Friday, May 24, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 19 RAMADAN 1440 / 24 MEI 2019


AL-QURAN ADALAH PETUNJUK ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيٓ أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًاأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Firman Allah Ta'ala:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ... ﴿١٨٥﴾ [سورة البقرة : ١٨٥]

(Maksudnya): "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan daripada petunjuk serta pembeza (antara yang hak dan yang batil)".

Adalah menjadi satu hikmah yang besar Allah s.w.t memuliakan Al-Quran itu, diturunkan pada bulan Ramadan, bulan berkat dan penuh dengan fadilat dan kelebihannya. Firman Allah Ta'ala:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ ﴿٣﴾ [سورة الدخان : ٣]

(Maksudnya): "Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat, kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran".


إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ [سورة القدر : ٣-١]

(Maksudnya): "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Al-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Al-Qadar itu? Malam Al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan".

Itulah malam Allah s.w.t menurunkan Al-Quran. Al-Quran itu adalah kata-kata atau firman atau ucapan Allah s.w.t yang menjadi petunjuk kepada seluruh manusia dan seluruh alam.

Allah s.w.t yang kita puji dan puja pada tiap-tiap rakaat sembahyang "الحمد لله رب العالمين (segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam)". Allah bermakna Dia sahaja Tuhan yang layak beribadat kepada-Nya, tidak boleh beribadat melainkan kepada Allah s.w.t. رب العالمين dengan makna Dia Tuhan yang Mencipta, Menjadikan dan Mentadbir seluruh alam ini dengan peraturan dan petunjuk-Nya.

Maka Al-Quran adalah petunjuk Allah s.w.t kepada manusia. Allah s.w.t yang menjadikan manusia dan menjadikan seluruh alam. "الرحمن الرحيم (Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang terhadap hamba-Nya)". Segala petunjuk Al-Quran itu adalah kasih dan rahmat Allah s.w.t yang menunjuk ke jalan yang benar, membawa kebaikan kepada mereka di dunia dan akhirat. Sesiapa yang meninggalkan petunjuk Al-Quran dia sesat, musnah dan punah hidupnya di dunia dan di akhirat.

Allah s.w.t memberitahu:

أَفَمَن يَمْشِي مُكِبًّا عَلَىٰ وَجْهِهِ أَهْدَىٰ أَمَّن يَمْشِي سَوِيًّا عَلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ ﴿٢٢﴾ قُلْ هُوَ الَّذِي أَنشَأَكُمْ وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالْأَبْصَارَ وَالْأَفْئِدَةَ ۖ قَلِيلًا مَّا تَشْكُرُونَ ﴿٢٣﴾ قُلْ هُوَ الَّذِي ذَرَأَكُمْ فِي الْأَرْضِ وَإِلَيْهِ تُحْشَرُونَ ﴿٢٤﴾ [سورة الملك : ٢٤-٢٢]

(Maksudnya): "Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata? Katakanlah (wahai Muhammad): "Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur". Katakanlah lagi: "Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan".

Kita menyaksikan bagaimana mereka yang iman, akidah dan kepercayaannya tidak mengikut petunjuk Al-Quran menyembah tuhan yang lain daripada Allah s.w.t menjadi manusia yang paling bodoh, manusia yang dijadikan mulia oleh Allah s.w.t menyembah batu, kayu dan binatang-binatang, memahat patung-patung berhala yang disembah itu yang lebih buruk dan hodoh mukanya daripada mukanya sendiri. Hinanya mereka yang menyembah tuhan-tuhan yang lain daripada Allah s.w.t seperti menyembah syaitan makhluk yang jahat yang merosakkan diri sendiri.

Semua perkara yang diwajibkan mempunyai fadilat dan pahala berkat hidup di dunia dan berkat hidup di akhirat. Semua perkara yang diharamkan mendatangkan dosa yang membawa celaka di dunia dan celaka di akhirat. Semua yang dihalalkan adalah baik dan memberi manfaat kepada manusia. Sementara semua yang diharamkan mendatangkan penyakit dan merosakkan diri manusia sendiri. Tetapi apabila manusia memilih petunjuk yang lain daripada Al-Quran dengan melakukan perkara yang diharamkan dalam kehidupan mereka, tersebarnya penyakit-penyakit tubuh badan yang merosakkan jasad mereka, tersebarnya perangai-perangai yang buruk yang meruntuhkan keluarga dan meruntuhkan hubungan di antara satu sama lain serta merosakkan diri mereka sendiri.

Maka bagi orang Islam, sepatutnya bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah memberi petunjuk menjadi orang Islam. Buktikan kesyukuran itu dengan berpegang kepada Al-Quranul Karim yang merupakan petunjuk Allah s.w.t yang diajar cara beramalnya oleh Rasulullah s.a.w yang diwarisi oleh para ulamak yang menerima pusaka ajaran-ajaran rasul.

إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ. [رواه الترميذي]

(Maksudnya): "Sesungguhnya para ulamak adalah waris-waris yang menerima pusaka nabi-nabi. Nabi-nabi tidak meninggalkan pusaka harta benda duit emas dan duit perak. Sesungguhnya mereka meninggalkan ilmu (yang bermanfaat). Maka sesiapa yang mengambil pusaka itu, dia mendapat keuntungan yang sangat besar (di dunia dan di akhirat)".

Ilmu agama itu tersimpan di dalam Al-Quranul Karim yang mesti kita membacanya, mengambil ajarannya dan mengikut petunjuknya. Maka selamatlah kita di dunia sehingga hari akhirat.

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٢٣﴾ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ ﴿٢٤﴾ [سورة البقرة : ٢٤-٢٣]

(Maksudnya): "Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad), buatlah satu surah (sahaja) yang sama dengan Al-Quran itu dan ajaklah penolong-penolong kamu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. Maka jika kamu tidak dapat membuatnya dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, peliharalah dirimu dari api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment