Friday, August 2, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 1 ZULHIJJAH 1440 / 2 OGOS 2019


LAYAKKAH KITA MENJADI PENGIKUT NABI IBRAHIM?

ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ الْوَاحِدِ الْأَحَدِ، الْفَرْدِ الصَّمَدِ، الَّذِى لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُن لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan di dunia dan akhirat adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
۞ وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ ﴿١٢٤﴾ [سورة البقرة : ١٢٤]

(Maksudnya): "Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji oleh Tuhan-nya dengan beberapa kalimah (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia". Ibrahim berkata: "(Dan saya memohon juga) dari keturunanku". Allah berfirman: "Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang yang zalim."

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Hari ini umat Islam yang datang berduyun-duyun daripada seluruh pelusuk dunia sedang berhimpun di Makkatul Mukarramah untuk menunaikan ibadat haji bagi menyahut seruan Nabi Ibrahim a.s yang dilaungkan ribuan tahun yang lalu. Nabi Ibrahim ialah Abul Anbiyak (bapa nabi-nabi selepasnya) 'alaihimus solatuwas salam yang disanjung oleh penganut semua agama, bukan sahaja penganut Islam, tetapi termasuk juga agama ahli kitab (yahudi dan kristian) dan juga termasuk agama musyrikin penyembah berhala. Semuanya memuja dan berbangga dengan Nabi Ibrahim a.s.

Allah s.w.t memberi peringatan itu tidak ada erti dan makna sedikit pun sekiranya tidak mengikut langkah Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s mendapat sanjungan Allah s.w.t dan dimuliakan Allah s.w.t serta dijadikan imam (pemimpin) contoh kepada seluruh manusia kerana kepatuhan kepada Allah s.w.t menegakkan akidah, syariat dan akhlak, bertuhan kepada Allah s.w.t, menolak semua tuhan-tuhan yang lain daripada Allah s.w.t yang dilantik oleh orang-orang musyrikin.

Mereka tunduk kepada syariat Allah dan berperangai dengan akhlak yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. Mereka sanggup menghadapi ujian kerana taat kepada Allah s.w.t, patuh kepada ajaran-Nya, menghadapi Raja Namrudz yang merupakan kuasa besar dunia yang memerintah kerajaan Babylon di zamannya. Nabi Ibrahim berdepan seorang diri menghadapi raja yang kafir dan syirik yang didukung oleh rakyatnya dengan harta kemewahan. Nabi Ibrahim tidak tunduk kepada syirik dan tidak tunduk kepada ajaran yang sesat dalam akidahnya sehingga dihukum bakar di dalam api yang dinyalakan dengan sebesar-besarnya.

Apabila malaikat datang menemui Nabi Ibrahim a.s menawarkan pertolongan Allah s.w.t untuk membinasakan Raja Namrudz dan bala tenteranya itu, Nabi Ibrahim menunjukkan kesetiaan kepada Allah dengan s.w.t dengan hati yang ikhlas.

حَسْبِىَ اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيل.

(Maksudnya): "Cukuplah Allah sebagai Pelindung dan Penolong".

Nabi Ibrahim tidak mengharapkan pertolongan malaikat, tetapi bergantung kepada Tuhan Yang Satu.

Nabi Ibrahim dimuliakan oleh Allah s.w.t. Pada malam Israk dan Mikraj, ditemukan dengan Rasulullah s.a.w di langit yang ketujuh berhampiran Baitul Makmur yang paling hampir dengan syurga.

Kesetiaannya kepada Allah s.w.t menegakkan agama tauhid menyebabkan baginda dihalau daripada tanahairnya dan berhijrah ke Palestin. Maka mereka yang syirik (menyengutukan Allah s.w.t) melantik tuhan-tuhan yang lain tidak layak berbangga dengan Nabi Ibrahim a.s.

Nabi Ibrahim a.s sanggup menunaikan apa sahaja perintah Allah s.w.t, termasuk diuji menghantar puteranya Ismail yang baru dilahirkan di bumi Makkah yang kering kontang - وَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ - (lembah yang tidak ada tanaman dan tidak ada air) yang tidak sanggup didiami oleh binatang-binatang yang buas apatah lagi manusia. Nabi Ibrahim menunaikan perintah Allah s.w.t dengan tidak menyoal di mana rezekinya, di mana airnya dan di mana keselamatannya kerana percaya kepada ketuhanan Allah s.w.t.

Daripada zuriatnya dilahirkan nabi akhir zaman, Muhammad s.a.w. Daripada bumi yang kering ini dilimpahkan rezeki yang datang daripada seluruh pelusuk dunia dengan cara yang menakjubkan. Maka sesiapa yang tidak sanggup menegakkan syariat Allah s.w.t kerana takut lapar, takut mundur dan takut susah dalam kehidupan dunia tidak layak berbangga dengan Nabi Ibrahim a.s. Mereka yang menjunjung tinggi peraturan-peraturan ciptaan manusia menggantikan syariat Allah s.w.t tidak layak menjadi pengikut Nabi Ibrahim a.s.

Allah s.w.t bertanya:

أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُم مِّنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَن بِهِ اللَّهُ ۚ...  ﴿٢١﴾ [سورة الشورى : ٢١]

(Maksudnya): "Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah?".

Kita menyaksikan betapa ramainya mereka yang menjunjung pemimpin-pemimpin dan para bijak pandai yang dianggap boleh mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah s.w.t, seolah-olah tidak percaya kepada kebijaksanaan ilmu dan kebesaran Allah s.w.t. Allah s.w.t tidak mengongkong manusia dan tidak mengepung fikiran mereka. Mereka diberi akal. Ada perkara yang mampu oleh akal manusia dan ada perkara yang tidak mampu oleh akal manusia. Perkara yang tidak mampu inilah yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t.

Apabila manusia mengadakan peraturan sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah s.w.t bermakna mereka merosak dan memusnahkan diri mereka sendiri, bukan sahaja derhaka melawan Allah s.w.t. Begitulah juga mereka yang tidak berakhlak dengan akhlak Islam, akhlak yang mulia yang diajar oleh nabi-nabi 'alaihimus solatuwas salam dan zuriat Nabi Ibrahim a.s, tidak layak memuliakan Nabi Ibrahim a.s.

Marilah kita mendengar firman Allah Ta'ala:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفْسَهُ ۚ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ ﴿١٣٠﴾ إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ ﴿١٣١﴾ وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٣٢﴾ [سورة البقرة : ١٣٢ - ١٣٠]

(Maksudnya): "Dan tidak ada yang benci kepada agama Ibrahim, melainkan orang yang memperbodohkan dirinnya sendiri, dan sesungguhnya Kami telah memilihnya di dunia dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh. Ketika Tuhannya berfirman; Tunduk patuhlah. Ibrahim menjawab; Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam. Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapannya itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'akub. (Ibrahim berkata); Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment