Friday, August 16, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 15 ZULHIJJAH 1440 / 16 OGOS 2019


NIKMAT PERSAUDARAAN ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ  وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْمَبْعُوْثُ رَحْمَةً لِلْعَالَمِيْنَ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan di dunia dan akhirat itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengambil peringatan daripada pesanan Rasulullah s.a.w ketika menunaikan Haji Wida' (haji selamat tinggal) dalam khutbahnya yang mengandungi wasiat-wasiat yang sangat penting kepada umatnya sehingga hari kiamat. Di antara sabdanya:

لَا تَرْجِعُوا بَعْدِي كُفَّارًا يَضْرِبُ بَعْضُكُمْ رِقَابَ بَعْضٍ. [رواه البخاري]

(Maksudnya): Janganlah kamu menyeleweng (menjadi kufur) selepas aku wafat, nanti kamu akan memancung leher (berperang) di antara satu sama lain.

Pesanan ini mengingatkan umat Islam betapa besarnya nikmat Islam itu, bukan sahaja menyelamatkan mereka pada hari akhirat, bahkan menunjukkan jalan yang sangat baik dalam kehidupan dunia ini. Di antara nikmat Islam itu adalah mempersaudarakan di antara orang-orang yang beriman. Allah s.w.t memberi peringatan:

... وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا... ﴿١٠٣﴾ [سورة آل عمران : ١٠٣]

(Maksudnya): ... Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara...

Persaudaraan itu lebih erat daripada hubungan waris, keluarga, pangkat, harta benda, kaum dan sempadan negeri.

Sabda Rasulullah s.a.w:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى. [رواه البخاري ومسلم]

(Maksudnya): Perumpaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit dan demam.

Itulah persaudaraan yang dijalin oleh Islam yang menggambarkan betapa hebatnya nikmat Islam ini sehingga orang arab yang bukan sahaja bermusuh, bahkan berperang di antara satu sama lain telah berjaya disatukan oleh Islam daripada kalangan Muhajirin dan Ansar yang sama-sama menganut Islam. Muhajirin yang datang dari Makkah bergabung dengan golongan Ansar dari Madinah. Aus dan Khazraj, dua kabilah yang berperang ratusan tahun, datangnya Islam mereka bersatu dengan melupakan segala permusuhan itu dengan kesatuan dan perpaduan umat Islam.

Mereka menjadi umat yang kuat sehingga dapat menguasai masyarakat majmuk di Madinah yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum dan agama, bukan sahaja orang Islam, tetapi juga orang-orang yahudi dan kristian ahli kitab, termasuk kaum musyrikin penyembah berhala. Umat Islam yang bersatu menjadi umat yang kuat sehingga berjaya memerintah negara yang hebat. Kaum bukan Islam yang lebih ramai berpecah dipimpin oleh umat Islam dengan menunjukkan kebaikan, keadilan dan kebenaran yang ada di dalam ajaran Islam. Akhlak yang mulia yang ada pada orang-orang Islam telah berjaya menarik bangsa-bangsa yang bukan Islam menganut Islam.

Ternyata apa yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w:

لَيَبْلُغَنَّ هَذَا الْأَمْرُ مَا بَلَغَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ. [رواه امام احمد]

(Maksudnya): Akan sampai urusan agama ini (ke seluruh pelusuk dunia) di mana adanya siang dan malam.

Ada orang-orang Islam di seluruh pelusuk dunia di zaman Islam itu diamal dan dilaksanakan dengan iman yang sungguh-sungguh oleh orang-orang Islam, umat Islam menjadi bangsa yang kuat memimpin dunia. Tidak sampai seratus tahun umat Islam menguasai sebahagian benua Asia, benua Afrika dan benua Eropah. Selepas beberapa tahun Islam sampai ke benua Amerika.

Umat Islam menjadi bangsa yang kuat, tetapi apabila mereka ditimpa bencana yang telah diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w supaya jangan menyeleweng daripada ajaran Islam. Orang Islam telah menyeleweng daripada ajaran Islam, meninggalkan pesanan Rasulullah s.a.w dan meninggalkan pusaka ajaran Islam yang diucapkan:

تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ. [رواه مالك] 

(Maksudnya): Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.

Dua perkara yang menyatukan umat Islam yang boleh menyelesaikan masalah mereka dengan kekuatan petunjuk Allah s.w.t:

... فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا ﴿٥٩﴾ [سورة النساء : ٥٩]

(Maksudnya): Maka jika berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (Al-Quran) dan (sunnah) rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.

Sehingga Allah menyatakan orang Islam yang berperang pun boleh selesai dengan petunjuk Allah s.w.t:

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ ۚ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا ۖ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٩﴾ [سورة الحجرات : ٩]

(Maksudnya): Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Itulah petunjuk Allah s.w.t selagi umat Islam berpegang dengan ajaran agamanya, mereka tidak boleh dipecahkan oleh musuh-musuh Islam. Akhirnya apabila umat Islam leka dan lalai dengan kemenangan yang diberi oleh Allah s.w.t, tergoda dengan pengaruh kemewahan dan kesenangan kuasa dan pemerintahan yang kuat daripada orang lain menyebabkan mereka meninggalkan kitab Allah s.w.t dan petunjuk Nabi Muhammad s.a.w, bertukar keadaan bergaduh sesama sendiri, berperang atas nama kebangsaan, atas nama sempadan dan atas nama kepentingan dunia. Mereka menjadi umat yang berpecah dan dijajah oleh musuh-musuh Islam. Tanahair umat Islam dipecah-pecah dan dibahagikan di antara kuasa-kuasa penjajah itu. Mereka memerintah masing-masing negeri dengan cara yang jauh daripada ajaran Islam. Tetapi Allah menjanjikan cahaya agama-Nya tidak boleh dipadamkan:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾ [سورة الصف : ٨]

(Maksudnya): Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Orang-orang kafir yang bermusuh dengan Islam itu menyangka cahaya Islam itu macam cahaya pelita minyak tanah, dihembus boleh padam begitu sahaja. Mereka tidak tahu cahaya agama Allah tidak boleh dipadamkan sekali-kali, sebagaimana mereka tidak boleh memadamkan cahaya matahari dan bulan yang ada di atas kepala mereka. Begitulah mereka tidak boleh memadamkan cahaya agama Islam. Akan tetap ada sumbu yang akan menyalakannya. Yang masih ada pada hari ini adalah Al-Quranul Karim, sembahyang dan haji di Makkah Al-Mukarramah. Tiga amalan yang masih hidup dalam kalangan umat Islam yang masih boleh mengumpulkan mereka. Apa yang penting, mereka kembali sungguh-sungguh kepada perintah Allah s.w.t dan kembali kepada persaudaraan yang ditunjukkan oleh Allah s.w.t:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ ﴿١٠﴾ [سورة الحجرات : ١٠]

(Maksudnya): Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) di antara kedua saudaramu itu; dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment