Friday, September 6, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 6 MUHARAM 1441 / 6 SEPTEMBER 2019


IKTIBAR DARIPADA PERISTIWA HIJRAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَٰئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٢١٨﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". (Surah Al-Baqarah ayat 128)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Saya berpesan kepada diri saya dan sidang jamaah sekalian, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.a.w, yakni dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Mimbar juga ingin berpesan kepada para jamaah sekalian, agar jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Sempena tahun baru 1441 hijrah, mimbar hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Iktibar Daripada Peristiwa Hijrah".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita baru sahaja memasuki bulan Muharam. Salah satu bulan yang mulia darjatnya. Dinamakan bulan Muharam, kerana Allah s.w.t mengharamkan peperangan dan konflik di dalamnya. Terdapat 4 bulan haram di dalam kalendar Islam, iaitu bulan Muharam, bulan Zulhijjah, bulan Zulqaedah dan bulan Rejab. Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Taubah ayat 36:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ... ﴿٣٦﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati".

Disebabkan kemuliaan inilah, Imam Fakhruddin Ar-Razi menyebutkan di dalam tafsirnya bahawa setiap perbuatan maksiat di bulan haram akan mendapat siksa yang lebih berat, dan begitu pula setiap perilaku ibadah kepada Allah akan dilipat gandakan pahalanya. Kata beliau:

وَمَعْنَى الْحَرَمِ: أَنَّ الْمَعْصِيَةَ فِيْهَا أَشَدُّ عِقَابًا، وَالطَّاعَةُ فِيْهَا أَكْثَرُ ثَوَابًا

Maksudnya: "Makna bulan haram adalah kemaksiatan di bulan itu memperoleh siksa yang lebih berat, dan ketaatan di bulan itu akan mendapat pahala yang lebih banyak". (Mafatihul Ghoib, juzuk 16 halaman 53)

Setiap kali tibanya bulan Muharam, kita akan membicarakan peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w dari kota Makkah ke kota Madinah. Mari kita sama-sama mengulang kaji sejarah penetapan kalendar Islam, yang diawali dengan 1 Muharam. Mengapakah para sahabat memilih bulan Muharam sebagai awal penetapan kalendar Islam? Ibnu Hajar Al-Asqolani berkata di dalam kitabnya Fathul Bari:

"Ada empat pendapat yang boleh dijadikan sebagai awal penetapan tarikh Islam, iaitu masa kelahiran Nabi, masa diutus Nabi, masa hijrahnya Nabi, dan masa wafatnya Nabi. Tetapi pendapat yang menjadikan masa kelahiran dan masa kenabian itu kedua-duanya tidak terlepas daripada pertentangan pendapat dalam menentukan tahunnya. Adapun waktu wafat nabi, ramai para sahabat tidak mahu ia dijadikan permulaan tahun kerana mengingati masa wafatnya nabi justeru menjadikan kesedihan bagi umat. Jadi pendapat seterusnya jatuh pada peristiwa hijrah. Dipilih bulan Muharam sebagai awal tahun kerana awal berhijrah itu ada di bulan Muharam, maka sesuailah awal bulan Muharam itu dijadikan awal tahun baru Islam".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Selain peristiwa hijrah bulan Muharam juga mengandungi ibadah yang istimewa iaitu puasa sunat hari 'Asyura. Umat Islam sangat dianjurkan berpuasa pada 10 Muharam kerana ia memiliki beberapa keutamaan. Imam At-Tirmidzi meriwayatkan sebuah hadits di dalam kitabnya Sunan At-Tirmidzi:

سَأَلَهُ رَجُلٌ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ شَهْرٍ تَأْمُرُنِي أَنْ أَصُومَ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ؟ قَالَ: إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ، فَصُمْ الْمُحَرَّمَ، فَإِنَّهُ شَهْرُ اللَّهِ، فِيهِ يَوْمٌ تَابَ فِيهِ عَلَى قَوْمٍ، وَيَتُوبُ فِيهِ عَلَى قَوْمٍ آخَرِينَ.

Maksudnya: "Seorang lelaki bertanya kepada Nabi; Ya Rasulullah, apakah bulan yang engkau perintahkan aku berpuasa selepas bulan Ramadan? Nabi bersabda; Jika kamu mahu berpuasa selepas bulan Ramadan, maka berpuasalah di bulan Muharam. Bulan Muharam adalah milik Allah, bulan itu Allah menerima taubat satu kaum dan menerima taubat kaum yang lainnya". (Hadits riwayat Imam At-Tirmidzi)

Selain itu, Ibnu Majah juga meriwayatkan sebuah hadits sahih di dalam kitabnya Sunan Ibnu Majah, bahawa barangsiapa yang berpuasa di hari 'Asyura akan dihapuskan kesalahannya setahun yang lalu, sebagaimana sabda Nabi s.a.w:

صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya: "Berpuasa di hari 'Asyura, sesungguhnya aku mengira bahawa Allah akan menghapuskan kesalahan setahun yang lalu". (Hadits riwayat Imam Ibnu Majah)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Dengan peristiwa hijrah, umat Islam mengalami pertukaran dan peralihan status; daripada umat yang lemah kepada umat yang kuat, daripada perpecahan kepada kesatuan, daripada siksaan mempertahankan agama kepada dakwah penyebaran Islam, daripada ketakutan kepada keberanian, daripada kegelapan kepada cahaya Islam.

Dengan adanya hijrah juga, maka berlakulah peristiwa-peristiwa yang lain, seperti perang Badar, Uhud, Khandaq, perjanjian Hudaibiah. Dan setelah 8 tahun berhijrah ke Madinah, Rasulullah s.a.w dan umat Islam kembali ke kota Makkah untuk membukanya dalam peristiwa yang dikenali sebagai Fathul Makkah.

Persoalannya, adakah peristiwa hijrah ini benar-benar kita teladani, atau hanya dijadikan bahan cerita sahaja setiap kali tibanya bulan Muharam? Inilah persoalan yang perlu kita tanyakan kepada diri sendiri, apakah ibrah atau pengajaran daripada peristiwa hijrah yang kita amalkan dalam kehidupan kita seharian?

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Ada 2 jenis hijrah di dalam Islam: Pertama, hijrah zahir berbentuk fizikal iaitu berpindah tempat tinggal. Dan kedua, hijrah jiwa atau rohani, iaitu berpindahnya keadaan jiwa ke arah yang lebih baik. Dalam konteks orang mukmin, hijrah jiwa bermakna meninggalkan perbuatan maksiat yang dilarang Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Maksudnya: "(Orang yang berhijrah) adalah orang yang meninggalkan segala larangan Allah". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Dari sudut pandang rohani, hijrah adalah perubahan dari keadaan lemah manusia disebabkan dosanya, menjadi kuat dan terus berjuang untuk menghindarinya.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Kedatangan tahun baru hijrah adalah peluang untuk kita memperbaiki diri. Sekiranya tahun lalu kita banyak melakukan dosa kepada Allah, pergantian tahun baru Islam diharapkan menjadi satu titik perubahan diri kita sebagai muslim. Mengakhiri khutbah pertama ini, mimbar mengajak sidang jamaah sekalian untuk menghayati kesimpulan daripada khutbah hari ini:

Pertama: Hijrah adalah satu ibadah kerana niat dan tujuannya adalah untuk kebaikan.

Kedua: Hijrah mestilah untuk kesatuan, dan bukan perpecahan.

Ketiga: Jika berkemampuan, berpuasalah pada 10 Muharam bersamaan hari Selasa minggu hadapan, kerana ganjaran pahalanya sangatlah besar, iaitu diampunkan dosa-dosa setahun yang lalu.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai penutup, marilah kita sama-sama menghayati kata-kata Syeikh Ibu 'Ato'illah As-Sakandari di dalam kitabnya, Al-Hikam:

لَا تَرْحَلْ مِنْ كَوْنٍ إِلَى كَوْنٍ فَتَكُوْنَ كَحِمَارِ الرَّحَى، يَسِيْرُ وَالْمَكَانُ الَّذِي ارْتَحَلَ إِلَيْهِ هُوَ الَّذِي ارْتَحَلَ عَنْهُ، وَلَكِنِ ارْحَلْ مِنَ الْأَكْوَانِ إِلَى الْمُكَوِّنِ (وَأَنَّ إِلَى رَبِّكَ الْمُنْتَهَى).

Maksudnya: "Janganlah engkau berpindah dari alam ke alam seperti kaldai penggiling, di mana tujuan yang sedang ditempuhi adalah titik mula ia berjalan, tetapi berpindahlah dari alam kepada Penciptanya, firman Allah; Hanya kepada Tuhanmu titik akhir tujuan".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita tetap berpegang kepada aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita zaman ini.

Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Mari kita makmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah dengan melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, walau hidup kita sempit tanpa limpahan harta, walaupun kita sering melakukan dosa, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah dan kasih sayang-Nya, di akhirat kelak.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Waktu terus mengalir tanpa henti. Tanpa disedari, kita sampai kepada pergantian tahun hijriah untuk ke sekian kalinya. Detik menuju minit, jam, hari, bulan, hingga tahun sentiasa bergerak menambah usia manusia. Yang perlu menjadi catatan adalah: Apakah bertambah pula keberkatan usia kita?

Pernahkah kita menghitung dosa-dosa kita, dan bersungguh-sungguh memohon keampunan Allah? Pernahkah kita menghitung nikmat-nikmat dalam hidup kita, mensyukurinya dan memanfaatkan ia untuk agama Allah? Inilah beberapa pertanyaan singkat, yang hanya boleh dijawab jika kita kembali merenung dengan jujur, jejak perjalanan hidup kita yang sudah lewat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment