Friday, May 24, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 19 RAMADAN 1440 / 24 MEI 2019


MEMAKNAI PERISTIWA NUZUL AL-QURAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ... ﴿١٨٥﴾ (Surah Al-Baqarah : Ayat 185)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan kaum muslimin sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sebelum meneruskan khutbah, saya juga berpesan kepada sidang jamaah agar menumpukan sepenuh perhatian, dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertaqwa. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk, "Memaknai Peristiwa Nuzul Al-Quran".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Al-Quran adalah mukjizat teragung yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w dan kewujudan Allah s.w.t. Peristiwa Nuzul Al-Quran yang bermaksud penurunan Al-Quran mengandungi makna yang sangat besar kepada umat Islam di sepanjang zaman, Al-Quran adalah sumber hidayah, rahmah dan syifak (penawar) kepada manusia. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Furqan (yang dapat membezakan) di antara yang haq dan yang batil. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ... ﴿١٨٥﴾

Maksudnya: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Peristiwa Nuzul Al-Quran mengajar kita untuk menghayati ajaran Al-Quran dengan sebenar-benarnya. Al-Quran bukan sekadar dibaca dan dihafaz sahaja, bahkan lebih penting adalah kita memahami maqasid atau tujuan ia diturunkan. Ini bertepatan dengan tujuan penurunan Al-Quran itu sendiri iaitu pertama, sebagai keterangan dan panduan kepada manusia. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nahl, ayat 44:

... وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٤٤﴾

Maksudnya: "...Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya".

Yang kedua, sebagai hukum yang membawa kebenaran dan keadilan kepada manusia. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' ayat 105:

إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا ﴿١٠٥﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Al-Quran dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum dalam kalangan manusia menurut apa yang telah Allah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Bila berbicara tentang Al-Quran, kita akan turut membicarakan kedatangan bulan Ramadan. Selain puasa, umat Islam dituntut untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran. Bahkan ada di antara kita yang berusaha mengkhatamkan 30 juzuk Al-Quran setiap kali datangnya Ramadan. Tidak kurang juga masjid atau surau yang melantik imam-imam hafiz jemputan untuk memimpin solat terawih sepanjang bulan ini. Tujuannya agar mereka mengalunkan bacaan Al-Quran lengkap 30 juzuk dalam solat terawih. Ini adalah usaha-usaha untuk membudayakan Al-Quran di sepanjang bulan Ramadan.

Malangnya, budaya ini terhenti setelah Ramadan pergi meninggalkan kita. Al-Quran mula disisihkan selepas Ramadan melabuhkan tirainya. Al-Quran hanya dibuka setahun sekali apabila tibanya Ramadan, manakala dalam 11 bulan yang lain, kitab suci ini hanya disimpan rapi di dalam almari. Justeru, marilah kita ubah budaya ini dengan menjadikan Al-Quran sebagai teman kita yang paling rapat.

Cuba kita perhatikan corak kehidupan Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Asas kehidupan baginda dan para sahabat adalah Al-Quran. Kitab suci ini bukan sekadar dibaca malah segala pengajaran dan perintah yang terdapat di dalamnya dilaksanakan dengan penuh taat. Daripada Saiyidina Abdullah bin 'Abbas radhiAllahu 'anhuma, Rasulullah s.a.w bersabda dalam khutbah baginda yang terakhir:

تَرَكْتُ فِيْكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّواْ مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا : كِتَابَ اللهِ وَسُنَّةَ رَسُوْلِهِ.

Maksudnya: "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang teguh dan mengikuti keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku". (Hadits ini dinilai hasan oleh Al-Bani)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bersempena dengan peristiwa Nuzul Al-Quran, khatib mengajak sidang jamaah sekalian untuk sama-sama merenung kembali sejauh manakah kita menghayati dan mengamalkan kandungan Al-Quran. Mudah-mudahan kita mengambil peluang dalam bulan penuh barokah ini untuk meningkatkan mutu ibadah harian kita dengan Al-Quran.

Mengakhiri khutbah hari ini, khatib ingin merumuskan hikmah peristiwa Nuzul Al-Quran seperti berikut:

Pertama: Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w dan panduan hidup bagi umat Islam sepanjang zaman.

Kedua: Al-Quran menjadi sumber dan penawar bagi umat Islam yang inginkan kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Ketiga: Kandungan ajaran Al-Quran kekal relevan merentasi zaman sekalipun telah diturunkan lebih 1400 tahun yang lalu.

Harapan kita agar 10 hari lagi Ramadan yang berbaki dapat kita manfaatkan siang dan malamnya. Dibimbangi kita hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata namun prestasi dan kualiti bacaan Al-Quran kita tidak berubah daripada sebelumnya. Hubungan kita dengan Al-Quran seharusnya meningkat di bulan Ramadan dan bukan masih di takuk yang lama. Ramadan adalah kayu ukur kita benar-benar menilai - di manakah letaknya Al-Quran dalam hati kita?

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Mimbar menyeru agar kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam atau di bazar Ramadan, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita telah berada di minggu ketiga Ramadan. Sudah menjadi lumrah di penghujung Ramadan ini, bilangan para jamaah di masjid-masjid dan surau-surau semakin berkurang. Hal ini amat mendukacitakan. Sepatutnya pada waktu inilah kita saling berlumba melipat gandakan amalan. Bukankah Allah s.w.t telah memberi kita kesempatan untuk bertemu Ramadan kali ini? Tidakkah kita bimbang jika Ramadan ini merupakan Ramadan kita yang terakhir?

Mimbar merayu kepada jamaah sekalian, kembalilah ke masjid-masjid dan surau-surau. Ayuh lipat gandakan amal ibadah kita khususnya solat terawih, membaca Al-Quran, qiamullail, bersedekah dan sebagainya. Mudah-mudahan kita dapat membawa banyak bekalan amalan untuk bertemu dengan Allah s.w.t.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر، وَفِي الْيَمَنْ، وَفِي نِيُوْ زِيْلَنْد، وَفِي سِرِيْ لَانْكَا، وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment