Friday, April 12, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 6 SYAABAN 1440 / 12 APRIL 2019


ALLAH SEBAGAI WALI

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلۡقَاهِرِ فَوۡقَ عِبَادِهِ، وَالۡأَوَّلُ لَيۡسَ قَبۡلَهُ شَيۡءٍ، وَالۡأٓخِرُ لَيۡسَ بَعۡدَهُ شَيۡءٍ، وَالظَّاهِرُ لَيۡسَ فَوۡقَهُ شَيۡءٍ، وَالۡبَاطِنُ لَيۡسَ دُونَهُ شَيۡءٍأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِاللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ المُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa. Maka demi sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar pesanan Allh s.w.t mengingatkan kita orang-orang yang beriman:

اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُم مِّنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ ۖ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُم مِّنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ ۗ أُولَٰئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ ﴿٢٥٧﴾ [سورة البقرة : ٢٥٧]

(Maksudnya): "Allah Pelindung orang-orang yang beriman; Dia  mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindungnya ialah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya kepada kegelapan (kekafiran). Mereka itulah penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya".

Allah s.w.t menjadi wali dengan makna satu-satunya Tuhan yang disembah yang diibadatkan kepada-Nya, tidak ada lagi yang lain daripada-Nya. Allah s.w.t juga menjadi pemimpin ke jalan yang benar, menjadi penolong dan penyelamat kepada orang-orang yang beriman.

Oleh kerana itu mereka hendaklah percaya kepada Allah s.w.t, bergantung kepada-Nya dan berharap kepada-Nya dalam semua keadaan, sama ada orang yang beriman itu seorang diri, ketua keluarga, pemimpin negara dan siapa sahaja. Sekiranya dijadikan Allah s.w.t itu walinya, bukan sahaja Tuhan yang diakui tidak ada tuhan yang lain daripadanya melainkan Allah s.w.t. Dalam setiap kesusahan mesti berdoa kepada-Nya ketika menghadapi masalah, meminta petunjuk daripada-Nya walaupun menghadapi ujian-ujian yang banyak dan cubaan yang mencabar.

Kadang-kadang kita menghadapi kesusahan, beberapa kali berdoa tidak dapat apa yang dikehendaki. namun ia tidak sia-sia sekali-kali kerana Allah s.w.t tidak mensia-siakan orang-orang yang beriman. Allah s.w.t menyegerakan makbulnya doa kita kerana ada kebaikannya. Allah s.w.t melambatkan permintaan kita juga ada kebaikannya. Allah s.w.t tidak beri apa yang kita doakan di dunia ini ada kebaikannya untuk diberi kita pada hari akhirat. Maka orang yang beriman itu jangan putus dengan Allah s.w.t. Dia hendaklah sentiasa bergantung dengan ajaran-Nya. Hanya Allah s.w.t sahaja yang menyelamatkannya di dunia ini dan di hari akhirat.

Allah s.w.t melambatkan sesuatu yang kita kehendaki dan memayahkan yang kita mahu tetap ada kebaikannya dan sayangnya kepada kita. Jangan berhenti berdoa kepada Allah s.w.t dan meminta kepada-Nya walaupun beberapa kali hatta beribu kali. Penyair arab menyatakan:

لَا تَسۡأَلَنَّ بُنَيَّ آدَمَ حَاجَةً.
وَسَلِ الَّذِي أَبۡوَابُهُ لَا تُحۡجَبُ.
اللَّهُ يَغۡضَبُ إِنۡ تَرَكۡتَ سُؤَالَهُ.
وَ بُنَيَّ آدَمَ حِينَ يُسۡأَلُ يَغۡضَبُ.

(Maksudnya): "Jangan kamu banyak meminta kepada manusia. Mintalah dengan Tuhan yang pintu-Nya tidak ditutup sekali-kali kepada mereka yang beriman. Allah marah kalau kamu tidak meminta kepada-Nya. Adapun manusia akan marah jika diminta (apa lagi berulang-ulang)".

Terdapat dalam dunia hari ini mereka yang lupakan Allah s.w.t khususnya mereka yang kaya raya dan mereka yang berkuasa mendapat kuasa. Terimalah hukuman di dunia ini.

Adapun orang-orang kafir, wali-wali atau tuhan-tuhan atau penolong-penolong mereka ramai ialah toghut. Siapakah toghut itu? Toghut ialah setiap yang melampaui batas Allah s.w.t. Ia bukan sahaja patung-patung dan berhala-berhala seperti yang difahami oleh kebanyakan orang. Ia bukan sahaja syaitan, iblis dan jin yang tidak nampak dilihat seperti difahami kebanyakan orang. Ia adalah termasuk manusia-manusia yang melampaui batas-batas Allah s.w.t, yang berlagak tahu macam Allah s.w.t. Mereka meninggalkan peraturan Allah s.w.t yang dilihat pada zahirnya berkuasa di atas dunia ini, tetapi sebenarnya mereka tidak berkuasa. Kekuasaan mereka rapuh dan lemah; lebih lemah daripada sarang labah-labah.

Malangnya banyak manusia bergantung dengan makhluk, tidak bergantung dengan Allah s.w.t. Bila susah, mereka meminta dengan jin, syaitan dan manusia yang tidak percayakan Allah s.w.t. Walaupun dapat yang diminta itu di atas dunia ini, senangnya jadi umpan neraka yang akan membakar dirinya dan merosakkannya di hari akhirat.

Kadang-kadang mereka yang sudah berada di dalam Islam dalam satu cahaya, lupakan Allah s.w.t dengan mencari toghut itu. Ditunjukkan kepadanya jalan-jalan yang banyak, orang-orang yang banyak dan lubang-lubang yang banyak yang semuanya akan menyesatkan kalau meninggalkan perintah Allah s.w.t. Bahkan kerajaan-kerajaan Islam yang kita lihat banyak pada hari ini bergantung dengan kuasa-kuasa kafir dan kuasa-kuasa besar dunia dengan mengharapkan pertolongan mereka itu untuk menyelesaikan masalah, menghadapi huru-hara dalam negeri melawan musuh yang akhirnya berperang sesama sendiri, yang merosak dan meruntuhkan diri sendiri.

Mereka jauh daripada Islam sedikit demi sedikit walapun banyak jalan-jalannya, tetapi semuanya zulmat (kegelapan-kegelapan). Berbeza An-Nur yang bermaksud satu cahaya sahaja. Mereka bergantung dengan Allah s.w.t menuju kepada satu cahaya sahaja yang berakhir hujungnya di hari akhirat ke syurga. Mereka selamat di dunia dan selamat di akhirat. Walaupun mereka yang meninggalkan Islam itu banyak jalannya tetapi semuanya gelap, musnah di dunia dan celaka di hari akhirat.

Tidak dilarang kita berikhtiar dan berusaha mencari jalan, mencari sebab, mencari duit dan mencari kerja, bahkan disuruh oleh Allah s.w.t dengan syarat hati bergantung dengan Allah s.w.t. Adapun mereka yang mengaku bertawakkal kepada Allah s.w.t dengan tidak bekerja dan berikhtiar melalui jalan yang salah hendak memperhambakan Allah s.w.t, padahal mereka adalah hamba kepada Allah s.w.t.

Marilah kita menjadi orang-orang Islam yang benar mengikut petunjuk yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾ [سورة العصر : ١-٣]

(Maksudnya): "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment