Friday, August 16, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 15 ZULHIJJAH 1440 / 16 OGOS 2019


KESELAMATAN NEGARA, TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ  الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا. 
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ۚ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٥٣﴾

Maksudnya: "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa". (Surah Al-An'aam ayat 153)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, minbar juga berpesan agar jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia dan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk; "Keselamatan Negara, Tanggungjawab Bersama".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Perubahan wacana keselamatan negara, berlaku dengan berakhirnya ancaman komunis pada tahun 1990. Ia susulan tamatnya perang dingin pada tahun 1989. Suatu ketika, keselamatan negara merujuk kepada keselamatan sempadan, kedaulatan dan ketenteraan. Kini, ia beralih kepada ancaman keselamatan merangkumi hubungan antarabangsa serta bukan ketenteraan. Justeru itu, pelbagai isu dalam negara mula mendapat perhatian. Ancaman pengedaran dan penyalah gunaan dadah, pendatang asing tanpa izin, jenayah terancang merentasi sempadan, penyakit berjangkit, pencemaran alam sekitar, kemiskinan, perdagangan manusia dan sebagainya, dilihat mampu mengancam keselamatan negara.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Menelusuri sejarah, Islam telah mencatatkan bahawa Nabi Ibrahim a.s pernah bermunajat kepada Allah s.w.t agar bumi Makkah dikurniakan dengan keamanan dan kemakmuran. Peristiwa ini berlaku ketika pembukaan kota Makkah sebagai pusat ibadah dan tanah suci, sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah ayat 126:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُم بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ قَالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَىٰ عَذَابِ النَّارِ ۖ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ ﴿١٢٦﴾

Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:" (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Malaysia berhadapan dengan pelbagai isu keselamatan dan ancaman. Aspek penjajahan, proses kemerdekaan, kedudukan strategik negara di Asia Tenggara dan pembinaan masyarakat adalah aspek terpenting dalam memahami sejarah ancaman dan keselamatan negara. Dengan jumlah penduduk lebih 32 juta orang, keupayaan Malaysia mengharungi pelbagai ancaman luaran dan dalaman amat dikagumi negara lain. Bukanlah mudah bagi sebuah negara berbilang bangsa yang telah dijajah beratus tahun lamanya, untuk membentuk sebuah kesatuan yang stabil dan makmur. Namun Malaysia telah membuntikan sebaliknya.

Cabaran utama pada awal kemerdekaan adalah menyatu padukan rakyat yang berbilang bangsa. Struktur politik dan sosial Malaysia bersandarkan kepada kaum terbesar iaitu melayu, di samping kaum cina dan india. Begitu juga halnya dalam pembentukan Malaysia, pengaruh dan dominasi kumpulan etnik seperti iban dan kadazan serta lain-lainnya turut diambil kira. Dengan asas keselamatan dan kemakmuran ini, kita dapat melakukan urusan kehidupan tanpa rasa takut dan bimbang, malah juga membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada rakyat dan negara.

Namun adakah kita terfikir, bagaimanakah keselamatan dan kemakmuran ini dapat terus terpelihara? Suasana aman, selamat dan makmur yang dinikmati seluruh masyarakat ketika ini, sebahagian besarnya datang dari usaha dan pengorbanan semua agensi keselamatan dan pihak berkuasa awam. Ia juga melibatkan usaha-usaha berterusan pihak kerajaan dalam menguruskan isu-isu yang berpotensi membawa kepada ancaman keselamatan negara.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Banyak kerajaan besar yang dahulunya berjaya, telah hilang dari peta dunia. Contohnya kerajaan Srivijaya, Majapahit, Jerman Timur, kerajaan Uthmaniah dan Yugoslavia. Ini menunjukkan, tiada jaminan untuk sesebuah negara itu berkekalan, sekiranya keselamatan dan kemakmurannya tidak dipelihara.

Justeru itu, kerajaan menetapkan sambutan Bulan Keselamatan Negara di sepanjang bulan Ogos ini, dengan tema, "Keselamatan Negara, Kemakmuran Bersama". Adalah diharapkan ia dapat menarik dan mengajak rakyat Malaysia memiliki rasa prihatin dan kesedaran yang tinggi. Apabila rakyat terlibat secara menyeluruh, ia dapat mewujudkan pengurusan keselamatan yang bersepadu, berkesan dan secara tidak langsung, dapat menyuburkan semangat cintakan negara dan menyumbang kepada kemakmuran bersama. Firman Allah s.w.t da;am Surah Al-Maidah ayat 2:

... وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَ‌ٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ ﴿٢﴾

Maksudnya: "...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membangunkan negara dan masyarakat. Negara juga tidak terkecuali berhadapan dengan pelbagai isu dan cabaran keselamatan melibatkan globalisasi, kemajuan teknologi maklumat serta komunikasi.

Justeru, sebagai anggotta masyarakat yang beriman lagi prihatin, kita perlu saling bekerjasama membanteras perkara-perkara yang tidak harmoni dan negatif dalam negara. Amalkan sikap prihatin atau sikap ambil peduli pada keadaan sekeliling kita. Dengan cara ini, insyaAllah, keselamatan dan kemakmuran akan sentiasa terpelihara. Dalam sebuah hadits daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: "Siapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari berbagai kesulitan-kesulitan dunia, nescaya Allah akan memudahkan kesulitannya di hari kiamat. Dan siapa yang memudahkan orang yang sedang dalam kesulitan, nescaya akan Allah mudahkan baginya di dunia dan akhirat. Dan siapa yang menutupi (aib) seorang muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya, selama mana hamba-Nya itu menolong saudaranya". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama bersatu mempertahankan keselamatan dan kemakmuran negara kita. Tingkatkan keimanan dan banyakkan tawakkal kepada Allah s.w.t. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas dan amanah mengikut ajaran Islam. Mengakhiri khutbah pertama ini, marilah kita hayati firman Allah s.w.t dalam Surah At-Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat di ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Di saat kita leka membeli-belah atau mengunjungi pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Musuh tidak pernah berehat dan berhenti menyerang Islam dan umatnya. Namun kita juga perlu bermuhasabah diri. Wujudnya perpecahan akibat tidak berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah, kejahilan tentang agama kita sendiri, terlalu mengkagumi budaya asing yang bercanggah dengan Islam, adakah semua kelemahan ini menjadi punca kepada berlakunya penghinaan terhadap agama dan Nabi kita?

Ingatlah, kemakmuran negara serta rakyat yang bersatu padu, merupakan pemangkin kepada keselamatan dan keamanan negara. Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah mengamalkan cara hidup harmoni dalam kehidupan. Setiap kita berperanan menjaga keamanan negara bersama, kerana inilah negara tanahair kita.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment