Friday, September 20, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 21 MUHARAM 1441 / 21 SEPTEMBER 2019


PAHLAWAN: PENGORBANAN YANG TIADA GALANG GANTI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: "Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. ". (Surah At-Taubah ayat 41)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,


Bertaqwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, dengan melaksanakan segala yang diperintahkan dan meninggalkan seluruh larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperoleh keberkatan dan keredaan serta perlindungan Allah s.w.t di dunia dan akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk; "Pahlawan: Pengorbanan Yang Tiada Galang Ganti".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Dengan kemajuan dan kemakmuran negara yang dikecapi hari ini, ramai yang tidak sedar akan perjuangan para perajurit melindungi negara daripada ancaman musuh. Meskipun sebahagian besar daripada generasi kita hari ini tidak pernah menempuh zaman penjajahan dan darurat, kesegiaan anggota keselamatan yang sedia berkhidmat menjaga keamanan di darat, udara dan perairan negara, harus terus dikenang dan disanjung sampai bila-bila.

Masyarakat khususnya generasi muda perlu menyelami dan mengambil iktibar keberanian dan semangat keperwiraan yang ditunjukkan golongan perajurit yang sentiasa di barisan hadapan mempertahankan negara pada masa dahulu. Sama ada mereka masih hidup atau telah meninggal dunia, para pahlawan ini telah meninggalkan nama, jasa dan pengorbanan untuk kita kenang selamanya. Pemergian mereka merupakan kehilangan yang cukup dirasai dan tiada galang gantinya. Jasa mereka tidak sewajarnya dilupakan, kerana apa yang kita kecapi hari ini adalah hasil pengorbanan mereka memastikan negara dalam keadaan aman dan sejahtera.

Justeru, pada tanggal 31 Julai setiap tahun, kita akan menyambut Hari Pahlawan bagi memperingati jasa dan pengorbanan pahlawan negara. Mereka terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan serta individu yang secara bersama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara dari ancaman musuh. Ia adalah tugas yang amat mulia dan dituntut oleh syarak dalam menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ali-'Imran ayat 146:


وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ ﴿١٤٦﴾

Maksudnya: "Dan berapa banyak dari nabi-nabi (terdahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar".

Sesungguhnya para pahlawan negara telah menunjukkan kehebatan mereka sejak dahulu lagi. Sebagai contoh, mereka berjaya mempertahankan negara daripada pencerobohan tentera Jepun  sewaktu perang dunia kedua dan sewaktu zaman darurat antara tahun 1948 hingga 1960. Bukan itu sahaja, para pahlawan kita juga telah menjadi tentera pengaman di pelbagai negara seperti di Bosnia, Somalia, Iraq dan lain-lain.

Dalam sejarah Islam, terdapat ramai pahlawan Islam yang bersemangat waja, kuat dan terbilang. Di antaranya Saiyidina Hamzah bin Abdul Muttalib, Khalid bin Al-Walid, Tariq bin Ziyad, Solahuddin Al-Ayyubi dan lain-lain lagi. Manakala di tanahair kita pula, tokoh-tokoh seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Mat Salleh, Datuk Onn Jaafar dan sebagainya, diangkat sebagai pahlawan kerana mereka menentang penjajahan barat ke atas tanahair tercinta. Berjihad dan berkorban jiwa untuk mempertahankan negara adalah sifat mulia yang disanjung tinggi dalam Islam. Kerana itulah, Islam telah meletakkan kedudukan yang tinggi bagi mereka yang berjuang semata-mata kerana Allah, dan tidak didasari sifat kebendaan dan keuntungan dunia. Ini sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 193:

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ ۖ فَإِنِ انتَهَوْا فَلَا عُدْوَانَ إِلَّا عَلَى الظَّالِمِينَ ﴿١٩٣﴾

Maksudnya: "Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Islam mengiktiraf para pahlawan tanahair sebagai mujahid agama, bangsa dan negara. Oleh itu para pahlawan hendaklah meletakkan setiap langkah dan gerak laku mereka sebagai amalan yang ikhlas dan penuh tanggungjawab, agar mereka mendapat penghormatan semasa hidup di dunia, dan anugerah yang besar daripada Allah s.w.t di akhirat kelak.

Perjuangan para pahlawan mempertahankan negara adalah satu tugas yang sangat mulia, kerana perjuangan mereka dipenuhi pelbagai dugaan. Lihatlah perjuangan Rasulullah s.a.w dan para sahabat radiAllahu 'anhum ajma'in. Mereka telah menempuh segala cabaran dan rintangan sehingga kuasa-kuasa besar pada masa itu tunduk di bawah kekuasaan Islam. Kejayaan mereka adalah berdasarkan tiga faktor utama. Pertama, segala kejayaan dan kecemerlangan mereka adalah hasil pertolongan Allah s.w.t. Kedua, sifat berdisiplin, amanah, jujur dan ikhlas merupakan kunci kejayaan mereka di dalam setiap perjuangan. Dan yang ketiga, sikap sentiasa mematuhi perintah Allah dalam setiap keadaan sama ada ketika senang atau susah.

Di samping menyediakan kekuatan dalaman atau kerohanian, kita juga diperintahkan mempersiapkan kekuatan dari sudut luaran atau fizikal bagi menghadapi sebarang ancaman musuh, sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Anfal ayat 60:


وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٦٠﴾

Maksudnya: "Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya".

Ayat Al-Quran ini memberikan panduan kepada umat Islam agar sentiasa bersiap sedia dalam apa jua keadaan, bagi menghadapi pelbagai bentuk ancaman dari pihak musuh, dengan mempersiapkan segala bentuk kekuatan, baik di bidang keselamatan, ekonomi, pendidikan, keagamaan sehinggalah kekuatan perpaduan. Bahkan tanpa perpaduan tidak akan lahir kekuatan. Tanpa kekuatan masakan pejuang dan pahlawan silam mampu meraih kejayaan dan kemenangan. Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadits Qudsi daripada Saiyidina 'Abdullah bin 'Umar radiAllahu 'anhuma:


أَيُّمَا عَبْدٍ مِنْ عِبَادِي يَخْرُجُ مُجَاهِدًا فِي سَبِيْلِي ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِي ضَمِنْتُ لَهُ أَنْ أُرْجِعَهُ - إِنْ رَجَعْتُهُ - بِمَا أَصَابَ مِنْ أَجْرٍ أَوْ غَنِمَةٍ وَإِنْ قَبَضْتُهُ أَنْ أَغْفِرَلَهُ وَأَرْحَمَهُ وَأُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ.

Maksudnya: "Mana-mana hamba-Ku yang berjihad di jalan-Ku kerana mengharapkan keredaan-Ku, maka Aku jamin untuk mengembalikannya (jika ia Aku kembalikan) dengan segala apa yang didapatinya berupa pahala atau harta rampasan. Dan jika ia Aku matikan, Aku akan ampuninya, Aku beri rahmat dan Aku masukkannya ke dalam syurga". (Hadits Qudsi riwayat Imam As-Suyuti)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Bagi menjadikan sambutan Hari Pahlawan lebih bermakna, kita perlu memberikan pengiktirafan selayaknya kepada barisan pahlawan negara. Perjuangan mereka akan menyedarkan kita, betapa kemerdekaan yang dilaung, agama yang didukung, negara yang disanjung, perlu dipertahankan ke titisan darah yang terakhir. Buat para pahlawan negara yang telah syahid atau kembali menghadap Ilahi, kita berdoa agar roh mereka sentiasa dirahmati dan dikasihi Allah. Bagi para pahlawan yang masih gagah berdiri mengibarkan panji perjuangan, pertahankanlah setiap inci bumi pertiwi ini, walaupun darah dan nyawa menjadi ganti.

Mimbar menyeru, marilah kita semarakkan kembali janji untuk beriltizam di atas prinsip-prinsip kebenaran yang didukungi oleh Islam sebagai wadah, bagi memastikan keberadaan kita di dunia yang fana' ini tidak tergelincir dari garisan ibadah. Marilah kita sama-sama jalinkan kekuatan, bina kombinasi mapan, sempurna amanah dan peranan, persiapkan jiwa dengan keimanan, hiaskan diri dengan kesopanan, tingkatkan pengorbanan demi kedaulatan agama, bangsa dan tanahair.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita zaman ini.

Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, walaupun hidup kita tidak dilimpahi harta, walaupun kita sering melakukan dosa, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah dan kasih sayang Allah, di akhirat kelak.


قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment