Thursday, June 20, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 17 SYAWAL 1440 / 21 JUN 2019


BUDAYA ZIARAH SEMARAK UKHUWWAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾ (Surah Al-Hujurat : Ayat 10)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,


Saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan kaum muslimin sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. 

Sebelum meneruskan khutbah, saya berpesan kepada sidang jamaah agar menumpukan sepenuh perhatian, dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertaqwa. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk, "Budaya Ziarah Semarak Ukhuwwah".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Kita masih dilingkungi dengan kemeriahan bulan Syawal. Aidilfitri disambut dengan penuh kesyukuran tanpa mengira status sama ada miskin atau kaya, kanak-kanak atau dewasa. Kehangatan ini masih kita rasakan dengan amalan ziarah menziarahi dan kunjung mengunjung antara satu sama lain serta rumah terbuka di sana sini.

Budaya ziarah dan rumah terbuka mempunyai kelebihan yang sangat bermakna bagi umat Islam. Terutamanya dalam merapatkan ikatan ukhuwwah sesama Islam. Agama kita sangat menggalakkan umatnya agar sentiasa memperbaiki dan membina tautan silaturrahim sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hujurat ayat 10 yang dibacakan tadi:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾

Maksudnya: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Amalan ziarah juga mempunyai manfaat yang amat besar kepada perpaduan umat. Yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai dan sebagainya. Maka dengan amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang sesama insan, hormat menghormati, saling kenal mengenal dan faham memahami antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadits riwayat Imam Al-Bukhari:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah ia menyakiti jirannya, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Islam telah menggariskan beberapa adab ketika kita berkunjung ke rumah saudara kita. Antara adab yang perlu diberi perhatian sebagai tetamu adalah:

Pertama, tetamu mestilah berniat baik ketika ziarah. Jangan memilih-milih tempat seperti hanya hanya menziarahi tuan rumah yang memiliki harta dan kedudukan sahaja.

Kedua, semasa berkunjung hendaklah memilih waktu yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu dingin pagi, tengahari dan larut malam kerana kebiasaannya pada waktu itu tuan rumah ingin beristirehat.

Ketiga, sebagai tetamu kita perlu memohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi. Kita juga sangat digalakkan berjabat tangan dengan tuan rumah. Akan tetapi, amalan berjabat tangan ini mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam. Ianya tidak sama dengan budaya barat yang bebas bersalaman tidak mengira lelaki ataupun wanita yang bukan mahram kerana hal ini melanggar larangan Allah s.w.t.

Keempat, sebagai tetamu juga kita tidak boleh berbuat sesuka hati di rumah orang lain. Hendaklah kita menjaga mata, janganlah mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, mengangkat suara dan sebagainya.

Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dijaga oleh tuan rumah. Antaranya ialah menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan. Janganlah berlebihan hingga berlaku pembaziran, atau bermaksud untuk berbangga-bangga. Ketahuilah, bahawa amalan memuliakan tetamu adalah amalan para nabi dan rasul terdahulu.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Namun apa yang mendukacitakan kita hari ini, terdapat sebahagian umat Islam yang kurang memberikan perhatian terhadap amalan ziarah menziarahi. Mereka lebih gemar terperap di rumah menonton televisyen dan mengadap komputer, daripada keluar menziarahi sahabat handai dan jiran tetangga. Ramai anak muda sekarang pula sibuk dengan telefon pintar masing-masing, akibatnya mereka tidak melayan sanak saudara yang datang berziarah.

Sikap ini perlu diubah kerana ia menyalahi adab berziarah dan melayan tetamu serta menjejaskan suasana sambutan Aidilfitri. Tanpa amalan menziarahi dan berkunjung ke rumah saudara mara dan tetangga, bagaimana kita dapat mengenali mereka, lebih-lebih lagi dengan kekangan kerja yang sering membataskan masa kita.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama pada hari ini, marilah kita mengambil kesempatan di bulan Syawal yang mulia ini untuk mengamalkan budaya ziarah menziarahi. Didiklah anak-anak kita adab-adab berziarah supaya mereka menjadi insan yang berperibadi tinggi dan berakhlak mulia.

Sesungguhnya amalan ziarah adalah salah satu usaha murni untuk menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w. Jika pada bulan-bulan lain kita tiada kesempatan kerana sibuk bekerja, maka di kesempatan inilah kita dapat menjalin semula keakraban dengan jiran tetangga, sahabat handai dan rakan taulan. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾

Maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar juga menyeru agar kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sempena bulan Syawal yang mulia ini, mimbar ingin berpesan agar kita meneruskan amalan-amalan soleh yang telah kita usahakan sebelum ini di dalam bulan Ramadan. Solat berjamaah di masjid, membaca Al-Quran serta tadabbur ayat-ayat Allah, berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal, bersedekah, memberi makan serta pelbagai amalan kebaikan yang lain. Jadikanlah Ramadan sebagai pemangkin, Syawal sebagai penerus amalan secara istiqamah.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر، وَفِي الْيَمَنْ، وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan iabadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment