Friday, March 22, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 15 REJAB 1440 / 22 MAC 2018


POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA: BERSAMA MENCEGAH DAN MEMBANTERAS JENAYAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾ (Surah At-Tahrim : Ayat 6)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri sendiri dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintahnya-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan ini mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Khutbah hari ini akan membicarakan tajuk: "Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada: Bersama Mencegah Dan Membanteras Jenayah".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyambut Hari Polis yang jatuh pada 25 Mac setiap tahun. Sambutan ini diadakan sebagai tanda ingatan dan peringatan kepada semua warga PDRM agar sentiasa menghayati sejarahnya. Sentiasa bersedia secara fizikal dan mental untuk terus istiqamah taat setia kepada Raja, Negara, Perlembagaan, Undang-Undang serta Pasukan.

Keamanan dan keselamatan merupakan tonggak kemakmuran negara Malaysia tercinta. PDRM akan terus memikul tugas yang berat ini serta akan memastikan ia kekal relevan sebagai pasukan penguatkuasa undang-undang utama negara, selaras dengan peranan yang termaktub di bawah Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967, iaitu:

1. Memelihara undang-undang.
2. Mengekalkan kemanan dan keselamatan Malaysia.
3. Mencegah dan mengesan penjenayah.
4. Menangkap dan mendakwa penjenayah, dan
5. Mengumpul risikan keselamatan.

Sidang jamaah yang rahmati Allah,

Ketahuilah bahawa keamanan negara ini bukan hanya dari konteks pembanterasan jenayah semata-mata, malah meliputi kestabilan ekonomi, politik dan sosial.

Menurut laporan Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) yang berpengkalan di Sydney, Australia, indeks keamanan global tahun 2017 menunjukkan Malaysia berada pada tahap ke 29 daripada 163 buah negara yang teraman dan selamat. Alhamdulillah, indeks tersebut bertambah baik apabila tahun 2018 Malaysia berada di tangga ke 25 iaitu meningkat 4 tangga.

Sidang jamaah yang rahmati Allah,

Menurut konsep Islam, anasir yang menggugat lima perkara utama, iaitu agama, nyawa atau tubuh badan, akal fikiran, keturunan dan harta benda adalah dianggap sebagai jenayah. Perkataan al-jinayah ditakrifkan sebagai segala bentuk tindakan yang dilarang dan merosakkan, sama ada tindakan itu ke atas tubuh badan, harta atau sebagainya. Di dalam kitab Al-Ahkam As-Sultoniyyah, Al-Mawardi, mentakrifkan jenayah sebagai segala bentuk kesalahan menurut syariat yang boleh dihukum berdasarkan hukum Allah s.w.t, sama ada qisas, hudud atau takzir.

Jenayah berlaku disebabkan pelbagai faktor. Di antaranya:

1. Tamak haloba untuk mendapat sesuatu dengan mudah.
2. Rendahnya nilai agama dan moral serta nilai murni dalam diri.
3. Rasuah yang bermahara lela.
4. Kemerosotan dan ketidak seimbangan pembangunan ekonomi.
5. Pengangguran.
6. Nilai-nilai sosial dan keluarga yang semakin rapuh.
7. Penagihan dadah.

Sidang jamaah yang rahmati Allah,

Mencegah dan membanteras jenayah bukanlah hanya menjadi tanggung jawab pasukan polis atau agensi keselamatan semata-mata. Bahkan ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab individu dan masyarakat. Pasukan keselamatan dan masyarakat umpama aur dengan tebing, saling lengkap melengkapi, bantu membantu dan berganding bahu untuk terus menjaga keselamatan mencegah dan membanteras jenayah. Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢﴾

Maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)".

Setiap anggota masyarakat hendaklah bersama-sama mencegah dan membanteras perbuatan jenayah mengikut tahap kemampuan dan keupayaan masing-masing. Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: "Sesiapa dalam kalangan kamu melihat berlakunya kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika dia tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika dia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya dan yang demikian itu adalah serendah-rendah tahap yang dituntut (dalam mencegah kemungkaran)". (Hadits riwayat Muslim, At-Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Bagi menjalin semangat kerjasama antara semua pihak dalam mencegah dan membanteras jenayah, beberapa langkah boleh diambil. Antaranya:

Pertama: Menyalurkan maklumat mengenai sesuatu kejadian jenayah yang berlaku kepada pihak polis melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol atau lebih dikenali sebagai VSP. Ia merupakan satu inisiatif baru Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mewujudkan kolaborasi dan kerjasama strategik mencegah jenayah bersama masyarakat sebagai mata dan telinga pihak polis.

Jika dahulu masyarakat boleh melapurkan jenayah melalui talian hotline PDRM dan perkhidmatan sistem pesanan ringkas (SMS) tetapi melalui VSP, masyarakat kini boleh menyalurkan aduan atau maklumat yang dilengkapi dengan elemen multimedia seperti gambar, video dan koordinat GPS lokasi kejadian.

Kedua: Melaksanakan program kesedaran kepada anggota masyarakat berkaitan pencegahan jenayah.

Ketiga: Melaksanakan rondaan sukarela dalam kawasan kejiranan setempat.

Keempat: Menjalin kerjasama dan permuafakatan dengan pihak keselamatan dan agensi yang berkepentingan untuk menjaga keamanan.

Kelima: Mendidik anggota masyarakat agar menjauhi najis dadah.

Keenam: Mengukuhkan semangat kejiranan dan sifat mengambil berat sesama anggota masyarakat dan sebagainya.

Sidang jamaah yang rahmati Allah,

Sempena peringatan Hari Polis ke - 212 pada tahun ini, marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan seluruh warga Polis Diraja Malaysia dan pasukan keselamatan di negara ini berada di dalam rahmat dan perlindungan Allah s.w.t. Semoga mereka dapat mencapai prestasi yang lebih cemerlang dan terus cekal berhadapan dengan apa jua cabaran yang mendatang dan bekerja dengan penuh rasa bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara.

Sidang jamaah yang rahmati Allah,

Marilah sekali lagi kita menghayati firman Allah s.w.t yang mewajibkan semua masyarakat bekerjasama mencegah dan membanteras jenayah, sebagaimana firman Allah di dalam Surah Ali-'Imran ayat 104:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾

Maksudnya: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bersempena dengan sambutan Israk dan Mikraj, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dengan kerjasama Aman Palestin akan melancarkan Tabung Bantuan Masjidil Aqsa di seluruh masjid di negeri Perak Darul Ridzuan, bermula pada hari Jumaat ini 22 Mac 2019 dan juga Jumaat 29 Mac 2019. Semoga para jamaah dapat menghulurkan sumbangan bagi misi bantuan Masjidil Aqsa yang dijalankan. Semua jumlah kutipan hendaklah diserahkan kepada Tabung Bantuan Bencana dan Keamanan Masjid Negeri Perak - Bank Islam 05013010091983.

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan tinggalan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita bersama-sama menjaga hubungan baik dengan Allah dan menjaga hubungan baik sesama manusia dan sentiasa bermuhasabah diri agar dapat memperbaiki amalan-amalan kita setiap hari. Selain itu, marilah kita bersatu padu dan mewujudkan suasana perpaduan yang harmoni sesama Islam.

Khatib menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian agar kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah berterusan terutamanya solat fardhu berjamaah, agar kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat naungan Allah s.w.t seperti dalam sebuah hadits riwayat Saiyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

... وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالْمَسَاجِدِ ...

Maksudnya: "...Dan lelaki yang terpaut hatinya pada masjid...". (Hadits riwayat Al-Baihaqi)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. Kurniakan juga ke atas para penderma yang menginfaqkan harta mereka ke jalan Mu sama ada wang mahu pun tenaga.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu Timbalan Yang Dipertuan Agong, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment