Monday, June 3, 2019

KHUTBAH HARI RAYA AIDILFITRI TUAN GURU PRESIDEN PAS 1440 HIJRAH - 1 SYAWAL 1440 / 5 JUN 2019


Khutbah Hari Raya Aidilfitri Presiden PAS 1440 Hijrah

Khutbah Pertama

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ كَبِرًا

وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِرًا مُبَارَكًا فِيْهِ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ.

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ الْأَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُأَمَّا بَعْدُ. 

فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah!

Bertaqwalah kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya dan carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka berjayalah mereka yang bertaqwa.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah!

Marilah kita jadikan ibadat puasa yang ditunaikan sebulan Ramadan yang berkat itu, mencapai tujuannya yang dikehendaki Allah supaya kita bertaqwa kepada-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾ سورة البقرة : ١٨٣

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Bertaqwa itu ialah menjadi orang-orang yang taat kepada Allah mengikut petunjuk Al-Quran yang dipilih bulan Ramadan juga diturunkannya. Dan dipilih-Nya pula supaya kita berpuasa supaya melatihkan diri dengan ibadat puasa itu, menjadi orang-orang yang taat kepada-Nya dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata.

Bersedia mengerjakan amalan yang soleh dan meninggalkan perkara yang dilarang, walaupun dihalalkan pada masa yang lain. Maka begitulah juga kita terus meninggalkan yang haram di sepanjang masa kerana mentaati Allah dengan rasa takut dan gerun kepada-Nya secara berhati-hati dalam semua amalan kita.

Al-Quran adalah petunjuk Allah yang Maha Penyayang dan kasih kepada hamba-Nya, lebih daripada hamba itu sayang dan kasih kepada dirinya sendiri. Bermakna bahawa mereka yang mengerjakan larangan Allah itu adalah tidak sayang kepada dirinya dan merosakkan dirinya sendiri.

Sedarlah bahawa semua perkara yang diperintah oleh Allah dan yang dihalalkan itu memberi kebaikan di dunia dan pahala di akhirat, dan perkara yang diharamkan itu merosakkan diri mereka sendiri dengan berbagai penyakit dalam hidup di dunia ini dan celaka di akhirat kalau tidak bertaubat sebelum matinya.

Maka ambil peluang, masuk ke dalam pintu taubat yang dibuka Allah yang sangat luas peluang dan masanya. Luasnya laksana jarak di antara timur dan barat. Percaya kepada janji Allah menerima taubat nasuha (ikhlas kepada-Nya) daripada mereka yang masih beriman walaupun dosanya sepenuh bumi. Amal yang soleh juga boleh menghapuskan dosa, khususnya ibadat puasa Ramadan, sehingga dihapuskan dengan sebabnya dosa kecil sepanjang tahun dengan syarat meninggalkan dosa besar, atau bertaubat setelah melakukannya.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah!

Hari ini kita bertakbir menyambut hari raya, menyatakan kesyukuran kepada Allah dengan petunjuk Allah kita menjadi orang Islam. Allah mengajar kita bersyukur, di antaranya Allah berfirman:

... وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ ﴿١٨٥﴾ سورة البقرة : ١٨٥

(Maksudnya): Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari dan masa berpuasa itu), dan bertakbirlah membesarkan Allah (memuliakannya) di atas petunjuk yang diberi kepada kamu, supaya kamu bersyukur kepada-Nya.

Maka nikmat paling besar ialah menjadi orang Islam, diberi petunjuk dengan Al-Quran dan diutuskan rasul yang membawa rahmat kepada seluruh alam, khususnya kepada diri manusia sendiri.

Maka wajblah kita mengikut petunjuk Allah daripada Al-Quran itu, menjadikannya panduan seluruh cara hidup kita, sama ada hubungan kita dengan Allah, begitulah juga hubungan kita dengan manusia, dan juga mentadbir urusan kita, termasuk mengambil rezeki-Nya, bagi makanan roh dan jasad, seterusnya menggunakan rezeki itu dengan ajaran Islam yang diajar semuanya oleh Rasulullah s.a.w, dan disampaikan oleh para ulamak yang menerima pusakanya.

إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ. [رواية الترميذي]
(Maksudnya): Sesungguhnya para ulamak itu pewaris pusaka nabi-nabi. Sesungguhnya nabi-nabi itu tidak meninggalkan pusaka harta wang emas dan duit perak. Sebenarnya mereka meninggalkan pusaka ilmu agama Islam. Sesiapa yang dapat mengambilnya nescaya dia mendapat keuntungan yang besar.

Rezeki roh itu ialah ilmu yang memberi manfaat dunia dan akhirat dan akal yang bijak beramal dengan ilmu itu. Rezeki jasad pula ialah seperti hidup dengan kesihatan yang baik dan harta benda. Semuanya dimanfaatkan dengan petunjuk Allah daripada Al-Quran dan contoh daripada Rasulullah s.a.w.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah!

Kita menyaksikan hari ini dengan mata kita, bahawa ramai daripada umat Islam tidak bersyukur kepada Allah dan kufur nikmat Islamnya, disebabkan runtuh akhlaknya dan buruk perangainya, kerana terpengaruh dengan syaitan manusia dan jin. Sehingga terpengaruh dengan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan. Berperangai tidak senonoh, sehingga mabuk arak dan dadah, menghilangkan akal yang diberikan Allah. Sehinggalah ada yang melakukan jenayah membunuh dan mencederakan orang, mengambil harta secara haram dengan menipu, mencuri harta, rasuah dan lain-lain.

Memerintah negara pula banyak perkaranya tidak mengikut hukum Allah. Ekonominya juga begitu. Terpengaruh dengan bukan Islam, memerintah dan mencari harta tanpa mengira batas cara halal dan haram seperti memakan rasuah, riba dan lain-lain, menyebabkan mereka menjadi umat yang mundur dan lemah, walaupun bilangan mereka ramai dan berada di atas bumi yang banyak hasilnya, tetapi lebih banyak diambil oleh orang-orang bukan Islam, bahkan banyak yang digunakan pula bagi merosakkan umat Islam sendiri, sehinggalah membeli senjata untuk membunuh sesama umat Islam dan menghancurkan tanahair mereka sendiri. Lihatlah yang berlaku sekarang di negara-negara arab dan lain-lain.

Sebabnya adalah kerana mereka meninggalkan petunjuk Al-Quran dan ajaran Rasulullah s.a.w.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah!

Kita melihat perpecahan berlaku di kalangan umat Islam, sehingga berperang saudara berbunuhan dan merosakkan harta sendiri, berlakunya amaran Rasulullah s.a.w:

لَاتَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍِ. [رواية مسلم - السيرة النبوية لابن كثير (٤/ ٣٩٤)]
(Maksudnya): Janganlah kamu menyeleweng selepas aku (wafat) sehingga setengah kalangan kamu memancung leher (membunuh kawan sendiri).

Kita sedang menyaksikan amaran ini berlaku di negara-negara yang paling dekat dengan Rasulullah s.a.w dari segi jasad tubuh badannya sahaja, bangsa dan bahasanya arab, tetapi hati sudah lupa, tidak tahu siapa mereka dan di mana bumi tempat mereka berpijak. Sehingga kekayaan hartanya yang banyak itu tidak memberi apa-apa faedah. Kekayaan hartanya merosak diri dan umatnya sendiri. Mahu berdamai dengan yahudi musuh Islam, tetapi bermusuh dengan saudaranya orang Islam. Inilah balasan terhadap mereka yang kufur kepada nikmat Islam yang diberi oleh Allah, sehingga lebih percaya kepada musuh Islam itu dan tidak percaya kepada orang-orang Islam sendiri.

Kalau di dunia ini sudah celaka dibakar oleh api peperangan, maka api neraka di hari akhirat lebih besar dan menyakitkan kalau tidak bertaubat kembali semula kepada Islam, atau terus kufur tidak bertaubat sampai mati.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah!

Marilah kita yang ada di sini mengambil iktibar daripada semua yang berlaku itu dengan kita berpegang teguh kepada Islam yang kita percaya ini, atau bertaubat dan kembali semula kepada Islam kalau kita salah atau sesat mengikut petunjuk syaitan yang menyesatkan kita itu.

Kita juga melihat bahawa petunjuk yang lain daripada Islam itu tidak berjaya menyelamatkan pengikutnya ke jalan yang betul dalam kehidupan dunia ini, sehingga orang-orang muda di kalangan bukan Islam itu kebanyakannya tidak ada pegangan kepada agamanya sendiri, atau ikut orang tua dan nenek moyang dalam kesesatan, atau semata-mata menjaga warisan ajaran lama yang salah. Atau yang terus degil mempertahankan yang sesat dan salah itu. Kebanyakan mereka hidup bebas ikut hawa nafsu, bukannya berpegang kepada agama, sehingga dalam keadaan yang lebih sesat daripada binatang yang tidak berakal. Berlakunya berkahwin sejenis (sesama lelaki atau sesama perempuan) atau terus hidup bebas. Memakai pakaian yang tidak menunjukkan adanya rasa malu kerana tidak ada maruah. Sehingga berani dan tidak ada rasa malu menubuhkan persatuan seperti yang dinamakan LGBT. Inilah yang disebut oleh Allah di dalam Al-Quran:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ ﴿١٧٩﴾ سورة الأعراف: ١٧٩

(Maksudnya): Sesungguhnya Kami telah sediakan untuk neraka Jahannam itu ramai di kalangan jin dan manusia, mereka yang ada jantung hati (kemampuan boleh berfikir) supaya memahami dengan menggunakan akalnya, mereka tidak menggunakannya untuk berfikir memahami dengan akalnya itu. Mempunyai mata, tidak melihat untuk mengambil pengajaran, dan mempunyai telinga, tidak mendengar mengambil peringatan. Mereka itu sebenarnya seperti binatang-binatang, atau lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah!

Marilah pada hari raya yang diberi Allah ini, supaya kita bergembira kerana bersyukur menunaikan ibadat puasa yang banyak fadilatnya bagi diri kita. Bukan sahaja pahalanya yang besar yang hanya diketahui Alllah betapa besar dan banyaknya, semua diberi oleh Allah. Begitu juga mengajar kita supaya menjadi manusia yang baik hubungannya dengan Allah dan hubungan persaudaraan bersama kita.

Tunjukkan kesyukuran itu pula dengan bukti bertambah kuat berpegang kepada Islam dengan kuatnya hubungan kita kepada Allah dan bertambah baiknya hubungan kita dengan sesama manusia, khususnya umat Islam dan tunjukkan kebaikan Islam kepada mereka dengan bersaudara dan bermaafan.

Jadikan diri kita umat Islam yang dipuji oleh Allah kerana menjadi contoh kepada seluruh manusia.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ... ﴿١١٠﴾ سورة آل عمران : ١١٠

(Maksudnya): Kamu adalah umat yang terbaik, dikeluarkan (menjadi contoh teladan) kepada manusia, di mana kamu menyuruh kepada yang baik, kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٧١﴾ سورة التوبة : ٧١

(Maksudnya): Orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan itu bertolong menolong sesama mereka. Menyuruh kepada yang baik, mencegah kemungkaran, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan mendapat rahmat Allah, dan Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.  

اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. أَمَّا بَعْدُ.

فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Muslimin dan Muslimat sekalian!

Marilah pada hari raya ini kita merasakan betapa besarnya nikmat iman dan Islam yang dikurniakan kepada kita oleh Allah Ta’ala. Dan hanya kematian ddalam iman dan Islam sahaja yang diredhai oleh Allah sebagaimana firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾  سورة آل عمران : ١٠٢

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kamu mati melainkan kamu di dalam keadaan beragama Islam.

Pada hari ini juga hendaklah kita ingat betapa besarnya nikmat persaudaraan Islam yang dianjurkan di dalam Islam. Tanda iman seseorang ialah dia kasih kepada saudara seagama dengannya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

(Maksudnya): Tidak beriman seseorang kamu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana kasihnya kepada dirinya sendiri.

Sehubungan itu hendaklah lahir di dalam hati setiap orang Islam perasaan sedih terhadap bala bencana dan kesusahan yang menimpa umat Islam di serata dunia. Samada mereka yang ditimpa gempa bumi, dilanda peperangan, kemiskinan dan kebuluran di negara-negara Afrika, dan umat Islam yang sedang dijajah, dizalimi dan dibunuh serta ditindas seperti yang sedang berlaku di Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Selatan Thailand, Rohinghya dan sebagainya.

Jika tidak mampu membantu mereka dengan wang ringgit dan tenaga, sekurang-kurangnya melalui doa san munajat kepada Allah supaya Allah memberi pertolongan kepada mereka dan membebaskan mereka daripada penderitaan dan kezaliman manusia yang dihadapi mereka.

Muslimin dan Muslimat sekalian!

Pada hari yang mulia dan penuh berkat ini marilah kita membanyakkan ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W yang telah menyampaikan Islam kepada kita setelah melalui berbagai bentuk jihad dan pengorbanan. Tanda kasih kita kepada baginda dirakamkan melalui ucapan selawat dan salam sebagai mematuhi perintah Allah di dalam Al-Quran:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ سورة الأحزاب : ٥٦

(Maksudnya): “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya sentiasa berselawat ke atas Nabi, maka wahai yang orang-orang beriman ucapkan selawat dan salam ke atasnya dengan sesungguh-sungguhnya”.

اللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ، وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ، فِي الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ ، وَ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا ذُنُوْبَنَا وَذُنُوْبَ وَالِدِيْنَا وَارْحمْهُمْ كَمَا رَبَّوْنَا صِغَرًا. رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ.

اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الْإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَالْمُشْرِكِيْنَ ، وَالنِّفَاقَ وَالْمُنَافِقِيْنَ وَالظُّلْمَ وَالظَّالِمِيْنَ. اللهم إِنَّا نَجْعَلُكَ فِي أَعْدَآئِنَا وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شُرُوْرِهِمْ ، اللهم رُدَّ كَيْدَهُمْ فِي نُحُوْرِهِمْ. اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ.

اللهم انْصُرْ إِخْوِنَنَا الْمُجَاهِدِيْنَ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ فِى فَلَسْطِيْنَ ، وَفِى غَزَّةِ ، وَفِى سُورِيَا ، وَفِى الْعِرَاقِ ، وَفِى كَشْمِيْر ، وَفِى جَنُوْبِ تَايْلَنْد ، وَفِى كُلِّ مَكَانٍ. اللهم قَوِّ عَزَائِمَهُمْ ، وَاجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ ، وَثَبِّتْ أَقْدَاهُمْ ، وَانْصُرْهُمْ عَلَى أَعْدِائِهِمْ.

اللهم أَتِ أَنْفُسَنَا تَقْوَاهَا ، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا ، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا. اللهم أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ.

اللهم أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا ، وَأَئِمَّتَنَا وَوُلاَةَ أُمُوْرِنَا ، وَاجْعَلْ وِلاَيَتِنَا فِى مَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ. رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. وَصَلَّ اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمْ. وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ.


Teks asal khutbah Hari Raya Aidilfitri Presiden PAS 1440 Hijrah ini boleh dimuat turun dari sini : Edisi Jawi Edisi Rumi

No comments:

Post a Comment