Friday, May 31, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 26 RAMADAN 1440 / 31 MEI 2019


ZAKAT FITRAH MENYEMPURNAKAN PUASA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ ﴿٩﴾ (Surah Al-Munafiqun : Ayat 9)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,


Saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan kaum muslimin sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sebelum meneruskan khutbah, saya berpesan kepada sidang jamaah agar menumpukan sepenuh perhatian, dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertaqwa. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk, "Zakat Fitrah Menyempurnakan Puasa".

Kaum muslimin yang dikasihi Allah,

Mimbar hari ini mengajak seluruh umat Islam agar menekuni kewajipan zakat fitrah dan hukum berkait dengannya. Pada tahun kedua hijrah, Allah s.w.t mewajibkan umat Islam berpuasa melalui firman-Nya dalam ayat 183 Surah Al-Baqarah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa".

Ketika menjalani ibadah puasa itulah, Nabi Muhammad s.a.w menerima wahyu agar umat Islam menunaikan zakat fitrah. Ibnu 'Umar radhiAllahu 'anhuma menjelaskan tentang perintah Nabi s.a.w:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ، صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ.

Maksudnya: "Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu gantang kurma, atau satu gantang gandum". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Allah memerintahkan kita mengeluarkan zakat fitrah atas dua tujuan iaitu, menghapuskan dosa dan memberi bantuan kepada orang-orang miskin. Inilah yang diisyaratkan oleh hadits yang berbunyi:

فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ طُهْرَةً لِلصَّائِمِ مِنْ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ وَطُعْمَةً لِلْمَسَاكِينِ

Maksudnya: "Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah sebagai pencuci dosa bagi orang yang berpuasa dari percakapan yang sia-sia dan keji dan juga sebagai (memberi) makanan bagi orang-orang miskin". (Hadits riwayat Abu Daud)

Mafhum hadits ini ialah, dosa kecil yang berhubung dengan Allah akan diampunkan dengan sebab membayar zakat fitrah. Adapun dosa besar, wajib dengan taubat. Manakala dosa sesama manusia, maka wajib meminta maaf atau memulangkan semula hak kepada orang yang menjadi mangsa. Adalah tidak wajar bagi orang yang berharta, membiarkan orang-orang miskin meminta-minta untuk persiapan hari raya. Ini ditegaskan oleh Nabi s.a.w dalam sabdanya:

أَغْنُوهُمْ عَنْ الطَّوَافِ فِى هَذَا الْيَوْمِ

Maksudnya: "Cegahlah mereka (orang-orang miskin) agar tidak berkeliaran (untuk meminta-minta) pada hari ini (hari raya)". (Hadits riwayat Ibnu 'Adi dan Ad-Daru Qutni)

Bagi menunaikan perintah Nabi s.a.w ini, maka Majlis Agama Islam Perak, pada setiap tahun akan mengagihkan bantuan zakat di bulan Ramadan kepada fakir miskin, di setiap qaryah masjid atau surau diri Jumaat.

Berapakah kadar fitrah yang wajib ditunaikan pada setiap tahun? Untuk menjawab soalan ini, mari kita perhatikan hadits Rasulullah s.a.w:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ زَكَاةَ الْفِطْرِ، صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ : عَلَى الْعَبْدِ، وَالْحُرِّ، وَالذَّكَرِ، وَالْأُنْثَى، وَالصَّغِيرِ، وَالْكَبِيرِ، مِنْ الْمُسْلِمِينَ، وَأَمَرَ بِهَا أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ.

Maksudnya: "Daripada Ibnu 'Umar radhiAllahu 'anhuma bahawa Rasulullah s.a.w mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu gantang kurma, atau satu gantang gandum ke atas orang Islam sama ada hamba, orang merdeka, lelaki, perempuan, dewasa, atau kanak-kanak. Baginda memerintahkan agar dikeluarkan zakat sebelum jamaah keluar menunaikan solat". (Hadits riwayat Muttafaqun 'alaih)

Oleh yang demikian, setiap individu atau ketua keluarga mesti bertanggungjawab menunaikan kewajipan zakat fitrah bagi dirinya dan tanggungannya. Bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah, maka Majlis Agama Islam Perak menetapkan harga beras satu gantang Baghdad ialah RM7.00 bagi setiap orang. Namun, umat Islam diberi pilihan untuk membayar fitrah mengikut jenis beras yang dimakan. Maka mulai tahun ini, fitrah boleh dibayar dengan 3 harga, iaitu:

Bagi yang makan dari beras tempatan fitrahnya ialah RM7.00.

Bagi yang makan dari beras wangi atau sejenis dengannya seperti beras perang, fitrahnya ialah RM14.00.

Bagi yang makan dari beras basmati atau sejenis dengannya, maka fitrahnya ialah RM21.00.

Mimbar sekali lagi menegaskan, kadar fitrah yang wajib ialah RM7.00 setiap orang. Namun digalakkan (sunat) bagi yang makan dari beras yang lebih mahal, membayar fitrah mengikut harga berasnya iaitu RM14.00 atau RM21.00.

Waktu membayar zakat fitrah ada dinyatakan di dalam hadits. Sabda Nabi s.a.w:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِزَكَاةِ الْفِطْرِ أَنْ تُؤَدَّى قَبْلَ خُرُوجِ النَّاسِ إِلَى الصَّلَاةِ

Maksudnya: "Bahawa Rasulullah s.a.w memerintahkan agar membayar zakat fitrah sebelum para jamaah keluar menunaikan solat hari raya". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Sebuah hadits lagi berbunyi:

وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يُعْطِيهَا الَّذِينَ يَقْبَلُونَهَا وَكَانُوا يُعْطُونَ قَبْلَ الْفِطْرِ بِيَوْمٍ أَوْ يَوْمَيْنِ

Maksudnya: "Dan Ibnu 'Umar radhiAllahu 'anhuma  menyerahkan zakat fitrah kepada mereka yang menerimanya, dan mereka menyerahkannya sehari atau dua hari sebelum hari raya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Ini menunjukkan, Nabi s.a.w mengajar kita tentang waktu akhir menunaikan zakat fitrah ialah sebelum ahli jamaah di sesuatu tempat mula keluar bagi menunaikan solat hari raya. Ia juga bermaksud, janganlah ada yang mahu mengambil risiko membayar zakat ketika jamaah mula keluar menunaikan solat hari raya.

Ibnu 'Umar radhiAllahu 'anhuma adalah seorang sahabat yang selalu mendampingi Nabi s.a.w dan sentiasa meniru perbuatan Nabi s.a.w. Beliau membayar zakat fitrah sebelum hari raya, atau pada hari-hari dalam Ramadan. Kerana itulah, membayar fitrah boleh dilakukan mulai hari pertama Ramadan.

Namun mimbar menasihati para jamaah agar janganlah sengaja memilih membayar zakat fitrah ketika jamaah bersiap-siap menunaikan solat hari raya.

Ini kerana menyusahkan amil-amil yang ditugaskan mengutip zakat. Apa lagi jika amil itu pula yang bertugas mengimami solat sunat hari raya dan menyampaikan khutbah, yang perlu kepada persiapan awal. Maka pilihlah untuk membayar lebih awal, agar tidak menjadi beban kepada orang lain.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Majlis Agama Islam Perak telah melantik dan mentauliahkan amil-amil untuk mengutip zakat fitrah. Dalam kalangan mereka ada yang membuka kaunter zakat fitrah di banyak tempat seperti masjid, surau, pasar raya, pasar tani, pejabat kerajaan dan swasta. Majlis Agama Islam Perak juga membuka peluang kepada seluruh umat Islam agar merebut peluang di bulan Ramadan yang penuh berkat ini dengan melakukan wakaf tunai melalui Wakaf Perak Ar-Ridzuan, kepada amil yang ditauliahkan.

Mengakhiri khutbah pertama hari ini, mimbar menyeru seluruh umat Islam agar menunaikan kewajipan zakat fitrah dan bagi mereka yang berkemampuan, bolehlah menambahnya dengan amalan bersedekah dan berwakaf. Firman Allah s.w.t:

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا ۖ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١٤٨﴾

Maksudnya: "Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah Al-Baqarah ayat 148)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Mimbar juga menyeru agar kita menjaga hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Marilah kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam atau di bazar Ramadan, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita telah berada di minggu terakhir Ramadan. Sudah menjadi lumrah di penghujung Ramadan ini, bilangan para jamaah di masjid-masjid dan surau-surau semakin berkurang. Hal ini amat mendukacitakan. Sepatutnya pada waktu inilah kita saling berlumba melipat gandakan amalan. Bukankah Allah s.w.t telah memberi kita kesempatan untuk bertemu Ramadan kali ini? Tidakkah kita bimbang jika Ramadan ini merupakan Ramadan kita yang terakhir?

Mimbar merayu kepada jamaah sekalian, kembalilah ke masjid-masjid dan surau-surau. Ayuh lipat gandakan amal ibadah kita khususnya solat terawih, membaca Al-Quran, qiamullail, bersedekah dan sebagainya. Mudah-mudahan kita dapat membawa banyak bekalan amalan untuk bertemu dengan Allah s.w.t.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر، وَفِي الْيَمَنْ، وَفِي نِيُوْ زِيْلَنْد، وَفِي سِرِيْ لَانْكَا، وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment