Thursday, June 13, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 10 SYAWAL 1440 / 14 JUN 2019


MATLAMAT HIDUP MANUSIA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ﴿٥٦﴾ (Surah Az-Zariyat : Ayat 56)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,


Saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan kaum muslimin sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. 

Sebelum meneruskan khutbah, saya berpesan kepada sidang jamaah agar menumpukan sepenuh perhatian, dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertaqwa. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk, "Matlamat Hidup Manusia".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Setiap kejadian dan ciptaan Allah s.w.t ada tujuan dan matlamatnya. Batu batan ada tujuan dan matlamatnya. Haiwan dan tumbuh-tumbuhan ada tujuan dan matlamatnya, Begitu juga dengan manusia, ada tujuan dan matlamatnya. Iaitu sebagai hamba Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam. Ini selari dengan ayat Al-Quran yang dibacakan di awal tadi:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ﴿٥٦﴾

Maksudnya: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku". (Surah Az-Zariyat : Ayat 56)

Pada ayat ini Allah s.w.t menyatakan bahawa penyembahan kepada-Nya bukanlah seperti orang-orang kafir menyembah berhala, tetapi pengabdian sebenar adalah manusia menjadi hamba yang beriman dan bertaqwa kepada-Nya, melakukan apa sahaja yang diperintahkan dan menjauhi apa sahaja yang dilarang oleh Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Manusia dari segi jasadnya adalah makhluk yang lemah. Umur tidak terlalu panjang. Malah asal kejadian manusia juga dari benda yang lemah, iaitu tanah. Tetapi, Allah telah memuliakan manusia dengan menjadikan kita khalifah. Ini dapat diperhatikan bahawa semua makhluk yang berada di alam ini berkhidmat untuk kesejahteraan manusia.

Contohnya hujan yang turun, matahari yang menyinari bumi, semuanya menyuburkan tanah dan menghidupkan tumbuhan. Tumbuh-tumbuhan pula berkhidmat untuk binatang-binatang. Manakala binatang yang halal dimakan boleh berkhidmat sebagai makanan untuk manusia.

Untuk itu, manusia sewajarnya sedar akan perkara-perkara ini, bahawa kita seharusnya berkhidmat kepada Allah s.w.t sebagai hamba-Nya yang diberikan tanggungjawab sebagai khalifah. Perlantikan ini disebut oleh Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 30:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ... ﴿٣٠﴾

Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi...". 

Kaum muslimin yang dimuliakan Allah,

Dalam hal ini, untuk menjalankan tugas sebagai hamba Allah dan khalifah, tugas ini hanya dapat dilakukan oleh kita sekiranya kita betul-betul mengenal Allah dengan sebenar-benarnya. Mengenal Allah bukanlah bermakna perlu mengenal hakikat zat Allah, tetapi kita mengenal Allah dengan memikirkan ciptaan-Nya yang Maha Hebat, semua kejadiannya dan keajaibannya alam semesta yang terbentang luas di depan mata kita. Firman Allah s.w.t dalam Surah Az-Zariyat ayat 20 hingga 21:

وَفِي الْأَرْضِ آيَاتٌ لِّلْمُوقِنِينَ ﴿٢٠﴾ وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ أَفَلَا تُبْصِرُونَ ﴿٢١﴾

Maksudnya: "Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin, dan juga pada diri kamu sendiri, maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?"

Kegagalan kita mengenal Allah boleh menyebabkan kita alpa dan lalai daripada menjalankan tugas sebagai hamba Allah. Apabila urusan Allah diabaikan, kita akan mula mengambil mudah hal-hal ibadah serta hubungan dengan Allah. Solat tidak lagi dianggap penting, zakat tidak ditunaikan, puasa Ramadan dianggap menyusahkan, malah Al-Quran juga semakin diabaikan dan tidak dibaca setiap hari. Golongan sebegini diumpamakan lebih rendah daripada binatang ternak, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-A'raf ayat 179:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ ﴿١٧٩﴾

Maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai".

Ingatlah sidang hadirin sekalian, Allah menciptakan manusia untuk kita mengenal-Nya dengan sebenar-benarnya. Apabila kita benar-benar mengenal Allah, maka di sinilah akan wujudnya kemanisan dalam beribadah, rasa cinta dan rindu kepada Allah. Orang yang sudah wujud rasa cinta dan rindu kepada Allah, ibadahnya pasti akan lebih berkesan, solatnya sentiasa khusyuk, sujudnya adalah semata-mata kerana Allah, bukan kerana yang lain.

Ibadah yang dilakukan dengan penuh ikhlas, khusyuk dan bersungguh-sungguh, maka inilah ibadah yang akan mengimarahkan bumi Allah. Ibadah yang dilaksanakan dengan penuh amanah, tanpa perasaan riya' atau mengungkit, boleh menjadikan imannya sentiasa meningkat, malah melebihi iman para malaikat. Ibadah yang dikerjakan bersungguh-sungguh semata-mata kerana Allah tanpa mahu mengharap apa-apa balasan, memiliki nilai yang tinggi di sisi Allah.

Sesungguhnya kehidupan dunia yang kita lalui hanyalah sementara, akhirat jualah tenpat yang kekal selama-lamanya. Dalam perjalanan yang sementara ini, hendaklah kita pastikan kehidupan kita ini benar-benar memenuhi tuntutan syariat Islamiyah. Mudah-mudahan, usaha kita untuk mengenal Allah dapat menjadikan kita hamba dan khalifah yang benar-benar beriman.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama minggu ini, mimbar menyeru marilah kita merenung dan menghayati firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baiyyinah ayat 7 hingga 8:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَٰئِكَ هُمْ خَيْرُ الْبَرِيَّةِ ﴿٧﴾  جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ ﴿٨﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar juga menyeru agar kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sempena bulan Syawal yang mulia ini, mimbar ingin berpesan agar kita meneruskan amalan-amalan soleh yang telah kita usahakan sebelum ini di dalam bulan Ramadan. Solat berjamaah di masjid, membaca Al-Quran serta tadabbur ayat-ayat Allah, berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal, bersedekah, memberi makan serta pelbagai amalan kebaikan yang lain. Jadikanlah Ramadan sebagai pemangkin, Syawal sebagai penerus amalan secara istiqamah.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر، وَفِي الْيَمَنْ، وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan iabadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment