


AIDILFITRI : RAIKAN KEMENANGAN, TEGUHKAN PERPADUAN

Khutbah Pertama

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا. 

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهُ وَرَسُولُهُ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ ﴿١﴾ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا ﴿٢﴾ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا ﴿٣﴾ 

Maksudnya: "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah). Dan engkau melihat manusia masuk ke dalam agama Allah beramai-ramai. Maka ucapkanlah tasbih memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia amat menerima taubat". (Surah an-Nasr ayat 1-3)

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Aidilfitri tiba lagi. Hari kegembiraan bagi seluruh umat Islam. Hari kemenangan bagi umat Islam yang berjaya mengharungi madrasah Ramadan dengan mengawal hawa nafsu demi mematuhi perintah Allah. Aidilfitri adalah hari umat Islam kembali kepada fitrah. Iaitu kembali kepada keharusan makan dan minum yang diharamkan pada siang hari bulan Ramadan. Dalam sebuah hadith daripada Abu Ubayd, katanya:

شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقَالَ هَذَانِ يَوْمَانِ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ صِيَامِهِمَا يَوْمُ فِطْرِكُمْ مِنْ صِيَامِكُمْ وَالْيَوْمُ الْآخَرُ تَأْكُلُونَ فِيهِ مِنْ نُسُكِكُمْ

Maksudnya: “Aku telah hadir merayakan hari raya bersama Umar bin al-Khattab R.A. lalu beliau berkata: "Hari raya ini (Aidilfitri) dan hari raya (Aidiladha), Rasulullah SAW telah melarang berpuasa padanya, iaitu hari raya Aidilfitri setelah kamu sempurnakan puasa kamu dan hari raya Aidiladha untuk kamu makan daging korban kamu". (Hadith Sahih Riwayat Imam Al-Bukhari)

Fitrah juga membawa maksud bersih daripada kekotoran dosa. Aidilfitri yang hakiki yakni berjaya melaksanakan perintah Allah berpuasa sebulan dengan keimanan dan pengharapan, dengan memelihara perkara yang membatalkan puasa serta yang membatalkan pahala puasa, menghasilkan manusia yang disucikan dosanya, kembali kepada fitrah seperti permulaan kelahiran seorang bayi. Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan rasa pengharapan maka diampunkan baginya dosa-dosa yang terdahulu". (Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Semoga amalan-amalan di bulan Ramadan benar-benar menjadikan kita lebih bertakwa. Semoga Iblis menangis untuk menghadapi insan yang telah ditarbiah dalam Madrasah Ramadan. Bermuhasabahlah kita sama ada kita telah memperolehi laba yang dijanjikan pada bulan itu atau mengalami kerugian yakni hanya sekadar lapar dan dahaga. Adakah kita dapat bertemu lagi dengan bulan Ramadan akan datang? Apakah Ramadan yang baru pergi merupakan peluang terakhir yang Allah berikan kepada kita sebelum bertemu-Nya di Hari Pembalasan?

Muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian,

Menjadi tujuan sambutan Aidilfitri umat Islam diperintahkan saling mengeratkan silaturrahmi serta mengukuhkan perpaduan. Apatah lagi mengeratkan perpaduan sesama Islam adalah suatu tuntutan daripada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ ﴿١٠٣﴾

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya”. (Surah Aali Imran ayat 103)

Perpaduan adalah satu kekuatan yang tidak boleh diabaikan. Perpaduan umat Islam telah membuahkan hasil begitu besar ketika permulaan Islam juga ketika ketamadunan Islam berada di puncak. Perpaduan Islam pernah membuahkan kekuatan Islam sehingga berjaya menguasai 2/3 dunia. Manakala perpecahan pula, memberi kesan yang besar jika tidak diberi perhatian sewajarnya. Musuh Islam sentiasa mengintai peluang dari hasil perpecahan sesama umat Islam untuk melemahkan umat Islam sekaligus menguasai mereka. Peristiwa kejatuhan Khalifah Turki Uthmaniyah sepatutnya menjadi iktibar kerana ia adalah permulaan kejatuhan bumi Palestin kepada Israel. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Anfal ayat 46:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦﴾

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. (Surah Al-Anfal ayat 46)

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah,

Apa yang berlaku di hadapan mata sama ada di luar atau di dalam negara kita sendiri telah membuktikan betapa benar firman Allah s.w.t bahawa selama mana umat Islam meninggalkan perintah Allah, melepaskan tangan mereka dari terus memegang kemas ‘tali Allah’ dan melucutkan pegangan terhadap “tali penyambung sesama umat” maka kehinaan akan menimpa umat ini. Rasuah, salah guna kuasa, berzina, mencuri, merompak, LGBT termasuk dalam kumpulan maksiat dan kemungkaran. Namun jangan dilupakan bahawa, membiarkan umat Islam terus berpecah juga satu maksiat yang ditegah Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah Ali-Imran ayat 112:

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِّنَ اللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الْمَسْكَنَةُ ۚ... ﴿١١٢﴾ إلى أخر الأية...

Maksudnya: “Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya hubungan dari Allah dan adanya hubungan dari manusia...”. (…)

Sebagai umat Islam di negara ini, kita sepatutnya mencari noktah persamaan sesuai dengan kata-kata hukama’ yang masyhur:

نَتَعَاوَنُ عَلَى مَا نَتَّفَقَ عَلَيْهِ، وَيَعْذَرُ بَعْضُنَا بَعْضًا فِيْمَا نَخْتَلَفَ فِيْهِ

Maksudnya: “Kita saling membantu pada perkara yang disepakati dan berlapang dada pada perkara yang diperselisihkan”.

Seandainya konsep ini dihayati dengan baik pasti umat Islam dapat bertolak ansur pada jurang perbezaan pendapat dengan semangat persaudaraan sesama muslim. Apatah lagi, kebanyakan perbezaan ini hanya pada perkara-perkara khilaf yang tidak melibatkan soal keimanan bahkan lebih bersifat ijtihadi.

Perpaduan umat Islam di negara ini sangat penting kerana ia adalah tulang belakang kepada keutuhan Islam. Manakala perpecahan sesama umat Islam akan menggugat kedaulatan Islam yang sekian lama terpelihara kukuh di negara ini.

Sudah tentu perpaduan umat Islam di negara ini mesti didasarkan kepada ajaran Islam, bersatu atas dasar aqidah Islamiyyah dan merapatkan saf sesama muslim untuk mendaulatkan Islam di dalam kehidupan dan kenegaraan.

Sesuai konsep Rahmatan lil Alamin, perpaduan berbagai kaum di Malaysia, diusahakan demi membina sebuah negara yang harmoni, maju dan dihormati. Namun apa yang tidak patut dikesampingkan adalah bersungguhsungguh berusaha agar umat Islam semakin kukuh bersatu padu.

Mukminin dan mukminat yang berbahagia,

Ketika mana umat Islam digalakkan bersatu padu, tidak pula bermakna bukan Islam perlu dimusuhi. Para ulama’ kontemporari telah memberi panduan dengan pemahaman fiqh ta’ayush (kaedah hidup bersama) di antara orang Islam dan bukan Islam.

Memetik kalam Syeikh Muhammad Bin Hassan As-Syarif dalam buku beliau bertajuk al-Taqarub wa al-Ta’ayush Ma’a Ghayr al-Muslimin:

“Konsep Fiqh al-Ta`ayush bukan bermaksud mengkompromi kedudukan Islam sebagai agama kebenaran. Ini disebut oleh Syeikh Muhammad al-Syarif: “Bukan bermakna dalam konsep al-taqarub (merapatkan) dan al-ta`ayush menuntut kepada proses taqrib antara agama. Bukan, dan aku berlindung dengan Allah daripada perkara itu. Sesungguhnya Islam itu adalah satusatunya agama yang benar, dan agama selainnya adalah batil dan tertolak. Setiap agama lain itu pula adalah kesyirikan, kesesatan, dan kerosakan, pada kepercayaan secara total. Akan tetapi apa yang aku kehendaki daripada altaqarub dan al-ta`ayush ialah memperkenalkan Islam kepada orang bukan Islam dan mengajak kepadanya. Jika mereka tidak menerimanya sebagai agama sekalipun maka ketika itu hendaklah kita meletakkan kaedah-kaedah bagi mengelakkan pertumpahan darah, menjamin manusia untuk melakukan aktiviti di atas muka bumi, meninggikan keadilan ke atas mereka, dan saling menolong pada perkara yang boleh dilakukan bersama”.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Bagi merumuskan khutbah hari ini, sempena meraikan hari kemenangan kita iaitu hari raya Aidilfitri, marilah sama-sama kita renungkan dan usahakan mentaati perintah Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Kukuhkan perpaduan, suburkan budaya bermaaf-maafan, kunjung mengunjung bagi mengeratkan ukhuwah Islamiyah. Jauhi maksiat kerana hari raya bukanlah tiket untuk kita bebas melanggar hukum syara’ sehingga mengabaikan segala perintah dan larangan Allah s.w.t.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، 
اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُ اللهُ وَرَسُولُهُ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا وَأُسْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ، اُوْصِيْكُمْ وَاِيّايَ بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Pada hari raya Aidilfitri yang mulia ini, kita berkumpul di rumah Allah untuk membesarkan-Nya. Kita bertahmid dan bertakbir menandakan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah yang telah mengurniakan nikmat Iman dan Islam.

Namun dalam asyik kita bergembira, janganlah kita lalai dan leka dari menuruti batas-batas syariah yang ditetapkan oleh Allah. Peliharalah solat, jagalah adab dan pergaulan, jauhilah berhias yang berlebihan, pakaian yang tidak menutup aurat dan elakkan pembaziran. Banyakkan takbir dan tahmid membesarkan Allah, ziarah-menziarahi mengerat silaturrahmi, bermaafmaafan dan pelbagai lagi kebaikan yang disyariatkan.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

Sesungguhnya hawa nafsu sentiasa mengajak manusia melakukan kejahatan. Manusia yang berjaya adalah mereka yang diberi rahmat oleh Allah kerana kejayaan mereka mengawal hawa nafsu. Teruskan perjuangan walaupun Ramadan sudah pergi meninggalkan kita. Kita adalah hamba Allah bukannya hamba Ramadan.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر، وَفِي الْيَمَنْ، وَفِي نِيُوْ زِيْلَنْد، وَفِي سِرِيْ لَانْكَا، وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.


Teks asal khutbah Aidilfitri 1440 H ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment