Friday, March 29, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 22 REJAB 1440 / 29 MAC 2019


KESABARAN ORANG ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِاللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ ﴿٨﴾  الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ ﴿٩﴾ إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ ﴿١٠﴾ إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَهُمْ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْكَبِيرُ ﴿١١﴾ [سورة البروج : ٨ - ١١]

Firman Allah Ta'ala yang bermaksud: "Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar".

Ayat ini mengisahkan orang-orang yang beriman di zaman dahulu diseksa dan dibunuh oleh musuh-musuh Islam. Ada yang dibakar dengan dicampak ke dalam parit yang dinyalakan api yang besar, ada yang dipancung dan berbagai-bagai seksaan lagi. Allah s.w.t menyatakan bahawa mereka tidak boleh memadamkan cahaya agama-Nya dengan segala perkara yang dilakukan.

Al-Quran adalah mukjizat yang berpanjangan sehingga hari ini. Kita menyaksikan orang-orang Islam difitnah dengan nama pengganas, pelampau dan sebagainya, walaupun orang-orang Islam di seluruh pelusuk dunia menjadi mangsa pembunuhan seolah-olah nyawa orang Islam ini terlalu murah. Mereka bukan sahaja dibunuh di dalam peperangan seperti yang berlaku di Afghanistan, di Iraq, di Syria, di Yaman, di Libya, di Afrika Tengah, di Myanmar, di Palestin dan lain-lain, bahkan seminggu yang lalu orang Islam ditembak ketika solat Jumaat di masjid di New Zealand yang menyebabkan 50 orang gugur syahid dan ramai yang cedera. Dalam keadaan itu, orang Islam juga yang dituduh sebagai pengganas.

Walau apa sahaja tuduhan yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam itu, Allah s.w.t tetap memuliakan agama Islam dan orang Islam percaya bahawa itulah kematian yang mulia di sisi Allah s.w.t. Mereka tersalah anggap bahawa orang Islam akan takut dengan apa yang mereka lakukan. Sebenarnya orang-orang Islam mahu mati dengan cara begitu, mati yang mulia di sisi Allah s.w.t.

Ketika para sahabat menghadapi kematian di dalam peperangan Uhud dan ramai yang cedera, Allah s.w.t mewahyukan kepada Nabi s.a.w:

وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِبِّيُّونَ كَثِيرٌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الصَّابِرِينَ ﴿١٤٦﴾ [سورة آل عمران : ١٤٦]

(Maksudnya): "Dan berapa ramai Nabi yang berperang bersama-samanya sejumlah besar daripada pengikut setia yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu serta tidak punya menyerah kepada musuh Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang sabar".

Allah s.w.t menjanjikan mereka yang sabar bersama dengan Islam itu diberi kebahagiaan yang kekal abadi di hari akhirat. Oleh kerana itu jangan ada dalam kalangan orang Islam yang merasa lemah semangat dengan segala tindakan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam di seluruh dunia kerana Islam adalah kemuliaan daripada Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾ [الصّف : ٨]

(Maksudnya): "Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment