Friday, September 27, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 27 MUHARAM 1441 / 27 SEPTEMBER 2019


MELAKAR RUMAH TANGGA ISLAMI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾

Maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir". (Surah Ar-Rum ayat 21)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa yakni dengan melaksanakan segala perintah Allah, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, mimbar ingin mengingatkan para jamaah agar jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita memperoleh keredaan Allah di dunia dan akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk; "Melakar Rumah Tangga Islami".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Allah s.w.t telah mensyariatkan pernikahan sebagai satu cara untuk meramaikan umat manusia, yang bersih dan terpelihara keturunannya. Pernikahan juga merupakan satu sunnah yang digalakkan oleh Islam. Firman Allah s.w.t:

۞ يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا ﴿١﴾

Maksudnya: "Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada Adam itu pasangannya (iaitu Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu". (Surah An-Nisa' ayat 1)

Perkahwinan juga merupakan satu cara untuk mengelakkan jenayah zina. Zina merupakan perbuatan yang keji dan membawa kerosakan nasab keturunan seperti dalam firman Allah s.w.t:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ﴿٣٢﴾

Maksudnya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)". (Surah Al-Israk ayat 32)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Allah s.w.t telah menjadikan perkahwinan sebagai satu jalan untuk pasangan suami isteri mewujudkan kasih sayang dan cinta mencintai sesama mereka. Allah s.w.t berfirman:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ﴿٢١﴾

Maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berfikir". (Surah Ar-Rum ayat 21)

Ayat ini jelas memberitahu kita bahawa perasaan kasih sayang terjalin antara suami isteri hasil perkahwinan yang sah akan membuat kita akur tentang kebesaran Allah s.w.t. Namun begitu, kasih sayang dan kebahagiaan hanya mampu diperolehi daripada sebuah perkahwinan yang berjaya. Sabda Rasulullah s.a.w:

أَرْبَعٌ مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ : أَنْ تَكُوْنَ زَوْجَتُهُ صَالِحَةً وَأَوْلَادُهُ أَبْرَارًا وَخُلَطَائُهُ صَالِحِينَ وَأَنْ يَكُوْنَ رِزْقُهُ بَلَدِهِ.

Maksudnya: "Empat perkara yang termasuk kebahagiaan seseorang; isteri yang solehah, anak-anak yang baik, sahabat pergaulan yang soleh dan sumber rezekinya berada dalam negerinya sendiri". (Hadits riwayat Ad-Dailami)

Dengan ikatan perkahwinan, setiap pasangan mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain, sama ada dari sudut kebendaan, kejiwaan dan kekeluargaan. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran:

... وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٢٢٨﴾

Maksudnya: "... Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dan orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". (Surah Al-Baqarah ayat 228)

Tanggungjawab isteri terhadap suaminya dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadits:

حَقُّ الزَّوْجِ عَلَى الْمَرْأَةِ ، أَنْ لا تَهْجُرَ فِرَاشَهُ ، وَأَنْ تَبَرَّ قَسَمَهُ ، وَأَنْ تُطِيعَ أَمْرَهُ ، وَأَنْ لا تَخْرُجَ إِلا بِإِذْنِهِ ، وَأَنْ لا تُدْخِلَ إِلَيْهِ مَنْ يَكْرَهُ.

Maksudnya: "Hak seorang suami ke atas isterinya ialah isteri tidak meninggalkan tempat tidur suaminya, hendaklah bersikap sabar dengan sumpah suami, taat pada perintah suami, tidak keluar rumah kecuali dengan izin suami dan tidak membenarkan orang yang dibenci oleh suami masuk ke dalam rumah". (Hadits riwayat At-Tabrani)

Manakala tanggungjawab suami terhadap isteri pula telah telah dijelaskan dengan sabda baginda s.a.w:

مَا حَقُّ الْمَرْأَةِ عَلَى الزَّوْجِ؟ قَالَ أَنْ يُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمَ وَأَنْ يَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَى وَلَا يَضْرِبْ الْوَجْهَ وَلَا يُقَبِّحْ وَلَا يَهْجُرْ إِلَّا فِي الْبَيْتِ.

Maksudnya: "Apakah hak seorang isteri ke atas suaminya? Rasulullah s.a.w menjawab: Memberi makan bila mana kamu makan, memberi pakaian bila mana kamu berpakaian, tidak memukul muka, tidak menghina dan tidak meninggalkannya melainkan di rumah tempat kediaman". (Hadits riwayat Ibnu Majah)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Suami isteri hendaklah memelihara kerukunan rumah tangga dan menjaga ikatan tali perkahwinan agar ia berkekalan dengan mengelakkan daripada melakukan perkara-perkara yang merosakkan hubungan suami isteri. Dengan itu dapatlah diringkaskan tanggungjawab suami adalah seperti berikut:

1. Suami bertanggungjawab menyediakan nafkah seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut kemampuannya.
2. Memberikan didikan agama, mewajibkan dan mengizinkan isterinya memperolehi ilmu-ilmu tersebut dari orang lain sekiranya dia tidak mampu.
3. Memberikan peluang kepada isteri untuk memperoleh ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan rumah tangga.
4. Menjalinkan hubungan yang baik dengan ibu bapa dan keluarga isteri dengan cara yang saksama.
5. Tidak menyakiti isterinya dari segi mental dan fizikal.
6. Menjaga maruah diri dan isteri.

Manakala tanggungjawab isteri pula ialah:

1. Mentaati suami selagi tidak bertentangan dengan syarak.
2. Berusaha mempertingkat keterampilan diri dari sudut fizikal dan ilmu pengetahuan.
3. Menghormati kedua ibu bapa mertua dan semua ahli keluarga pihak suami dan sesiapa yang disukai suami.
4. Menjaga maruah diri dan suami.
5. Menjaga dan mendidik anak dengan sempurna dan pandai menyesuaikan diri dalam masyarakat.
6. Tidak menyakiti hati suami.

Kesemua tanggungjawab yang disebut tadi hendaklah dilaksanakan oleh suami dan isteri. Ia adalah satu amanah yang akan dipersoalkan di akhirat nanti. Mengakhiri khutbah pertama hari ini, marilah kita bersama-sama memastikan bahawa diri dan keluarga kita terpelihara daripada siksa neraka. Allah s.w.t mengingatkan kita di dalam Surah At-Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan dan kasih sayang Allah, di dunia dan akhirat.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Bagi memudahkan perjalanan melakar rumah tangga Islami, di sini terdapat berita baik kepada mana-mana pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. Pihak masjid Sultan Idris Shah 2 (Masjid Negeri Perak, Ipoh) bakal menganjurkan Majlis Nikah Jama'ie Syar'ie pada 30 November 2019. Majlis ini terbuka kepada semua individu, baik yang bujang mahupun yang sudah berkahwin. Dengan yuran penyertaan serendah RM2000, penganjuran Majlis Nikah Jama'ie Syar'ie ini bakal meringankan beban pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga dalam suasana penuh berkah dan diredai Allah. Bagi rakyat negeri Perak yang ingin mendaftar, sila hubungi pihak Pentadbiran Masjid Negeri Perak, Ipoh di laman Facebook, atau di talian 05-2548853 sebelum tarikh tutup penyertaan pada 30 Oktober 2019.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment