Friday, March 1, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 24 JAMADIL AKHIR 1440 / 1 MAC 2019


ZAMAN KEGEMILANGAN SEMULA ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيٓ أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِاللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengambil pengajaran dan panduan daripada Allah s.w.t yang berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ ﴿٥١﴾ [سورة المائدة : ٥١]

(Maksudnya): "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim".

Ayat ini diturunkan di zaman Rasulullah s.a.w untuk membezakan orang-orang munafik dan mereka yang lemah imannya dengan orang-orang yang beriman yang kuat imannya. Di mana orang-orang munafik yang berpura-pura beriman itu, begitu juga yang lemah imannya yang terpengaruh dengan orang-orang munafik itu memberi kepercayaan kepada orang-orang yahudi yang hidup bersama di Madinah. Percaya kepada pertolongan mereka dan menganggap mereka adalah ikhlas bersama dengan orang-orang Islam. Ada pun mereka yang beriman tetap berhati-hati kerana mereka percayakan Allah dan Rasul serta percaya kepada sesama Islam.

Akhirnya ternyata orang-orang yahudi itu khianat kepada perjanjian yang dimeteraikan. Mereka bersekongkol dengan musuh-musuh Islam. Bukan sahaja menubuhkan bala tentera Ahzab bersama dengan orang-orang musrikin, tetapi mereka juga berusaha untuk membunuh Nabi s.a.w. Namun Allah s.w.t tetap memelihara Islam, memelihara Rasul dan para sahabat yang membawa Islam itu.

Para ulamak mengatakan:

الْعِبْرةُ بِعُمُومِ اللَّفْظِ لَا بِخُصُوصِ السَّبَبِ.

(Maksudnya): "Pengajaran diambil daripada lafaz yang umum, bukan sebab yang khusus".

Kita menyaksikan di zaman mutakhir ini apabila orang-orang Islam kurang kefahaman mereka kepada Al-Quran dan lemah pegangan mereka kepada ajaran Islam, berlaku peristiwa yang malang yang menimpa umat Islam beberapa abad yang lalu di Sepanyol dan Portugal yang dikenali wujudnya kerajaan Islam di Andalus yang membina tamadun yang hebat apabila raja-raja dan pemimpin-pemimpin leka dengan kekayaan dan kesenangan, mereka berkelahi sesama sendiri dan berlakunya perpecahan. Terdapat dalam kalangan mereka yang bersahabat dengan orang-orng kristian dan yahudi yang bermusuh dengan Islam untuk menentang saudara sendiri. Ia berakhir dengan jatuhnya Islam di Sepanyol dan Portugal.

Islam yang bertapak selama 800 tahun di Andalus jatuh dan tumbang apabila orang Islam memberi kepercayaan kepada musuh-musuh mereka kerana pertelingkahan sesama sendiri sanggup menagih bantuan musuh untuk menjatuhkan sesama sendiri.

Seratus tahun yang lalu kita menyaksikan kejatuhan kerajaan 'Uthmaniah yang berpusat di Istanbul apabila orang arab yang kembali kepada semangat kebangsaan jahiliyyah, taksub terhadap kaum, lupakan persaudaraan Islam. Mereka sanggup bekerjasama dengan penjajah barat (Inggeris, Perancis dan lain-lain) untuk menjatuhkan kerajaan 'Uthmaniah. Tanpa dinafikan adanya kezaliman dan kesalahan dalam pemerintahan, tetapi umat Islam diwajibkan bersabar menghadapi kezaliman dan kesalahan sesama sendiri, tidak boleh sekali-kali berwalikan orang-orang bukan Islam. Tiba-tiba orang-orang arab, raja-raja dan pemimpin-pemimpin bersekongkol dengan penjajah untuk menjatuhkan kerajaan 'Uthmaniah. Maka berlakulah peristiwa kejatuhan khilafah 'Uthmaniah.

Umat Islam tidak ada lagi kuasa besar yang melindungi mereka, menyebabkan tanahair umat Islam dijajah, dipecah, diperintah dan dibahagi-bahagikan dalam kalangan sesama penjajah. Kita menyaksikan kesannya sehingga hari ini.

Beberapa hari yang lalu kita menyaksikan beberapa buah negara arab menghantar menteri-menteri mereka untuk menghadiri Persidangan Warsaw dengan yahudi dan negara barat atas nama untuk menentang pengganas. Siapakah pengganas itu? Pengganas itu ialah negara jiran orang-orang Islam, bukannya yahudi yang sedang membunuh orang-orang Islam Palestin.

Kita menyaksikan hari ini rakyat Palestin berhimpun di Masjidil Aqsa untuk mempertahankan masjid itu kerana adanya tanda-tanda usaha yahudi yang memasukkan pendatang-pendatang yahudi daripada seluruh pelusuk dunia dan merancang untuk merobohkan Masjidil Aqsa untuk didirikan di tapaknya Haikal Sulaiman, rumah ibadat yahudi yang didakwa oleh mereka dibangunkan oleh Nabi Daud dan Nabi Sulaiman 'alaihimas salam. Padahal kedua-dua Nabi itu adalah Islam, bukan menganut agama yahudi. Perancangan mereka itu sedang berjalan.

Kita menyaksikan benarnya janji Nabi s.a.w:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ يَخْذُلُهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ. [رواه الترمذي]

(Maksudnya): "Akan tetap ada di kalangan umatku kumpulan yang bangun menyatakan kebenaran, mereka tidak boleh dimudaratkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga datangnya urusan Allah".

Para sahabat bertanya:

مَنْ هُمۡ يَا رَسُولَ اللَّه؟

(Maksudnya): "Siapakah mereka itu, wahai Rasulullah?"

Sabda Rasulullah s.a.w:

هُمْ أَصْحَابُ بيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

(Maksudnya): "Mereka ialah penduduk Baitul Muqaddis dan di keliling Baitul Muqaddis".

Kita menyaksikan hari ini kebangkitan rakyat Palestin mempertahankan Masjidil Aqsa. Dalam masa yang sama kita menyaksikan pemimpin-pemimpin arab mengadakan hubungan setia kawan dengan yahudi dan kristian atas nama mempertahankan keamanan dan keselamatan menentang keganasan. Siapa yang ganas itu? Bukan yahudi, tetapi yang dianggap ganas ialah orang Islam juga.

Kita menyaksikan sekali lagi umat Islam dilanda musibah kelemahan dalam diri mereka. Tetapi percayalah kejatuhan orang Islam tidak berulang kerana mereka telah jatuh. Zaman ini adalah zaman kebangkitan semula umat Islam. Rugilah mereka yang bersekongkol dengan musuh itu dan berjayalah mereka yang bersama dengan Islam. Dan dijanjikan oleh nabi s.a.w:

بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ. [رواه مسلم] 

(Maksudnya): "Islam bermula dalam keadaan dagang (asing), dan akan kembali dagang seperti mulanya, maka beruntunglah orang-orang yang dagang".

Itulah janji Rasulullah s.a.w yang dijamin benarnya oleh Allah s.w.t.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment