Friday, August 23, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 22 ZULHIJJAH 1440 / 23 OGOS 2019


KEYAKINAN JANJI KEMENANGAN ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ  وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan dunia dan akhirat adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
إِنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ عَنِ الَّذِينَ آمَنُوا ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ ﴿٣٨﴾ أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ ﴿٣٩﴾ [سورة الحج :  ٣٩ - ٣٨]

(Maksudnya): Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur. Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Begitulah janji Allah kepada rasul-Nya dan orang-orang yang beriman di peringkat awal Islam ketika mereka ditekan dan ditindas serta dibelasah dan dizalimi habis-habisan, bagaimana untuk menyampaikan Islam ke seluruh pelusuk dunia ketika masih benih, baru dinyatakan di Makkah sudah ditentang habis-habisan. Namun Rasulullah s.a.w menunjukkan keyakinannya kepada Allah dan percaya kepada janji Allah kemenangan di dunia dan kemenangan di akhirat.

Lalu diusahakan dengan bersungguh-sungguh walaupun tidak ada harapan lagi ramai penduduk Makkah itu untuk masuk Islam dengan mengambil peluang pada musim haji kerana orang-orang arab menunaikan ibadat haji sejak di zaman jahiliyyah sebagai menghormati Nabi Ibrahim a.s walaupun dalam keadaan syirik mereka berhimpun di Makkah untuk menunaikan haji. Peluang ini diambil oleh Rasulullah s.a.w mencari pemimpin-pemimpin kabilah yang ramai pengikutnya yang kuat mengajak mereka masuk Islam, dan memberitahu janji kemenangan daripada Allah s.w.t yang Maha Berkuasa.

Kebanyakan pemimpin-pemimpin kabilah itu menolak dakwah Nabi itu. Ada yang menolak dengan keras dan mengejek. Ada yang menolak dengan baik, percaya dan mengaku Islam adalah agama yang baik, tetapi tidak yakin kepada kemenangan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. Hanya kabilah Aus dan Khazraj yang datang daripada Madinah yang telah mendapat pengetahuan daripada orang-orang yahudi ahli kitab berkenaan zahirnya rasul akhir zaman apabila ditemui oleh Rasulullah s.a.w mengajak mereka masuk Islam dan diminta berbai'ah berjuang menegakkan Islam, mempertahankan Islam dan percaya kepada janji Allah s.w.t.

Pemimpin-pemimpin Aus dan Khazraj masuk Islam dan bersedia untuk berbai'ah (janji setia) menjual diri, harta benda dan nikmat Allah untuk mempertahankan Islam. Pemimpin-pemimpin mereka diajak secara rahsia pada tengah malam yang sunyi di Al-'Aqabah ketika penghuninya sedang tidur nyenyak. Ketika itulah pemimpin-pemimpin Aus dan Khazraj datang menemui Rasulullah s.a.w. Apabila mereka bertanya:

فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَامَ نُبَايِعُكَ قَالَ تُبَايِعُونِي عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي النَّشَاطِ وَالْكَسَلِ وَالنَّفَقَةِ فِي الْعُسْرِ وَالْيُسْرِ وَعَلَى الْأَمْرِ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْيِ عَنْ الْمُنْكَرِ وَعَلَى أَنْ تَقُولُوا فِي اللَّهِ لَا تَخَافُونَ فِي اللهِ لَوْمَةُ لَائِمٍ وَعَلَى أَنْ تَنْصُرُونِي فَتَمْنَعُونِي إِذَا قَدِمْتُ عَلَيْكُمْ مِمَّا تَمْنَعُونَ مِنْهُ أَنْفُسَكُمْ وَأَزْوَاجَكُمْ وَأَبْنَاءَكُمْ وَلَكُمْ الْجَنَّةُ. [رواه احمد]

(Maksudnya): Wahai Rasulullah, atas tujuan apakah kami diminta berbai'ah? Sabda Rasulullah s.a.w: Kamu berbai'ah (berjanji) kepadaku di atas dasar mesti dengar dan taat sama ada di masa cergas atau malas; di atas dasar bernafkah (bersedia untuk berbelanja) di masa susah atau senang; di atas dasar menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran; di atas dasar bangun kerana menegakkan agama Allah tanpa mengira celaan orang-orang yang mencela; dan di atas dasar memberi pertolongan kepada aku apabila aku tiba kepadamu, kamu mempertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri kamu, isteri kamu dan anak-anak kamu. (Jika kamu melakukan ituy) nescaya diberikan untuk kamu syurga.

Demi mendengar ucapan ini, mereka bangun seorang demi seorang memegang tangan Nabi s.a.w dan menyatakan janjinya serta bersedia untuk menunaikan janji itu. Bahkan mereka bersedia kalau mereka bertindak di malam itu pun. Sabda Rasulullah s.a.w: "Bukan masanya lagi".

Mereka tunjukkan keyakinan mereka kepada kemenangan Islam, nanti bila Islam sudah menang Rasulullah pulang ke Makkah meninggalkan kami.

Jawab Rasulullah s.a.w: "Aku bersama dengan kamu, sebahagian dengan kamu dan terus bersama dengan kamu".

Rasulullah s.a.w menunaikan janji itu sehingga wafatnya dan dikebumikan di Madinah Al-Munawwarah.

Perjanjian yang penting ini adalah pengajaran sehingga akhir zaman. Perlunya kumpulan Islam yang setia untuk menegakkan Islam itu dan isi kandungan bai'ah yang diucapkan bukan semua umat Islam boleh menerima janji ini. Mereka yang menerima janji ini akan dijanjikan kebahagiaan oleh Allah s.w.t sehingga hari kiamat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾ [سورة آل عمران : ١٠٤]

(Maksudnya): Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment