Thursday, April 25, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 20 SYAABAN 1440 / 25 APRIL 2019


TUNTUTAN AMAR MA'ARUF DAN NAHI MUNGKAR

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٧١﴾ (Surah At-Taubah : Ayat 71)
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri sendiri dan jamaah sekalian, marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, saya ingin berpesan kepada sidang jamaah sekalian agar menumpukan sepenuh perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Semoga pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertaqwa. Mimbar pada hari ini akan membicarakan tajuk, "Tuntutan Amar Ma'aruf dan Nahi Mungkar".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi adalah meletakkan Islam di tempat yang tertinggi sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Pendaulatan Islam tidak akan berlaku melainkan dengan terlaksananya "Amar Maa'aruh Nahi Mungkar" dalam kalangan manusia. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Ali-'Imran ayat 104:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾

Maksudnya: "Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya".

Tugas dakwah, menyeru manusia ke jalan Allah dan menjauhi kemungkaran adalah tugas semua umat Islam. Namun tugas ini menjadi lebih utama kepada golongan ulamak dan umarak kerana merekalah yang mewarisi tugas para nabi dan rasul membimbing manusia ke jalan kebaikan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tugas amar ma'aruf nahi mungkar, terutamanya soal pencegahan maksiat amat penting dilaksanakan supaya umat Islam tidak ditimpa bala bencana daripada Allah s.w.t. Membiarkan perkara mungkar dan maksiat berleluasa tanpa ada sebarang ikhtiar untuk membanteras dan membendungnya, akan menyebabkan kemurkaan Allah s.w.t serta mengundang azab dari-Nya, ini digambarkan menerusi firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal ayat 25:

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢٥﴾

Maksudnya: "Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya".

Begitulah pentingnya tanggungjawab amar ma'aruf nahi mungkar, di mana apabila mereka gagal melaksanakannya maka seluruh umat Islam akan ditimpa bala bencana oleh Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Rasulullah s.a.w juga bersabda dalam sebuah hadits riwayat Muslim:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ.

Maksudnya: "Barangsiapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya (kekuasaannya), jika tidak berkuasa hendaklah mencegah dengan lisannya, jika tidak berkuasa juga, hendaklah mencegah dengan hatinya (membenci kemungkaran itu), dan ini adalah selemah-lemah iman". (Hadits riwayat Muslim)

Berdasarkan hadits ini dapatlah disimpulkan bahawa kemungkaran boleh ditegah berdasarkan kemampuan seseorang melalui tiga cara:

Pertama: Mencegah dengan tangan, iaitu dengan kekuasaan.

Kedua: Mencegah dengan lisan, iaitu dengan teguran atau nasihat.

Ketiga: Mencegah dengan hati, iaitu hati kita merasa benci dan tidak redha dengan kemaksiatan. Pencegahan ini turut mencerminkan tahap keimanan seseorang.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Cita-cita kita adalah mengimpikan negara, masyarakat, keluarga dan diri kita bebas daripada kemungkaran terhadap Allah s.w.t. Kita tidak boleh membiarkan perkara mungkar dilakukan tanpa sebarang usaha mencegahnya. Segala tanggungjawab ini tidak hanya terbeban kepada pihak berkuasa agama, polis atau pihak berwajib sahaja, sebaliknya ia menjadi fardu dan tanggungjawab ke atas setiap manusia yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t dan rasul-Nya.

Pihak berkuasa seperti kerajaan negeri Perak melalui Jabatan Agama Islam Negeri Perak akan memaksimumkan fungsi pegawai penguatkuasa agama, bagi melaksanakan tugas amar ma'aruf nahi mungkar dalam masyarakat.

Masyarakat juga boleh bersama-sama pihak kerajaan dalam membantu mencegah jenayah syariah di dalam negeri Perak. Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Perak 2004 memperuntukkan dalam Seksyen 9 bahawa; tiap-tiap orang yang mengetahui perlakuan atau niat mana-mana orang lain untuk melakukan apa-apa kesalahan, hendaklah dengan serta merta memberikan maklumat kepada pegawai penguatkuasa agama atau pegawai polis yang terdekat tentang perlakuan atau niat itu tadi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Jelas kepada kita bahawa tanggungjawab mencegah perkara-perkara maksiat dan mungkar adalah tanggungjawab bersama. Seorang suami selaku ketua keluarga mempunyai tanggungjawab terhadap anak dan isterinya. Suami berkewajipan mengajak anak dan isterinya ke arah kebaikan dan apabila mereka melakukan maksiat, wajiblah ditegah dan diambil tindakan yang sewajarnya. Firman Allah s.w.t di dalam Surah At-Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); penjaganya terdiri daripada para malaikat yang kasar, keras dan mereka tidak derhaka kepada Allah, setiap apa yang diperintahkan kepada mereka sudah pasti akan mereka laksanakan".

Apa yang penting ialah kita mesti memulakannya daripada diri kita dan keluarga kita terlebih dahulu. Janganlah kita hanya menuding jari kepada pihak lain sahaja apabila berleluasanya kemungkaran dan maksiat, sedangkan keluarga kita masih ada yang tidak menjalani kehidupan menurut apa yang dituntut oleh Islam. Sebagai contoh, isteri kita mendedahkan aurat dan tidak taat kepada suami, anak-anak bergaul bebas dengan orang yang bukan mahramnya dan lain-lain lagi. Ini juga adalah kemungkaran yang perlu dicegah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pada hari ini, marilah kita menghayati beberapa kesimpulan sebagai renungan dan bekalan kita bersama:

Pertama: Masyarakat yang tidak mencegah kemungkaran yang berlaku di sekelilingnya akan mendapat laknat dan celaan daripada Allah.

Kedua: Ancaman azab dan siksa Allah s.w.t akan turut menimpa golongan yang tidak mencegah kemungkaran.

Ketiga: Usaha membasmi kemungkaran bermula dengan individu, keluarga, seterusnya masyarakat. Firman Allah dalam Surah Ali-'Imran ayat 135:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ ﴿١٣٥﴾

Maksudnya: "Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menzalimi diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan sememangnya tidak ada sesiapa yang boleh mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru agar kita semua tetap teguh dengan aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan baginda Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Mimbar menyeru agar kita bersama-sama menjaga hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Marilah kita memakmurkan rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah terutamanya solat fardhu berjamaah. Dirikanlah solat di mana sahaja kita berada, ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Begitu juga saat kita leka berjual beli di pusat membeli belah mahupun di pasar malam, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah di hari akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Di kesempatan ini juga, bersempena kedatangan bulan Ramadhan tidak lama lagi, mimbar ingin mengingatkan kaum muslimin yang belum menggantikan puasa Ramadhan, agar segera menggantikan puasa. Sampaikanlah pesanan ini kepada anggota keluarga, isteri, anak-anak di rumah, saudara-mara dan sahabat handai. Semoga Allah memanjangkan umur kita semua sehingga dapat bertemu dengan bulan Ramadhan yang mulia, insya Allah.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ،  اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي سُوْرِيَا وَفِي فَلَسْطِينِ وَفِي مِيَنْمَر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah kepada kami hidayah dan inayah-Mu untuk melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang di antara kami, kekalkanlah perpaduan kami, semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, makmur dan selamat sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata sekalian.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment