Thursday, January 7, 2010

Hakikat Tauhid

Minggu Ketiga (Hakikat Tauhid)

HAKIKAT TAUHID OBJEKTIF

1. Ahli usrah memahami pengertian dan konsep tauhid.

2. Ahli usrah dapat membezakan ketiga-tiga tauhid serta memahami pertautan antaranya dan tahu mengaitkannya dengan kehidupan.

3. Ahli usrah memahami konsep syahadah.

4. Ahli usrah memahami kewajipan diri sebagai seorang yang telah mengucapkan syahadah.

KANDUNGAN

1. Pengertian Tauhid

2. Pembahagian Tauhid:

* Tauhid Rububiyyah 
* Tauhid Uluhiyyah
* Tauhid Asma was Sifaat

3. Pertautan ketiga-tiga jenis Tauhid

4. Pengertian Syahadah

5. Tuntutan Syahadah:

* Membenarkan segala perkara yang datangnya dari Allah dan RasulNya
* Taat kepada Allah dan RasulNya
* Melakukan amar maruf dan nahi mungkar
* Memberi wala kepada orang Mukmin dan menolak orang Kafir
* Melaksanakan hokum-hukum dari kitab Allah dan RasulNya

PENGERTIAN TAUHID

Perkataan Tauhid berasal dari perkataan Arab (wahada) yang bereti mengesakan. Dari segi istilah bermaksud beritiqad dan mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala itu esa dan tunggal, tiada syirik atau sekutu baginya. Fahaman secara praktikalnya tauhid ialah suatu pegangan hidup yang mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Tuhan yang Maha Esa dan tidak ada sekutu baginya ataupun yang menyerupaiNya. 

Firman Allah subhaanahu wa taaala: 

Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhanku ialah Allah yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon segala hajat. Ia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tiada sesiapa yang setara denganNya. (Al-Ikhlas:1-4) 

PEMBAHAGIAN TAUHID

Tauhid terbahagi kepada tiga:

1. Tauhid Rububiyyah
2. Tauhid Uluhiyyah
3. Tauhid Asma was Sifaat

* Tauhid Rububiyyah

Tauhid rububiyyah bererti mempercayai Allah sebagai Rabb atau Pencipta dan Penguasa terhadap sesuatu. Allahlah Pencipta sekalian makhluk dan alam ini, Pemilik, Pentadbir dan Pemberi segala-galanya. Allah yang menghidukan dan mematikan sesuatu, Dia yang berkuasa memberi manfaat dan mudharat terhadap sesuatu dan tiada siapa yang berhak dan berkuasa untuk melakukan sesuatu kebaikan atau keburukan tanpa izinNya.  
Firman Allah subhaanahu wa taaala: Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagimu, maka tiada siapa yang dapat menolak kurniaanNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambaNya dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. 

* Tauhid Uluhiyyah

Tauhid Uluhiyyah juga dikenali sebagai Tauhid Ibadah. Tauhid Uluhiyyah ialah mengitiqad dan beriman bahawa Allah subhaanahu wa taaala shaja yang berhak disembah dan tiada sekutu di dalam penyembahanNya. Dia sahaja yang berhak disembah, ditaati dan dikasihi, kepadaNya tempat bertawakkal, tempat berserah, tempat menaruh harapan, permohonan dan berdoa. 

Firman Allah subhaanahu wa taaala: Hanya Engkau sahajalah (Ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engaku sahajalah yang kami memohan pertolongan. (Al-Faatehah: 5)

Inilah konsep ibadah atau pengabdian sebenarnya yang membezakan antara mukmin dengan kafir iaitu setiap perbuatan lahiriyyah dan batiniyyah dilakukan semata-mata kerana Allah subhaanahu wa taaala dan untuk mendapatkan keredhaanNya. Ini bererti meletakkan seluruh perbuatan, percakapan dan tingkah laku di atas perintah dan petunjuk Allah semata-mata.

* Tauhid Asma was Sifaa Tauhid Asma was Sifat ialah mengitiqad dan beriman bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan Maha suci dari segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan dan Allah subhaanahu wa taaala mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesaranNya. Segala nama dan sifat Allah itu tidak sama dengan nama dan sifat makhluk. Walaupun nama-nama dan sifat-sifat tersebut sama pada sebutannya dengan nama dan sifat makhluk, tetapi hakikatnya ia tidak menyerupai nama dan sifat makhluk. 

Firman Allah subhaanhu wa taaala: Tiada suatu pun yang sebanding denganNya (dengan zatNya, namaNya dan sifatNya), dan Dialah Yang Mendengar Lagi Maha Melihat. 

Di dalam ayat lain Allah subhaanahu wa taaala berfirman: Dan bagi Allah itu, nama-nama yang baik. Serulah dan berdoalah kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya, mereka akan mendapat balasan akan apa yang mereka kerjakan.

PERTAUTAN KETIGA-TIGA JENIS TAUHID

Seseorang Muslim mestilah mentauhidkan Allah subhaanahu wa taaala pada ketiga-tiga jenis tauhid ini. Jika tidak, dia tidak dianggap sebagai seorang Mukmin. Seseorang Mukmin wajib beritiqad bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Rabb bagi segala perkara dan tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dia juga wajib mengaku dan beriman bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan mempunyai nama-nama yang layak denganNya.

Setelah seseorang beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini maka barulah dia dikatakan telah beriman dengan Allah. Tauhid Rububiyyah diiktiiraf dan diakui oleh semua manusia sama ada seorang Muslim atau kafir. Oleh itu, kalau seseorang hanya mengakui dan beriman kepada tauhid ini sahaja tanpa disetai oleh tauhid-tauhid lain, maka dia belum boleh dianggap sebagai seorang Muslim. Fitrah Insaniyyah sudah sedia mengenali dan mengakui rububiyyah Allah subhaanahu wa taaala. Tetapi tauhid ini tidak boleh diingkari walaupun ia diakui oleh semua manusia.

Firman Allah subhaanu wa taaala: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (orang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka demikian tidak mengingkari Allah) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

Segala pengakuan manusia terbukti melalui ibadatnya yang terkandung dalam tauhid uluhiyyah. Apabila seseorang beriman dengan tauhid uluhiyyah, maka secara tidak langsung dia beriman dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Ini kerana, tauhid uluhiyyah terkandung di bawah tauhid-tauhid lain dan sebaliknya. Seseorang yang beriman dengan tauhid rububiyyah sahaja tidak semestinya beriman dengan uluhiyyah Allah.

Ada dari mereka yang beriman dengan rububiyyah Allah tetapi menyembah patung, berhala, bulan dan seumpamanya tetapi tidak mentaati Allah. Begitu juga seseorang yang beriman dengan tauhid asma was sifat kadang-kadang kufur dengan uluhiyyah. Tetapi jika dia beriman dengan tauhid uluhiyyah dan menyembah Allah subhaanahu wa taaala, dia juga beriman dengan dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat.

Tauhid uluhiyyah berasaskan ucapan (Laa Ilaaha Illa Allah). Manusia dijadikan untuk menyembah Allah. Inilah intisari tauhid uluhiyyah. Jadi untuk menjadi seorang Mukmin yang sejati, seseorang itu wajib beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini serentak tanpa mengasingkan di antara satu sama lain.

PENGERTIAN SYAHADAH

Pengakuan dan pengiktirafan tauhid ini tidak akan terhasil melainkan dengan mengucap dan melafazkan dua kalimah syahadah: (Ash-haduallaailaahaillallah,waash-haduannamuhammadarrasuulullah) yang bermaksud: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah sebenar-benarnya melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam itu persuruh Allah. Syahadah bererti pengetahuan, penerangan, pengkhabaran, dan pernyataan. Orang yang bersyahadah dipanggil bersaksi kerana dia mengkhabarkan dan memberitahu apa yang diketahui olehnya. Kalimah syahadah juga mengandungi pengertian ikrar , iktiraf dan itiqad iaitu pengakuan, pengiktirafan dan kepercayaan. Seseorang yang bersyahadah memang mempercayaai kebenaran apa yang dikhabarkannya. Orang yang bersyahadah ini hendaklah sedar bahawa segala pengajaran dan peraturan yang disampaikan melalui Al-Quran dan Hadeeth adalah benar dan betul. Seseorang yang bersyahadah hendaklah tunduk dan patuh kepada kehendak syahadah dan tuntutannya kerana syahadah itu menuntut individu melaksanakan tuntutan-tuntutannya

TUNTUTAN-TUNTUTAN SYAHADAH

Syahadah yang diucapkan hasil dari kesedaran dan keikhlasan melahirkan tauhid yang sempurna yang berfungsi untuk mendesak orang yang mengucapkannya supaya melaksanakan segala tuntutan syahadah tersebut. Di antara tuntutan syahadah ialah:

* Membenarkan segala yang datang daripada Allah dan Rasulnya Seseorang Mukmin wajib percaya tanpa ragu dan syak segala yang datang daripada Allah dan RasulNya yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadeeth. Seterusnya mereka percaya bahawa segala perkara yng bukan dari Allah dan RasulNya yang bercanggah dengan Islam adalah palsu. 

* Melaksanakan hukum-hukum dari kitab Allah dan RasulNya Semua hukum dan peraturan Allah dan RasulNya yang termaktub di dalam Al-Quran dan Hadeeth mesti dilaksanakan dalam semua urusan hidup, sam ada urusan ibadat, politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya. Firman Allah subhaanahu wa taaala: Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad) mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim di dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka tidak pula merasa sesuatu di dalam hati mereka keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. Dapat difahami dari ayat ini bahawa orang-orang yang beriman rela menghukum dengan hukum Allah dan RasulNya dan menerima hukum itu dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Tiada perasaan tidak puas hati atau tidak bersetuju dengan hukum tersebut dan jauh sekali dari menukarkan hukum-hukum atau undang-undang Allah dengan undang-undang ciptaan makhluk. Oleh sebab itu, melaksanakan hukum-hukum dan undang-undang Allah merupakan suatu kewajipan dan tanggungjawab yang besar yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan seharian.

RUJUKAN

1. Konsep-konsep Umum Islam Abu Urwah
2. ILHAM Bahan Kendiri PJJ
3. Asas Kefahaman Islam Pusat Kajian Strategik

SOALAN-SOALAN PERBINCANGAN

1. Apakah pengertian tauhid?
2. Berdasarkan pengertian tauhid, jelaskan perbezaan di antara ketiga-tiga tauhid juga kaitan antaranya. Sila kaitkan tauhid-tauhid ini dengan kehidupan anda.
3. Apakah yang dimaksudkan dengan syahadah?
4. Apabila seseorang telah mengucapkan syahadah, apakah tuntutan-tuntutan dan kewajipan-kewajipan syahadah yang wajib dilaksanakannya?


No comments:

Post a Comment