Friday, September 20, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 21 MUHARAM 1441 / 21 SEPTEMBER 2019


KEKUATAN UMAT ISLAM DAN KEMULIAANNYA

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَكْرَمَنَا بِنِعْمَةِ الْإِسْلَامِ وَفَضَّلَنَا كَثِيْرٍ مِنَ الْأُمَمِ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الْأَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ، وَإِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Seterusnya marilah kita mendengar dan memahami firman Allah Ta'ala mengingatkan kita umat Islam:

... وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا ... ﴿١٠٣﴾ [سورة آل عمران : ١٠٣]

(Maksudnya): Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.

Walaupun sebab turunnya ayat ini bermula dengan masyarakat Arab yang pertama menerima Islam, tetapi pengajarannya berpanjangan kepada seluruh umat Islam. Para ulamak menegaskan:

الْعِبْرةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ.

(Maksudnya): Pengajaran diambil daripada lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus.

Apa yang menjadi pengajaran kepada kita, Al-Quran adalah nikmat Allah s.w.t yang sangat hebat. Ia diturunkan di akhir zaman ini untuk seluruh manusia dan untuk seluruh dunia, berbeza dengan kedatangan rasul-rasul yang membawa Islam sebelum daripadanya.

Apa yang menakjubkan, Allah s.w.t memulakan Islam itu dengan bangsa Arab yang paling keras, yang hidup dalam kemiskinan di padang pasir yang payah air dan susah untuk bertanam. Mereka berperang di antara satu sama lain. Kerasnya hati mereka sehingga sanggup membunuh anak perempuan hidup-hidup kerana anak perempuan itu tidak berguna untuk berperang. Kerja mereka merompak, menyamun dan membunuh di antara sama lain.

Islam dengan mukjizat Al-Quranul Karim telah berjaya melembutkan hati-hati mereka dengan masuknya iman ke dalam hati mereka menerima petunjuk Allah s.w.t. Masyarakat yang paling jahil itu menjadi masyarakat yang paling berilmu. Bersama dengan mukjizat ilmu Al-Quranul Karim lahirlah satu umat yang dinamakan umat Islam yang disifatkan oleh Allah s.w.t:

وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُوا أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ ﴿٧٤﴾ [سورة الأنفال : ٧٤]

(Maksudnya): Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

Kumpulan Ansar (Aus dan Khazraj) yang beratus tahun berperang di antara satu sama lain telah berjaya disatukan dengan Islam dan bersatu dengan orang-orang Makkah yang datang ke Madinah berhijrah untuk menubuhkan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah s.w.t, negara yang dijanjikan oleh Allah s.w.t:

وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا ۚ يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا ۚ وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿٥٥﴾ [سورة النور : ٥٥]

(Maksudnya): Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad s.a.w) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

Mereka yang sungguh-sungguh beriman serta percaya kepada Rasul dan Al-Quran yang diturunkan itu telah melaksanakan hukum Allah s.w.t dengan berjaya. Bumi padang pasir yang kering kontang menjadi bumi yang berkat. Islam diterima oleh kabilah-kabilah Arab. Umat Islam menjadi bangsa yang kuat, tegak dengan ilmu pengetahuan yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. Dengan keimanan dan akhlak yang mulia mereka berjaya menumbangkan dua kuasa besar dunia, Parsi dan Rom yang berpakat untuk menjatuhkan Islam. Mereka berjaya menumbangkan bala tentera Ahzab (pakatan kaum musyrikin) untuk menjatuhkan Islam.

Semuanya dapat dikalahkan oleh umat Islam yang beriman itu. Lalu berkembanglah agama Islam ke seluruh pelusuk dunia sehingga menguasai tiga benua besar dunia iaitu benua Asia, benua Afrika dan benua Eropah. Ia menjadi cahaya yang tidak boleh dipadamkan sehingga hari ini. Tetapi ketahuilah bahawa kekuatan umat Islam dan kemuliaannya terletak pada ajaran Islam, sejauh mana mereka berpegang dengan ajaran Islam itu.

Saiyidina 'Umar ibnul Khattab r.a memberi pesanan kepada mereka yang menyaksikan pembebasan Baitul Muqaddis daripada penaklukan Salibiyah Kristian:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، وَمَهْمَا نَبْتَغِ الْعِزَّةَ بِغَيْرِهِ أَذَلَّنَا اللَّهُ.

(Maksudnya): Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain darinya nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah.

Itulah yang sebenarnya yang berlaku dan itulah yang diberi amaran oleh Allah s.w.t:

... وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم ﴿٣٨﴾ [سورة محمد : ٣٨]

(Maksudnya): Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berjuang) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.

Walaupun lemahnya orang Arab berpegang dengan ajaran Islam, namun cahaya Islam tidak boleh dipadamkan sekali-kali kerana cahaya Islam daripada Allah s.w.t:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾ [سورة الصّف : ٨]

(Maksudnya): Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Cahaya agama Allah tidak boleh dipadamkan. Bangsa yang meninggalkan ajaran Islam itu yang lemah jatuh dan tumbang. Apabila bangsa Arab meninggalkan ajaran Islam, Allah menukarkan kaum Kurdis kembali kepada Islam dan menganut Islam serta berpegang dengan ajaran Islam. Mereka telah berjaya mengalahkan tentera Salibiyah yang menakluk Baitul Muqaddis selama seratus tahun. Apabila Baitul Muqaddis ditakluk oleh kristian sehingga orang Islam berputus asa. Namun cahaya Allah tidak boleh dipadamkan. Ada bangsa yang masuk Islam dan berpegang dengan ajaran Islam. bangsa Kurdis telah berjaya bangkit bersama dengan Islam dan membebaskan Baitul Muqaddis. Apabila orang Kurdis meninggalkan ajaran Islam, muncul pula kaum Turki yang menegakkan kerajaan Uthmaniah yang berkembang di seluruh pelusuk dunia. Apabila orang Turki meninggalkan ajaran Islam, jatuh lagi umat Islam. Tetapi cahaya Islam tidak boleh dipadamkan.

Hari ini kita sedang menghadapi umat Islam yang telah ditumbangkan oleh musuh-musuh mereka, tetapi cahaya agama Islam itu tidak boleh dipadamkan. Kita tunggu dan lihat bangsa mana pula yang akan kembali kepada cahaya Islam. Itulah bangsa yang akan memimpin semula umat Islam dan dunia ini di akhir zaman.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. 
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾ [سورة آل عمران : ١٠٤]

(Maksudnya): Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment