Thursday, March 28, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 22 REJAB 1440 / 29 MAC 2019


AL-AQSA SAKSI PERJUANGAN AGUNG

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
۞ سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١﴾ (Surah Al-Israk : Ayat 1)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan sepenuh perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertaqwa. Khutbah hari ini akan membicarakan tajuk: "Al-Aqsa Saksi Perjuangan Agung".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Perjuangan adalah sebahagian daripada kehidupan kita. Untuk meneruskan hidup, seseorang perlu berjuang. Menuntut ilmu dan mencari nafkah juga memerlukan perjuangan. Namun tahukah kita, apakah perjuangan yang paling bermakna? Tidak lain dan tidak bukan adalah perjuangan harta benda, masa, tenaga, bahkan nyawa sekalipun, demi untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. Firman-Nya dalam Surah As-Shaff ayat 10 dan 11.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ ﴿١٠﴾ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿١١﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bila berbicara soal perjuangan, marilah kita mencontohi perjuangan saudara-saudara kita di bumi Palestin. Masjidil Aqsa kiblat pertama kita umat Islam, yang dibina setelah 40 tahun terbinanya Masjidil Haram. Inilah tempat Nabi Muhammad s.a.w diisrak dan dimikrajkan. Bumi Palestin merupakan tanah suci yang diberkati kerana Allah mengutuskan ramai para nabi di sana. Apa yang lebih utama, Palestin juga adalah sebuah negara yang dahulunya dimiliki oleh umat Islam.

Pembebasan kota Al-Quds dari cengkaman Rom telah dilaksanakan di zaman Saiyidina 'Umar Al-Khattab. Tetapi ia kemudian dijajah selama 88 tahun oleh tentera salib Eropah. Walau bagaimana pun, Salahuddin Al-Ayyubi berjaya membebaskan semula Al-Aqsa daripada kezaliman tentera salib pada tahun 1187 Masihi. Mengenai Palestin, Salahuddin Al-Ayyubi pernah pernah berkata:

"Barangsiapa yang menguasai Palestin (Masjidil Aqsa), maka dia akan menguasai dunia"

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hari ini, bumi yang menempatkan Masjidil Aqsa telah dikuasai oleh zionis melalui rancangan licik serta kerjasama negara-negara Eropah terutamanya Amerika Syarikat. Hasil kekuatan ketenteraan dan perancangan yang teliti, bumi Al-Quds kini dikuasai oleh bangsa yang suatu ketika dahulu telah membunuh para nabi yang diutuskan kepada mereka. Zionis sebenarnya tidak mengerti apa ertinya perjanjian damai, mereka buta dengan resolusi amaran, mereka tuli dengan arahan-arahan menghentikan serangan. Untuk melawan mereka, bukan dengan menggunakan kata-kata dan perjanjian persefahaman, tetapi kita memerlukan kekuatan jihad berpanjangan dari seluruh umat Islam.

Sidang Jumaat sekalian,

Rakyat Palestin sedang menghadapi pertarungan bersendirian. Mereka berjuang tanpa bantuan majoriti negara-negara saudara mereka sendiri iaitu negara-negara arab yang juga beragama Islam. Tetapi mereka tetap melawan dengan kekuatan yang ada melalui pelancaran roket buatan sendiri.

Sekalipun nampak kecil, ia amat digeruni oleh zionis sehingga mereka mengarahkan serangan udara dan darat ke atas rakyat Palestin di Ghaza. Akibatnya, ramai manusia yang tidak berdosa menjadi korban. Zionis terancam dengan serangan yang dilakukan oleh para pejuang Palestin dan inilah sikap sebenar zionis yang cuba disembunyikan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita tahu penderitaan yang menimpa rakyat Palestin. Tetapi apakah tindakan kita? Adakah kita menunggu keajaiban berlaku tanpa melakukan apa-apa dan membiarkan kezaliman berleluasa? Adakah kita hanya mendiamkan diri dengan harapan orang lain yang membantu?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Menjawab persoalan di atas, sesungguhnya menjadi kewajipan ke atas bahu setiap umat Islam untuk membantu rakyat Palestin, tidak kira siapa dan di mana kita berada. Rakyat Palestin adalah sebahagian daripada anggota tubuh kita. Saiyidina Nukman bin Basyir r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى.

Maksudnya: "Perumpamaan kaum mukminin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama satu tubuh, jika anggota tubuh berasa sakit, maka anggota yang lain akan susah tidur dan merasakan demam". (Hadits riwayat Muslim)

Rakyat Palestin adalah wakil umat Islam di seluruh dunia dalam menentang musuh Islam. Kelak kita semua akan disoal oleh Allah s.w.t - Apakah sumbangan yang telah kamu berikan kepada perjuangan jihad di Palestin? Kita wajib membantu mereka dengan keupayaan dan kemampuan yang kita miliki. Di antara bantuan yang boleh kita berikan ialah:

1. Memberi bantuan kewangan dan sokongan berterusan kepada rakyat Palestin melalui infaq dan sedekah tanpa mengira kedudukan kita sama ada kaya atau miskin.

2. Menggesa negara-negara Islam menggunakan kemampuan mereka menghentikan kezaliman di bumi Palestin. Sebagai rakyat dalam sebuah negara, kita perlu bersatu dalam isu yang melibatkan solidariti umat Islam.

3. Menulis di akhbar, majalah, dan menyebarkan isu Palestin sebagai isu umat dan pembebasannya adalah tanggungjawab seluruh umat Islam.

4. Tetap menjaga kesatuan umat. Perjuangan ini tidak ada ertinya jika kita saling bercerai-berai. Sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah As-Shaff ayat 4:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُم بُنْيَانٌ مَّرْصُوصٌ ﴿٤﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh".

5. Sentiasa mengamalkan bacaan Qunut Nazilah di saat saudara-saudara kita di Palestin dizalimi oleh zionis. Ingatlah hadits yang diriwayatkan oleh Saiyidina Huzaifah bin Yaman bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ لَمْ يَهْتَمُّ  بِأَمْرِ الْمُسْلِمِيْنَ فَلَيْسَ عَامَةً مِنْهُمْ.

Maksudnya: "Barangsiapa yang tidak mengambil berat hal ehwal orang-orang Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka". (Hadits riwayat Al-Hakim)

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Rakyat Palestin memerlukan doa kita. Rakyat Palestin mengharapkan bantuan berterusan daripada kita. Al-Quds sedang menanti munculnya Salahuddin Al-Ayyubi kedua, ketiga dan seterusnya. Dan ketahuilah saudaraku sidang jamaah sekalian, bahawa harapan ini tidak akan pernah padam. Kini dan selamanya, ia terbeban ke atas bahu-bahu kita semua. Ayuh umat Islam! Dengan masa dan tenaga kita, dengan harta dan jiwa, dengan ruh dan darah, bangunlah! Demi rakyat Palestin! Demi agama Islam tercinta!

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bersempena dengan sambutan Israk dan Mikraj, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dengan kerjasama Aman Palestin akan melancarkan Tabung Bantuan Masjidil Aqsa di seluruh masjid di negeri Perak Darul Ridzuan. Semoga para jamaah dapat menghulurkan sumbangan bagi misi bantuan Masjidil Aqsa yang dijalankan. Semua jumlah kutipan hendaklah diserahkan kepada Tabung Bantuan Bencana dan Keamanan Masjid Negeri Perak - Bank Islam 05013010091983 - sebelum hari Selasa 2 April 2019.

Sidang Jumaat sekalian,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Mimbar menyeru agar kita bersama-sama menjaga hubungan baik dengan Allah dan menjaga hubungan baik sesama manusia. Marilah kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah terutamanya solat fardhu berjamaah, agar kita mendapat naungan Allah s.w.t di hari akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment