Thursday, April 4, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 29 REJAB 1440 / 5 APRIL 2019


ISLAM AGAMA KEDAMAIAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَمَا كَانَ النَّاسُ إِلَّا أُمَّةً وَاحِدَةً فَاخْتَلَفُوا ۚ وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ فِيمَا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ ﴿١٩﴾ (Surah Yunus : Ayat 19)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، وَاُوْصِيْكُمْ وَبِنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ.  


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan sepenuh perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertaqwa. Khutbah hari ini akan membicarakan tajuk: "Islam Agama Kedamaian".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengambil iktibar dari peristiwa hitam yang berlaku di Masjid An-Nur dan Masjid Linwood, Christchurch, New Zealand baru-baru ini. Tindakan yang dilakukan oleh pengganas tersebut sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Sebagai muslim, inilah masanya untuk kita menzahirkan keprihatinan, kebersamaan dan solidariti. Sesungguhnya, hanya Allah sahaja yang tahu hikmah di sebalik peristiwa hitam itu.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam terbukti membawa kedamaian. Banyak perintah Allah di dalam Al-Quran menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak, tidak memaksa orang bukan muslim memeluk Islam, bahkan Islam mengajar kita supaya berhikmah dalam berdakwah. Justeru, memelihara kedamaian adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia. Allah berfirman di dalam Surah Al-Anfal ayat 61:

۞ وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦١﴾

Maksudnya: "Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah  Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana negara Malaysia aman, damai dan harmoni. Kita dapat menikmati kemakmuran dan keselesaan kerana kerajaan sentiasa berusaha memastikan keamanan negara terpelihara.

Islam juga agama yang mencintai kedamaian. Islam melarang umatnya melakukan kerosakan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman dan sebagainya. Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan negara mahupun dunia.

Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan keamanan, janganlah kita terlalu mudah mengambil sebarang tindakan sebagai balasan terhadap perbuatan jahat orang bukan Islam yang kelak akan mendatangkan kemudaratan. Ingatlah, perbuatan tersebut tidak dapat memberi apa-apa kebaikan, bahkan mengundang sikap benci, fitnah memfitnah serta prasangka yang berpanjangan. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Fussilat ayat 34:

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ ﴿٣٤﴾

Maksudnya: "Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib".

Sabda Rasulullah s.a.w sebagaimana riwayat Imam Al-Bukhari daripada Saiyidina 'Abdullah bin 'Amru bin Al-'Ash radhiAllahu 'anhuma:

الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Maksudnya: "Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan kaum muslimin daripada kejahatan lisan dan tangannya".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Kewujudan pelbagai agama, kaum dan bangsa tidak menjadi penghalang untuk kita hidup dengan aman dan harmoni. Pelbagai kaum dan bangsa serta keturunan dengan pegangan agama masing-masing dapat membentuk masyarakat yang bertolak ansur. Firman Allah di dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾

Maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".

Islam amat mementingkan keadilan ditegakkan dan mengembalikan hak-hak golongan yang dizalimi serta teraniaya. Justeru, Islam bersikap tegas terhadap perlakuan yang mencetuskan perbalahan dan persengketaan kerana ia menyanggahi Maqasid Syariah.

Bagi menjaga keharmonian dan kestabilan negara, setiap anggota masyarakat hendaklah menghayati konsep ta'aruf, iaitu saling berkenalan antara kaum dan etnik di negara ini, tafahum iaitu saling memahami, dan ta'awun iaitu saling membantu sebagai tanda kasih sayang.

Kita seharusnya berhati-hati dalam menerima sebarang berita tentang sesuatu kaum, agama dan sebagainya. Jauhilah perkara-perkara yang mengundang perbalahan dan serulah kepada perpaduan dan kedamaian. Ingatlah! Bahawa seorang muslim sentiasa menjaga tutur kata, lidah dan tangannya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati beberapa kesimpulan:

1. Islam sebagai agama perdamaian dan kasih sayang sentiasa meraikan keharmonian dalam kepelbagaian kaum, bangsa dan agama.

2. Manusia dengan perbezaan agama, keturunan, bahasa dan budaya dituntut untuk saling kenal-mengenali, faham-memahami dan hormat- menghormati.

3. Perpaduan yang wujud dalam kalangan pelbagai kaum, bangsa dan agama dapat mewujudkan keharmonian dan kestabilan negara. Firman Allah di dalam Surah Hud ayat 118 dan 119:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ ﴿١١٨﴾ إِلَّا مَن رَّحِمَ رَبُّكَ ۚ وَلِذَٰلِكَ خَلَقَهُمْ ۗ وَتَمَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ ﴿١١٩﴾

Maksudnya: "Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk tujuan (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: "Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Mimbar menyeru agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Mimbar menyeru agar kita bersama-sama menjaga hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia.

Marilah kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah terutamanya solat fardhu berjamaah.

Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di kesempatan ini juga, bersempena kedatangan bulan Ramadhan tidak lama lagi, mimbar ingin mengingatkan kaum muslimin yang belum menggantikan puasa Ramadhan, agar segera menggantikan puasa. Sampaikanlah pesanan ini kepada anggota keluarga, isteri, anak-anak di rumah, saudara-mara dan sahabat handai. Semoga Allah memanjangkan umur kita semua sehingga dapat bertemu dengan bulan Ramadhan yang mulia, insya Allah.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment