Thursday, April 11, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 6 SYAABAN 1440 / 12 APRIL 2019


AYUH PERTAHANKAN BAITUL MUQADDIS DAN MASJIDIL AQSA

Khutbah Pertama

إِنَّ الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ. 
وَأَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، وَاُوْصِيْكُمْ وَبِنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ وَطَاعَتِهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ. 
فَقَالَ اللهُ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾ (Surah Ali-'Imran : Ayat 102)


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah kita sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, yakni melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan sepenuh perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertaqwa. Khutbah hari ini akan membicarakan tajuk: "Ayuh Pertahankan Baitul Muqaddis dan Masjidil Aqsa".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari yang mulia ini, mimbar ingin menarik perhatian kita semua mengenai penderitaan rakyat Palestin. Tahun lalu, genaplah 70 tahun tertubuhnya negara haram Israel. Sejak itu hingga kini, ribuan rakyat Palestin telah menderita dan terkorban.

Kerakusan zionis menceroboh bumi Palestin amat jelas kelihatan dan meningkat hari demi hari. Ini sekaligus mengingatkan kita kepada keganasan Yakjuj dan Makjuj yang disebut dalam Al-Quran dalam Surah Al-Kahfi ayat 94:

قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَىٰ أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا ﴿٩٤﴾

Maksudnya: "Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"

Profesor Dr. Muhammad Saiyid Tantawi, telah menggambarkan sifat keji bangsa yahudi dalam tulisan beliau, "Israil Fil Quran Was Sunnah", bahawa zionis Israel adalah bangsa kejam yang tidak mempedulikan orang tua, wanita, kanak-kanak, masjid, rumah ibadat, tempat awam dan sebagainya. Zionis Israel juga adalah bangsa yang kuat memusuhi Islam dan bangsa arab. Sifat keji Bani Israil ini dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam Surah Al-Maidah ayat 78:

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا وَّكَانُوا يَعْتَدُونَ ﴿٧٨﴾

Maksudnya: "Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh".

Muslimin yang dimuliakan Allah,

Masjidil Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam. Hari ini, kedudukan Masjidil Aqsa dalam keadaan yang amat membimbangkan akibat pembinaan terowong bawah tanah oleh rejim zionis yang telah merosakkan bangunan Masjidil Aqsa.

Kita amat kesal atas sikap biadab Amerika Syarikat yang menyokong jenayah keganasan ini. Kenyataan Donald Trump yang mengisytiharkan Baitul Muqaddis sebagai ibu kota Israel secara langsung akan membuka peluang kepada musuh-musuh Islam untuk terus mencabul kesucian Islam.

Kita juga kecewa atas sikap berat sebelah negara-negara kuasa besar yang lain. Mereka berdiam diri apabila melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam, tetapi begitu pro-aktif apabila melibatkan kepentingan masyarakat barat yang bukan Islam.

Umat Islam tidak boleh bergantung kepada simpati dan bantuan golongan kuffar. Allah s.w.t memberikan kita peringatan bahawa golongan kuffar tidak sekali-kali akan melindungi Islam melainkan mereka dijadikan sanjungan dan ikutan. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 120:

وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ ... ﴿١٢٠﴾

Maksudnya: "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)...".

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian,

Islam mengajar kita bahawa umat Islam adalah bersaudara dan wajib dibela. Amatlah salah, kita membiarkan saudara kita di Palestin menderita, tanpa kita melakukan apa-apa. Inilah yang dimaksudkan oleh sebuah hadits daripada Saiyidina An-Nukman bin Basyir r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى.

Maksudnya: "Perumpamaan kaum mukminin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama satu tubuh, jika anggota tubuh berasa sakit, maka anggota yang lain akan susah tidur dan merasakan demam". (Hadits riwayat Muslim)

Sedarlah, bahawa kita bukan sahaja wajib membela dan meringankan beban penderitaan saudara kita di Palestin, bahkan tetapi kita juga wajib mempertahankan kesucian Baitul Muqaddis kerana ia adalah kiblat pertama dalam syi'ar agama Islam. Justeru itu, mimbar menyeru kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, marilah kita membantu meringankan penderitaan saudara kita di Palestin dengan mengambil tindakan berikut:

1. Menyalurkan bantuan kewangan kepada rakyat Palestin melalui badan-badan yang diiktiraf oleh kerajaan.

2. Bersama memboikot perkhidmatan seperti perbankan, insurans, produk makanan atau syarikat minyak yang mempunyai kepentingan dengan Amerika dan Israel. Berilah sokongan kepada program-program yang berkaitan dengan misi bantuan kemanusiaan Palestin, seperti bacaan Yaasin For Aqsa dan sebagainya.

3. Negara-negara OIC dan lain-lain negara serta negara umat Islam patut menghentikan dan mengelak dari terus menggunakan mata wang dollar dalam sebarang bentuk urusan perdagangan.

4. Menginsafi akan bahaya perpecahan umat, dan perlunya tindakan segera dalam menyatu padukan negara-negara umat Islam seluruh dunia bermula dari negara kita, Malaysia.

Muslimin yang dimuliakan Allah,

Mungkin sekali imbas, amat sukar untuk kita mengalahkan zionis Israel dan sekutunya, kerana mereka memiliki peralatan ketenteraan dan senjata nuklear yang hebat. Tetapi percayalah, dengan kuasa Allah, tidak ada yang mustahil.

Oleh itu, mimbar ingin menyeru masjid-masjid di seluruh negeri Perak mengadakan solat sunat hajat dan bacaan Qunut Nazilah. Mohonlah ke hadrat Allah s.w.t agar dikurniakan kepada pejuang Palestin dan Hamas khususnya, kekuatan semangat dan kecekalan hati bagi menghadapi kezaliman zionis Israel. Seluruh umat Islam juga diseru sama-sama mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin.

Ayuh umat Islam! Dengan masa dan tenaga, dengan harta dan jiwa, dengan ruh dan darah, bangunlah! Demi rakyat Palestin! Demi agama Islam tercinta!

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,


Mimbar menyeru agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Mimbar menyeru agar kita bersama-sama menjaga hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Marilah kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah terutamanya solat fardhu berjamaah. Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di kesempatan ini juga, bersempena kedatangan bulan Ramadhan tidak lama lagi, mimbar ingin mengingatkan kaum muslimin yang belum menggantikan puasa Ramadhan, agar segera menggantikan puasa. Sampaikanlah pesanan ini kepada anggota keluarga, isteri, anak-anak di rumah, saudara-mara dan sahabat handai. Semoga Allah memanjangkan umur kita semua sehingga dapat bertemu dengan bulan Ramadhan yang mulia, insya Allah.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment