Friday, August 30, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 29 ZULHIJJAH 1440 / 30 OGOS 2019


NEGARA RAHMAH UMMAH SEJAHTERA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ ﴿١٥﴾ (Surah Saba' : Ayat 15)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Pada hari Jumaat yang mulia ini saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, dan hendaklah kita sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang Allah s.w.t kurniakan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Salah satu rahmat yang diberikan Allah s.w.t kepada kita adalah nikmat kemerdekaan. Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia kali yang ke - 62 ini, khatib ingin mengajak sidang jamaah sekalian untuk menghayati khutbah bertajuk, "Negara Rahmah Ummah Sejahtera".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kemerdekaan adalah kebebasan dari cengkaman penjajah dalam semua aspek, sama ada secara fizikal ataupun pemikiran. Kita amat bersyukur kerana Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 62 tahun. Namun, kita hendaklah bermuhasabah diri dengan menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan negara setiap tahun sebagai titik tolak untuk menilai apa yang telah kita lakukan bagi mengisi dan memberi makna yang jelas kepada nikmat kemerdekaan.

Persoalannya, sejauh manakah perancangan yang kita lakukan bagi memperkukuhkan pembinaan sebuah negara rahmah, negara yang masyarakatnya hidup dalam keadaan ramah, aman, harmoni, mesra dan hormat-menghormati yang akhirnya menatijahkan masyarakat yang aman sejahtera. Pastinya masih banyak peranan yang boleh kita berikan bersama-sama bagi terus membina negara yang cemerlang dan memberi makna jelas kepada kemerdekaan negara dan rakyat. Firman Allah s.w.t dalam Surah Saba' ayat 15:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ ﴿١٥﴾

Maksudnya: "Demi sesungguhnya bagi penduduk negeri Saba', satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (qaryah mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Suatu ungkapan yang menggambarkan kemerdekaan jiwa yang dimiliki oleh seorang muslim telah diucapkan oleh sahabat Nabi s.a.w bernama Saiyidina Rob'ie bin 'Amir r.a ketika ditanyakan tujuan kehadirannya ke bumi Parsi. Sebuah kisah yang masyhur, pertemuan bersejarah Rob'ie bin 'Amir r.a dengan panglima tentera Parsi bernama Rustum telah membawa sebuah slogan kemerdekaan serta kebebasan yang sebenar menurut Islam. Beliau menyatakan:

"Allah s.w.t telah mengutuskan kami untuk membebaskan manusia daripada pengabdian sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah semata-mata, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat".

Beliau tidak merasa rendah di hadapan para pemuja harta, juga tidak merasa hina berhadapan dengan para penguasa, kerana memiliki jiwa merdeka berdasarkan tarbiah Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Menyelusuri Surah Al-Kahfi, kita dapat memahami makna kemerdekaan dalam erti kata sebenar, beberapa kisah yang dinyatakan dalam Surah ini menggambarkan kepada kita tentang erti merdeka.

Pertama: Kisah Ashabul Kahfi menggambarkan kemerdekaan bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah s.w.t. Lantaran itu, Islam datang menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan. Kisah 7 pemuda yang menyelamatkan diri mereka dari raja yang zalim dan tetap berpegang teguh dengan akidah yang benar itulah kemerdekaan iaitu memerdekakan diri dari kesesatan kepada cahaya keimanan.

Kedua: Kemerdekaan menurut Islam sebagai As-Salam (kesejahteraan, kedamaian dan keamanan), bagaimana hebatnya Zulqarnain memerintah negara dengan penuh bijaksana membawa rahmah kepada rakyatnya. Kisah yang berbicara tentang raja mulia yang menguasai ilmu dan kekuatan, ia mengelilingi dunia ini dan menebarkan kebaikan di muka bumi. Ia mampu membendung kejahatan Yakjuj dan Makjuj dengan mendirikan tembok kukuh. Kisah ini menggambarkan ujian kekuasaan, sehingga tidak sewenang-wenang berbuat aniaya dan membuat kerosakan di muka bumi. Pemerintahan yang menggambarkan penguasa yang tidak terfitnah dengan kekuasaan dan kekuatannya. Ia menggunakan anugerah Allah tersebut untuk mencari akhirat, dengan membuat kebaikan di muka bumi dan menolong manusia lemah sehingga wujudlah kesejahteraan, keselamatan, kedamaian dan keamanan.

Ketiga: Kisah pemilik kebun. Ia lupa dengan Pemberi nikmat. Sehingga melampaui batas. Ia tidak bersyukur lalu Allah menghancurkan segala nikmat tersebut sekelip mata, sehingga dia berada dalam penyesalan. Kisah ini menerangkan tentang bahaya fitnah dunia berupa harta dan anak. Firman Allah dalam Surah Al-Kahfi ayat 7:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
إِنَّا جَعَلْنَا مَا عَلَى الْأَرْضِ زِينَةً لَّهَا لِنَبْلُوَهُمْ أَيُّهُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ﴿٧﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami hendak menguji mereka, siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya".

Kemerdekaan sebenar ialah kita mampu menyelamatkan diri dari penyakit wahan iaitu hubbud duniya wa karohiyatul maut. Seorang sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, apakah penyakit Al-Wahan itu?" Rasulullah s.a.w menjawab: "Al-Wahan adalah penyakit cinta dunia dan takutkan mati". (Hadits riwayat Abu Daud)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kemerdekaan bukan bermakna kita bebas melakukan apa sahaja dalam hidup ini. Pengisian kemerdekaan hendaklah dilaksanakan mengikut acuan yang sebenar ke arah perpaduan, ukhuwwah dan kasih sayang. Rasulullah s.a.w apabila berhijrah ke Madinah telah mempersaudarakan antara golongan Muhajirin dan Ansar. Pada masa yang sama juga, Rasulullah s.a.w dengan bijaksananya turut mengadakan perjanjian kerjasama antara orang Islam dan bukan Islam.

Bertitik tolak dari sinilah, gagasan rahmatan lil 'alamin yang berteraskan maqasid syariah dan model Malaysia dilaksanakan sebagai satu gagasan baru kerajaan dalam mengurus tadbir negara menuju negara rahmah. Dalam gagasan ini, hubungan sesama manusia dengan tujuan saling memahami dan menghormati antara satu sama lain diberi perhatian dan penekanan. Penciptaan manusia dengan ciri-ciri dan watak yang berbeza dan terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan sudah tentulah berbeza dari segi cara hidup, adat dan budaya serta amalan keagamaan.

Oleh itu, bagi memastikan kemerdekaan dapat dikecapi selama-lamanya, kepelbagaian ini hendaklah berjalan di negara ini dengan murni dan penuh toleransi. Maka kita perlulah saling memahami kehendak dan kewajipan masing-masing. Allah Ta'ala berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾ 

Maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pendekatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang unik bagi mewujudkan kesatuan ummah dengan menyeru umat Islam mengukuhkan perpaduan dan persefahaman antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan contoh dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara dengan memperkukuhkan persefahaman dan perpaduan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan yang termeterai dalam Piagam Madinah. Abu Sufian r.a, ketika ditanya oleh Raja Herkulis, apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, beliau berkata:

"Sembahlah Allah yang Maha Esa, jangan mensyirikan-Nya, Islam adalah agama Tuhan, menyuruh kami melaksanakan solat, bersifat jujur, meninggalkan perbuatan buruk dan menyambung silatur rahim". (Hadits riwayat Muttafaqun 'alaih)

Berdasarkan kisah di atas, jelas bahawa amalan saling memahami dan menghormati adalah dasar terpenting untuk menangani isu kemasyarakatan dalam sesebuah negara.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kemerdekaan adalah suatu nikmat, dan usaha untuk mengekalkan perpaduan dan keharmonian adalah suatu tuntutan. Mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang menyeru kita sebagai umat Islam supaya:

Pertama: Mensyukuri nikmat kemerdekaan, keamanan dan kesejahteraan.

Kedua: Melaksanakan pengisian kemerdekaan mengikut acuan Islam ke arah perpaduan, ukhuwwah dan kasih sayang kepada negara.

Ketiga: Untuk mengekalkan keharmonian dan kemakmuran dalam masyarakat majmuk, kita hendaklah saling menghormati dan bersatu padu, serta berpegang teguh kepada ajaran Islam yang membawa rahmat ke seluruh alam.

Keempat: Hendaklah kita sentiasa bersyukur di atas segala nikmat Allah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, walaupun hidup kita tidak dilimpahi harta, walaupun kita sering melakukan dosa, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah dan kasih sayang Allah, di dunia dan di akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment