Thursday, March 7, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 1 REJAB 1440 / 8 MAC 2019


HARMONIKAN KEHIDUPAN BERSAMA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾ (Surah Al-Hujurat : Ayat 13)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t yakni dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa, seterusnya berjaya serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia dan kita termasuk dalam golongan orang-orang yang bertaqwa, lagi dikasihi Allah. Khatib hari ini akan membicarakan tajuk: "Harmonikan Kehidupan Bersama".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ar-Rum ayat 22:

وَمِنْ آيَاتِهِ خَلْقُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافُ أَلْسِنَتِكُمْ وَأَلْوَانِكُمْ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّلْعَالِمِينَ ﴿٢٢﴾

Maksudnya: "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan".

Sabda Rasulullah s.a.w daripada Saiyidina Jabir bin Abdillah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ، وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ، أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ، وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ، إِلَّا بِالتَّقْوَى، إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللهِ أَتْقَاكُمْ.

Maksudnya: "Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu satu, bapa kamu satu. Tidak ada kelebihan orang arab ke atas bukan arab dan sebaliknya. Tiada keistimewaan orang yang berkulit cerah ke atas yang berkulit hitam dan sebaliknya kecuali dengan taqwa. Sesunguhnya yang paling mulia antara kamu adalah yang paling bertaqwa". (Hadits riwayat Al-Baihaqi)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki kepelbagaian bangsa dan keturunan. Sudah sekian lama sebelum merdeka, negara ini didiami oleh tiga bangsa utama iaitu melayu, cina dan india di samping etnik-etnik yang lain.

Sudah sekian lama juga, rakyat Malaysia menyaksikan sikap toleransi orang-orang melayu beragama Islam kepada bangsa dan agama lain di negara ini. Alhamdulillah, rakyat Malaysia hidup sejahtera dalam kepelbagaian budaya, adat dan agama yang menjadi teras kepada keharmonian sesama bangsa. Namun sejak akhir-akhir ini, keharmonian yang telah kita kecapi mula sedikit terancam. Sudah ada berita-berita negatif kerap dilaporkan sama ada dalam akhbar, portal, radio dan televisyen yang menerangkan tentang kemerosotan nilai perpaduan antara kaum.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar ingin menarik perhatian para jamaah, untuk kita sama-sama melihat dengan hati yang terbuka, apakah punca-punca yang menyebabkan tercetusnya masalah perpaduan di negara kita.

Pertama, disebabkan provokasi yang melampau. Hal ini dapat kita lihat, menerusi kebiadapan beberapa individu serta tokoh yang menghina institusi melayu dan hal ehwal agama Islam. Ini termasuk cubaan menghapuskan hak keistimewaan melayu dengan pelbagai helah. Mereka juga bukan sahaja berani menghina raja-raja melayu, malah sampai ke tahap memburuk-burukkan insan mulia kesayangan kita, junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Perbuatan-perbuatan ini telah menaikkan kemarahan umat Islam dan bangsa melayu sekaligus boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Kedua, akibat sikap sebahagian umat Islam yang ekstrim dalam erti kata 'ashobiyyah terhadap bangsa dengan cara yang tidak benar. Contohnya tetap mempertahankan bangsa sendiri yang melakukan kesalahan dan kezaliman. Islam melarang sikap 'ashobiyyah yang salah seperti ini.

Ada pula segelintir masyarakat yang gemar mengaitkan insiden-insiden yang terjadi dengan unsur perkauman. Walaupun ia adalah isu politik, ekonomi mahupun sosial. Jika berlaku insiden yang tidak diingini, maka ada yang suka menuduh antara satu sama lain sebagai punca. Walhal, dakwaan itu dibuat tanpa usul periksa, tidak cermat dan provokatif. Tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan dengan menghina antara satu sama lain terutama dalam media sosial.

Dan ketiga, peranan media yang gemar menyebarkan berita palsu. Pada hari ini, maklumat semakin cepat perolehi dan diakses daripada pelbagai sumber. Masyarakat mempunyai pilihan untuk memilih naratif mana yang lebih disukai dan dipercayai. Dengan kewujudan media sosial khususnya, berita hangat mudah disensasikan oleh banyak pihak. Malah boleh dikatakan kini berita dalam media sosial lebih dahulu tiba daripada berita yang lebih berautoriti.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada ruang inilah masalah dalam perpaduan kaum boleh muncul. Suka mimbar mengingatkan sidang jamaah sekalian agar janganlah kita bersikap seperti 'menyiram minyak ke dalam api' dengan menyebarkan kiriman-kiriman palsu, fitnah dan tidak berpandukan fakta yang tepat kepada orang lain. Perbuatan itu sebenarnya boleh membawa kesan buruk kepada ketenteraman awam dan boleh mencetuskan huru hara. Ingatlah, Allah s.w.t menyampaikan pesan kepada kita semua melalui firman-Nya dalam Surah Al-Hujurat ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Kehidupan masyarakat Malaysia yang harmoni telah menjadi agenda utama setiap zaman dan pemerintahan. Jika diimbau sejarah, sejak zaman kesultanan melayu Melaka lagi konsep keharmonian kaum (At-Ta'ayush Silmi) ini sudah wujud. Buktinya kita boleh lihat, bagaimana proses asimilasi budaya boleh berlaku kepada sesetengah etnik ke dalam kebudayaan melayu. Contohnya imej etnik Baba dan Nyonya di Melaka yang sudah terbiasa dengan kebudayaan melayu. Bahkan orang melayu juga boleh menerima dan mengamalkan budaya orang luar termasuk cina, india dan british yang tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah sama-sama kita menghayati beberapa pengajaran:

Pertama: Isu perkauman yang berlaku dalam negara dewasa ini mestilah ditanggapi dengan cara yang positif, jauh daripada sikap buruk sangka dan prejudis.

Kedua: Setiap anggota masyarakat perlulah menghentikan tabiat suka menyebarkan khabar angin, bermain dengan sentimen perkauman jika terdapat insiden-insiden yang melibatkan pelbagai kaum atau berunsur agama.

Ketiga: Setiap anggota masyarakat sama ada orang Islam dan bukan Islam mestilah menghormati kontrak sosial yang sudah lama dibentuk dalam Perlembagaan dan amalan hidup harmoni sejak berzaman lagi.

Keempat: Setiap bangsa di Malaysia haruslah memelihara hubungan antara kaum dengan menanam sifat hormat menghormati dan kasih sayang antara satu sama lain.

Kelima: Setiap anggota masyarakat terutama umat melayu haruslah memahami konsep kewujudan bersama dan mengambil pendekatan sederhana atau washotiyyah bagi mengelakkan sikap melampau atau ekstrim.

Marilah kita sama-sama menghayati firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾

Maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru kepada sidang Jumaat sekalian agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Islamiyyah sebenar. Marilah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam yang berteraskan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi pegangan tinggalan warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita bersama-sama menjaga hubungan baik dengan Allah dan menjaga hubungan baik sesama manusia dan sentiasa bermuhasabah diri agar dapat memperbaiki amalan-amalan kita setiap hari. Selain itu, marilah kita bersatu padu dan mewujudkan suasana perpaduan yang harmoni sesama Islam.

Khatib menyeru kepada diri sendiri dan sidang Jumaat sekalian agar kita bersama-sama memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah berterusan terutamanya solat fardhu berjamaah, agar kita tergolong dalam kalangan orang yang mendapat naungan Allah s.w.t seperti dalam sebuah hadits riwayat Saiyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

... وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالْمَسَاجِدِ ...

Maksudnya: "...Dan lelaki yang terpaut hatinya pada masjid...". (Hadits riwayat Al-Baihaqi)

Di samping melakukan ibadah, kita dapat memupuk jalinan ukhuwwah yang kuat dan berjaya. Mimbar juga menyeru agar kita sama-sama menjaga solat fardhu. Sepertimana yang dijelaskan dalam hadits baginda s.a.w:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: "Sesungguhnya yang memisahkan antara seorang lelaki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat". (Hadits riwayat Muslim)

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

Bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w), wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucaplah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. Kurniakan juga ke atas para penderma yang menginfaqkan harta mereka ke jalan Mu sama ada wang mahu pun tenaga.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Kekalkanlah keharmonian dan perpaduan yang berpanjangan agar negara kami menuju kepada negara yang baik dan mendapat keampunan-Mu ya Allah.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu Timbalan Yang Dipertuan Agong, dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.


رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

1 comment:

  1. Tidak ada siapa yg marah pun kalau benar dakwah kerana tidak ada kalimah lain selepas DAKWAH (melainkan) LILLAAHI...semata2 kerana الله... bukan kerana duniawi - lil-parti...

    ReplyDelete